Khamis, 17 Mac 2011

7 kilang Toyota keluar semula alat ganti

TOYOTA akan memulakan semula pengeluaran komponen alat ganti kenderaan di tujuh kilangnya di Jepun hari ini selepas memberhentikan operasinya susulan gempa bumi terbesar yang melanda negara itu.

Kilang berkenaan buat permulaan akan mengeluarkan alat ganti komponen untuk pasaran domestik dan bermula Isnin minggu depan akan memulakan pengeluaran untuk dibekalkan kepada kilangnya yang berada di luar negara.
Toyota memiliki 22 kilang di Jepun, 12 daripadanya dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat berkenaan.
Jurucakap Toyota berkata, syarikat itu belum mengetahui bila pihaknya akan memulakan semula pengeluaran di kilangnya yang lain yang mengeluarkan kereta.

Katanya, Toyota Tohoku, kilang baru di Miyagi mengalami kerosakan kecil ekoran gempa terbabit tetapi tidak terjejas oleh tsunami.

Saham Toyota ditutup 9.13 peratus lebih tinggi semalam sementara indeks Nikkei memantul semula daripada jualan besar-besaran selama dua hari yang mengheretnya turun sehingga 16 peratus.

Dengan penjimatan penggunaan tenaga di Jepun ketika ini, syarikat daripada pengeluar besar hinggalah kepada pembekal komponen penting menutup operasi kilang masing-masing.
Pasaran saham di seluruh dunia merudum kelmarin dicetuskan oleh kebimbangan terhadap krisis bekalan global.

Selepas gempa bumi terbesar yang pernah melanda Jepun pada Jumaat lalu, Toyota mengeluarkan kenyataan bahawa syarikatnya menangguhkan semua pengeluaran sekurang-kurangnya sehingga semalam. – AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan