Khamis, 17 Mac 2011

Mana Hilangnya Bintang Bersinar?



Masih ingat pada lagu kanak-kanak bahasa Inggeris 'Twinkle, Twinkle, Little Star' yang begitu popular di tadika dan peringkat awal umur persekolahan anak anda? Lirik lagu itu ialah tentang bintang-bintang yang bergemerlapan di langit, seolah-olah kelihatan seperti berlian yang bersinar. Ia diambil daripada sajak awal kurun ke-19 'The Star' yang ditulis penyair Inggeris Jane Taylor.

TIADA LAGI BINTANG DI LANGIT?

"Saya tidak nampak lagi banyak bintang yang bersinar di waktu malam. Sebenarnya saya tidak nampak satu bintang pun di kebanyakan malam," kata ahliperniagaan T.S. Wee. Wee ialah seorang pencinta alam sekitar dan tinggal di Kota Damansara dekat sini. Menurut Wee yang berumur 55, beliau masih dapat meliha bintang bila pulang ke kampung halamannya dekat pekan Tumpat di Kelantan.

Bapa kepada empat orang anak itu masih ingat ketika beliau masih kanak-kanak, beliau dapat melihat banyak bintang di langit dengan hanya duduk di depan rumahnya di kampung. "Guru sains di sekolah rendah saya pernah bercerita tentang beberapa kumpulan bintang yang boleh diimaginasikan sebagai Penceduk Besar, Penceduk Kecil, Beruang Besar dan juga Orion Si Pemburu. Sekarang begitu sukar hendak dapat peluang tengok kumpulan bintang-bintang ini," kata beliau.

KENAPA JADI SITUASI BEGINI?

"Saya ingat ini mungkin kerana pencemaran oleh cahaya, lebih-lebih lagi di kawasan bandar. Sebab itu kita dapat lihat bintang jika berada di kampung atau kawasan luar bandar yang mempunyai kurang lampu jika dibandingkan dengan bandar dan kota.
Apa itu pencemaran disebabkan cahaya?

Ia merupakan iluminasi (pencahayaan) langit di waktu malam disebabkan cahaya artifisial dari lampu-lampu.Masalah ini menjadi semakin serius dan merupakan satu cabaran besar bagi alam sekitar. Kebanyakan pencemaran disebabkan cahaya disebabkan proses urbanisasi serta kemudahan yang tidak punya perancangan teliti.

Menurut pakar, sebahagian besar daripada masalah ini berpunca dari lampu-lampu serta pencahayaan pada waktu malam yang tidak  perlu. Antaranya ialah lampu jalan, lampu di stadium dan padang sukan serta juga papan iklan. Bagaimanapun masalah ini sebenarnya boleh dikawal.

Menurut pakar-pakar lagi, pihak berkuasa boleh mengeluarkan peraturan bagaimana mengurangkan sumber cahaya yang tidak perlu manakala pemaju perumahan serta bangunan boleh menggunakan struktur serta kemudahan yang efisyen serta menjimatkan tenaga.

ILUMINASI BERLEBIHAN
Iluminasi yang berlebihan ialah satu daripada punca yang menyebabkan masalah  ini. Iluminasi berlebihan adalah penggunaan cahaya artifisial dari lampu yang melampaui keperluan. Aktivis sosial Gurmukh Singh menganggap sebagai satu perbuatan membazir jika meninggalkan tempat kerja selepas habis bekerja tanpa menutup suis lampu."Jika kita tutup lampu selepas  waktu bekerja, kita juga boleh jimat tenaga", kata beliau.

LAMPU JALAN

Menurut Gurmukh Singh lagi, kini pencemaran disebabkan cahaya menjadi semakin serius dalam atmosfera dan masalah itu berpunca daripada lampu-lampu jalan, papan iklan, rumah, lapangan terbang dan juga sumber lain. "Setiap malam jutaan sumber cahaya di seluruh dunia akan memancarkan tenagahingga ke langit di mana molekul udara, habuk-habuk terapung  serta juga titisan air akan memantul balik cahaya itu ke Bumi," kata beliau.

Gurmukh Singh juga menuding jarinya terhadap pencahayaan di luar rumah yang menurutnya sebab utama masalah ini terjadi.

"Lampu jalan serta juga lampu di stadium dan kawasan parkir kenderaan juga turut menyumbang kepada pencemaran ini," katanya. Katanya lagi, anak-anak kerugian besar jika mereka tidak dapat menikmati malam yang diterangi bintang di langit.

"Cuba bayangkan generasi kanak-kanak di bandar serta kota raya yang membesartanpa dapat melihat keindahan beribu-ribu bintang di langit. Mereka kerugian kerana tidak menikmati keindahan alam. "Orang pernah bercerita betapa indahnya bintang di langit di waktu malam . Dikhuatiri mereka hanya boleh kira dengan jari berapa kalikah mereka dapat menikmati malam-malam sebegini dengan banyak bintang bergemerlapan."

Kalau "The Star" menjadi sebahagian nyanyian popular kanak-kanak untukmenghargai bintang dalam bahasa Inggeris, mungkin ramai yang ingat versi Bahasa Melayu menceritakan keindahan malam dalam "Malam Bulan Di Pagar Bintang" oleh Tan Sri P. Ramlee.

 Antara liriknya:
"Malam bulan dipagar bintang
Tambah seri cuaca malam
Murni sungguh ciptaan Tuhan
Bulan bintang lampu alam
Andai kata bintang menyepi
Bulan tidak berseri
Malam menjadi sunyi
Tidak berseri lagi"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan