Selasa, 29 Mac 2011

Banjir di Terengganu: 748 dipindah di empat daerah

KUALA TERENGGANU: Seramai 748 orang dipindahkan ke 10 pusat pemindahan mangsa banjir setakat 2 petang ini selepas empat daerah di Terengganu dilanda banjir berikutan hujan lebat luar biasa sejak semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Bencana Negeri Terengganu berkata, empat pusat pemindahan dibuka di Kemaman yang menempatkan 175 mangsa daripada 33 keluarga manakala di Marang sebanyak tiga pusat pemindahan dibuka menempatkan 31 mangsa banjir dari 13 keluarga. 


Di Kuala Terengganu, dua pusat pemindahan kini menempatkan 211 penduduk dari 46 keluarga yang mula berpindah sejak tengah malam tadi manakala di Dungun, sebuah pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan 22 mangsa daripada enam keluarga. 

Jurucakap itu berkata, operasi di semua pusat pemindahan mangsa banjir berkenaan diselenggara oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sehingga kini bekalan keperluan adalah mencukupi.

Katanya, kebanyakan tempat yang dilanda banjir merupakan kawasan rendah terutama di pesisir pantai.


Hujan lebat yang bermula sejak semalam dijangka berterusan sehingga esok.


Tiga laluan juga terpaksa ditutup iaitu di Kilometer (KM) 4 Jalan Batu Putih-Kertih di Kemaman yang ditutup kepada semua kenderaan setelah dinaiki air setinggi 0.67 meter sepanjang dua kilometer.

Dua lagi jalan yang ditenggelami air ialah KM109 dan KM116 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan yang masing-masing ditutup sebelah laluannya.

"Bilik Gerakan Bencana negeri akan dibuka 24 jam untuk memantau keadaan," kata jurucakap itu.


Mereka yang ingin mendapat maklumat lanjut mengenai banjir di negeri itu boleh melayari laman web http://etindakan.terengganu.gov.my atau menelefon bilik gerakan berkenaan di nombor 09-6316021. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan