Khamis, 24 Mac 2011

Wajarkah Penggunaan Tenaga Nuklear Sebagai Sumber Tenaga Baru?

KENAPA tidak guna tenaga nuklear? Ini merupakan pertanyaan yang sering kali dilontarkan setiap kali berlaku krisis kenaikan harga minyak.






Perkara ini bukan baru kerana ia berlarutan sejak tahun 1970-an apabila negara turut menggunakan minyak untuk menjanakan tenaga elektrik melalui operasi loji janakuasa yang ada.


Sebelum ini dalam mengatasi masalah kenaikan harga minyak, kita beralih kepada penjanaan menggunakan gas dan juga arang batu.

Malangnya, kedua-dua bahan berkenaan juga mengalami peningkatan harga.
Masalah peningkatan penggunaan tenaga elektrik telah memaksa penyedia tenaga itu mencari alternatif lain untuk menjana tenaga itu.

Pengunaan tenaga nuklear merupakan antara tenaga alternatif yang diutarakan termasuk empangan hidro, angin, solar, biomas dan tenaga boleh diperbaharui (RE).

Tenaga nuklear kini menjadi salah satu daripada pilihan untuk menjana tenaga elektrik tetapi pelbagai reaksi dan persepsi tercetus daripada perkataan nuklear itu sendiri.

Apa itu nuklear? istilah ‘nuklear’ merujuk kepada inti atau nukleus atom dan tenaga nuklear adalah tenaga yang dijana daripada tindak balas dalam nukleus atom.

Ada dua jenis tindak balas nuklear yang boleh digunakan untuk menjana tenaga, iaitu tindak balas pembelahan nukleus (nuclear fission) dan tindak balas pelakuran nukleus (nuclear fusion).

Loji-loji janakuasa nuklear yang terdapat di dunia adalah berasaskan tindak balas pembelahan nukleus, sedang loji nuklear berasaskan pelakuran nukleus kini masih dalam proses penyelidikan dan pembangunan dan dijangka tidak akan dapat digunakan dalam tempoh setengah abad akan datang kerana kesukaran teknologinya.

Proses penjanaan tenaga elektrik menggunakan tenaga nuklear melibatkan kitaran bahan api yang dimulai dengan perlombongan uranium, yang merupakan sumber utama untuk menyediakan tenaga nuklear.

Selepas itu, ia akan menjalani proses penukaran uranium, pengayaan uranium, penukaran semua uranium, fabrikasi bahan api dan diikuti dengan penggunaan dalam loji janakuasa nuklear.

Kemudian diikuti dengan penyimpanan sementara bahan api nuklear terpakai, sebelum diproses menjadi bahan api nuklear terpakai dan akhir sekali rawatan dan pelupusan akhir sisa nuklear aras tinggi.

Uranium biasanya diperolehi daripada negara-negara seperti Australia, Kazakhstan, Kanada dan Amerika Syarikat (AS).

Menurut sumber Agensi Nuklear Malaysia (ANK), penjanaan elektrik melalui loji janakuasa nuklear mampu menjamin keselamatan perbekalan tenaga negara.

Selepas 2030, loji-loji janakuasa nuklear Generasi Keempat (IV) yang masih lagi dibangunkan dijangka bukan hanya mampu menghasilkan elektrik, tetapi juga hidrogen cecair yang boleh diedarkan melalui sistem paip untuk dijadikan bahan api gantian petroleum bagi sektor pengangkutan, industri, domestik, komersial dan juga sektor-sektor lain.

Pada asasnya, penggunaan tenaga nuklear dapat mengurangkan pergantungan negara kepada tenaga fosil, terutama arang batu dan gas asli seperti yang digunakan sekarang oleh negara.

Penjimatan kos adalah dari segi kos penjanaan elektrik oleh loji kuasa nuklear yang lebih rendah berbanding sumber tenaga lain.

Di samping aspek kos, penggunaan kuasa nuklear mampu mempertingkatkan keselamatan perbekalan tenaga negara kerana jumlah tenaga yang boleh diperolehi daripada setiap tan bahan api nuklear, iaitu uranium, adalah jauh lebih tinggi daripada sumber tenaga lain.

Sumber tenaga nuklear mampu menjamin keselamatan perbekalan tenaga negara kerana semua jenis bahan api nuklear, sama ada uranium, thorium atau plutonium, mengandungi tenaga spesifik yang tinggi, tenaga spesifik adalah jumlah tenaga yang boleh dihasilkan dari setiap kilogram sesuatu jenis bahan api.

Menurut sumber ANK, kos yang diperlukan untuk membina loji nuklear adalah berbeza-beza mengikut keperluan kapasiti penggunaan tenaga, dan ia melibatkan kos modal dan kos operasi.

Pada peringkat awal, pembinaan loji nuklear adalah mahal, namun penjanaan tenaga elektrik daripada loji tersebut adalah murah berbanding loji arang batu. 

Sumber tenaga nuklear juga mampu menjamin keselamatan perbekalan tenaga negara akan lebih terjamin, terutama dalam keadaan pengurangan sumber tenaga yang lain di dalam negara, terutama simpanan atau rizab minyak mentah dan gas asli negara.

Daripada segi perlindungan alam sekitar, kadar penghasilan gas rumah hijau atau karbon yang jauh lebih rendah bagi setiap unit kuasa elektrik yang dijana, berbanding dengan sumber tenaga lain.

Walau bagaimanapun, tenaga nuklear juga mempunyai risiko dan reaksi negatif antaranya risiko kemalangan di loji janakuasa nuklear, namun jumlahnya masih lagi sedikit dibandingkan dengan kemalangan di loji-loji lain.

Masalah lain adalah penempatan loji tersebut yang perlu dipilih dengan betul bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang bakal timbul kelak seperti masalah kebocoran radiasi serta kesan kepada penduduk.

Pelupusan sisa nuklear dan radioaktif perlu diambil kira bagi mengelakkan masalah pencemaran yang akan mengganggu gugat kesihatan penduduk negara, selain pengurusan pembuangan sisanya harus mengikut prosedur yang ditentukan.  

Buat masa ini, Indonesia telah membuat keputusan dan sedang bercadang membina empat loji janakuasa nuklear dengan keupayaan 1,000MW setiap satu yang dijangka akan mula beroperasi pada tahun 2016.

Vietnam dan Thailand juga telah membuat keputusan dan bercadang membina loji janakuasa nuklear pertama di negara masing-masing, iaitu dua buah loji yang berkeupayaan 1,000MW untuk mula beroperasi di Vietnam pada tahun 2018 dan dua buah loji berkeupayaan 1,000MW untuk mula beroperasi di Thailand pada tahun 2021.

Sekiranya Malaysia memilih nuklear sebagai tenaga alternatif yang digunakan untuk menjana tenaga elektrik, proses itu perlu dimulakan daripada sekarang kerana proses menyiapkan loji tersebut memakan masa lima hingga 15 tahun.

Sekiranya Malaysia tidak mahu membangunkan tenaga nuklear, tumpuan perlulah diberikan kepada tenaga alternatif lain seperti yang disebutkan tadi. 

Dari segi kos, masa, keselamatan, dan geopolitik harus juga diambil kira. Seperti apa yang berlaku kepada Iran yang menerima tekanan akibat pembangunan senjata ini dan juga risiko-risiko yang mungkin berlaku seperti letupan loji nuklear yang pernah terjadi di Chernobyl, Rusia.

 

1 ulasan:

  1. Malu tak malu ni? Ku nak save page untuk mudahkan buat rujukan untuk assignment, tapi you tak benarkan... Katakan buat sendiri je. You buat ni sendiri ke??

    BalasPadam