Selasa, 15 Mac 2011

BMW lancar SAV siri X3 baru

 BRISCOE  bersama   BMW X3 xDrive20d selepas pelancaran kenderaan mewah itu di Kuala Lumpur, semalam.
BRISCOE bersama BMW X3 xDrive20d selepas pelancaran kenderaan mewah itu di Kuala Lumpur, semalam.
 
Model kenderaan tawar dua pakej, dijual pada harga RM348,800

BMW Malaysia melancarkan kenderaan aktiviti sukan (SAV) pacuan empat roda siri X3 baru, BMW X3 xDrive20d dalam usaha mengembangkan penguasaan pasaran dalam segmen mewah kenderaan model itu di Malaysia. 
 
Pengarah Urusannya, Geoffrey Briscoe, berkata model itu dijual pada harga atas jalan RM348,800 termasuk servis dan baik pulih inklusif BMW.
Katanya, model itu didatangkan dengan dua pakej iaitu pakej teknologi dengan tambahan harga RM28,000 daripada harga ditawarkan, manakala pakej keselesaan dengan tambahan RM18,000.

“Pakej Teknologi memaparkan kawalan perendam dinamik BMW yang beroperasi sama dengan kawalan prestasi BMW dan sistem navigasi profesional BMW, manakala pakej keselesaan, pula didatangkan dengan operasi automatik lampu belakang, sistem akses selesa dan bumbung gelas panorama.

“Pada masa sama kita juga mengeluarkan unit terhad BMW X3 xDrive20d edisi khas yang ditawarkan ketika pelancaran dengan penyediaan ciri tambahan seperti kawalan perendam dinamik, kawalan prestasi dan rim roda aloi ringan 18 inci,” katanya ketika memperkenalkan model itu kepada media, di Kuala Lumpur, semalam.

BMW X3 baru itu memaparkan teknologi maju diesel daripada pengeluar kenderaan terkemuka yang menggunakan enjin dua liter, turbo diesel empat silinder yang menghasilkan 184 kuasa kuda dan kuasa kilas 380 Nm.
Selain sesuai untuk kegunaan di jalan biasa atau permukaan jalan yang tidak rata dan mencabar, model itu menggunakan sistem transmisi automatik lapan kelajuan yang membolehkan pemandu menikmati pengalaman pemanduan lancar yang hebat dengan kuasa dan kecekapan menyamai sistem transmisi klac berkembar.

Gabungan itu membolehkan BMW X3 iti menyempurnakan pecutan dari 0 hingga 100 kilometer sejam (kmj) dalam masa 8.5 saat, pada masa sama mengekalkan kadar penggunaan bahan api terbaik dalam kelas itu iaitu hanya 5.6 liter bagi setiap 100 kilometer (km) dan pelepasan karbon monosikda sebanyak 147 gram per km.

Bagi reka bentuk luaran, model itu memaparkan ciri aerodinamik dan pembinaan badan lebih ringan, manakala perwatakan lazim ‘kidney grille’ menegak serta lampu depan Bi-Xenon memastikan model ini memiliki penampilan garang.

Rekaan dalaman pula lebih kontemporari di gabungkan dengan ruang lebih luas dengan lebih 23 milimeter (mm) untuk ruang kaki dan tambahan 20 mm dari segi lebar di samping tiga kerusi belakang berbeza dengan BMW X3 generasi pertama.

Briscoe berkata, pengenalan jentera enjin diesel itu mempamerkan keyakinan Kumpulan BMW bahawa teknologi maju diesel sebagai rumusan segera bagi sumber tenaga lebih bersih dan cekap untuk kegunaan di negara ini.

“Kerajaan Malaysia mendorong kami untuk memberikan komitmen ke arah memperkenalkan teknologi hijau terkini dan cekap.

“Fungsi Auto Start Stop membantu menjimatkan bahan api yang mana ia berfungsi menghentikan enjin secara automatik dimatikan apabila kereta tidak bergerak ketika pedal brek ditekan contohnya dalam kesesakan lalu lintas atau di lampu isyarat dan selepas pedal dilepaskan enjin akan dihidupkan semula,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan