Rabu, 23 Mac 2011

Identiti Datuk T cetus tanda tanya

KUALA LUMPUR - Selepas 24 jam mencetuskan kontroversi kerana menayangkan kepada sekumpulan wartawan satu rakaman video seks yang didakwa membabitkan seorang pemimpin pembangkang dengan seorang pelacur di sini kelmarin, identiti Datuk T, iaitu orang yang mendakwa memiliki rakaman itu, terus kekal misteri.

Datuk T sehingga malam tadi masih menjadi tanda tanya bukan saja dalam kalangan orang ramai malah polis.

Satu sumber memberitahu, jika kelmarin kontroversi tersebut lebih kepada aksi lucah didakwa membabitkan pemimpin pembangkang namun semalam situasi itu berubah apabila ramai tertanya-tanya siapakah Datuk T.

Lebih menarik perhatian, apakah hubungan Datuk T dengan pemimpin pembangkang yang didakwa sebagai lelaki yang melakukan seks dalam rakaman video yang dimiliki Datuk T.

Maklumat yang diketahui mengenai Datuk T setakat ini ialah dia merupakan seorang lelaki Melayu berusia awal 50-an. 

Ketika muncul di Hotel Carcosa Seri Negara di sini kelmarin, Datuk T menunjukkan perwatakan serius dan mengambil sikap berahsia sepanjang tayangan video dijalankan.

Selesai tayangan, Datuk T dikatakan tidak bercakap kecuali mengedarkan sehelai kertas bersaiz A4 yang mempunyai butiran lanjut mengenai rakaman itu sebagai rujukan kepada kumpulan wartawan yang hadir.

Pada bahagian bawah kenyataan itu tertera nama 'The Insider'.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan