Selasa, 15 Mac 2011

Maxis sasar 5.6 juta pelanggan guna myDeals

MAXIS Bhd (Maxis), penyedia komunikasi bersepadu utama, menyasarkan untuk mencapai 5.6 juta pengguna perkhidmatan myDeals menjelang tahun depan berbanding 2.8 juta pengguna selepas lapan bulan perkhidmatan itu dilancarkan.

MyDeals, pengiklanan mudah alih berasaskan persetujuan generasi akan datang dilaksanakan menerusi teknologi pasaran pengiklanan pelbagai saluran ‘Out There Media’ yang berpangkalan di Vienna yang dikenali ‘Mobucks’. 
 
Ketua Operasinya, Jean-Pascal van Overbeke, berkata industri pengiklanan mudah alih kini menikmati pertumbuhan yang kukuh dengan mencatatkan peningkatan 16 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala pengiklanan menerusi internet pula meningkat sebanyak 29 peratus. 

“Kami menyasarkan lebih banyak syarikat berminat untuk mengiklankan perkhidmatan mereka dengan myDeals pada masa akan datang, selepas 15 syarikat sudah berbuat demikian kerana ia lebih efektif,” katanya pada sidang media meraikan pencapaian 2.8 juta pengguna myDeals di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Setakat ini antara nama besar yang menggunakan perkhidmatan ini termasuk pengeluar kereta, BMW yang menerima kadar maklum balas 17.9 peratus daripada pelanggan mereka dan 50.4 peratus untuk pengiklanan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan khidmat pesanan multimedia (MMS).


Selain itu, Penerbangan Malaysia (MAS) juga tidak terkecuali menggunakan myDeals untuk membuat kempen promosi penerbangan dengan purata maklum balas 21.5 peratus kepada mesej pertama.


Peneraju industri tempatan lain menggunakan perkhidmatan pengiklanan mudah alih ini termasuk Mahsa University, Colgate, Panasonic, Samsung, Nestle, Mastercard, Astro dan Prudential.

Pelanggan myDeals menyumbang 20 peratus kepada jumlah keseluruhan pengguna Maxis ketika ini.

Overbeke, berkata lebih 50 peratus daripada 13.9 juta pelanggan Maxis sedia ada terdiri daripada pengguna data dan berminat terhadap teknologi mudah alih baru, daripada pengiklanan mudah alih kepada bentuk media baru dan aplikasi yang berkaitan. 

Sementara itu, Naib Presiden Produk, Peranti dan Inovasi, T Kugan, berkata sumbangan menyeluruh myDeals masih kecil, namun akan meningkat dengan ketara dalam tempoh dua tahun.

“Daya tarikan myDeals disebabkan sentiasa menawarkan peluang capaian baru untuk jenama dan cara baru kepada pelanggan untuk terlebih dulu mendapatkan tawaran eksklusif yang sesuai dengan profil masing-masing daripada syarikat yang menggunakan perkhidmatan ini,” katanya.


Portal mudah alih Maxis menghasilkan lebih 60 juta kunjungan setiap bulan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan