Jumaat, 18 Mac 2011

Selepas Tsunami, Jepun di ancam Bencana Nuklear pula (PT1)

Bencana nuklear dunia
 
SENDAI, Jepun 13 Mac – Pihak berkuasa Jepun berusaha mencegah satu lagi ancaman radiasi di dua buah reaktor nuklear di Fukushima hari ini, selepas sistem penyejuknya gagal berfungsi sekali gus boleh mengakibatkan bencana nuklear terburuk di dunia dalam tempoh 25 tahun.

Syarikat pengendali Tokyo Electric Power Co (TEPCO) terpaksa menggunakan air laut dan asid borik bagi menyejukkan reaktor No. 1 selepas satu letupan memusnahkan bumbung dan dinding bangunan konkrit itu semasa mereka cuba melepaskan tekanan semalam.

Struktur tangki reaktor nuklear itu bagaimanapun tidak terjejas.

Selain itu, pengendali reaktor tersebut turut membebaskan udara daripada tangki simpanan reaktor No. 3 bagi mengurangkan tekanan dan mengelak kerosakan.

“Kami belum tahu status sebenar bahan api di bahagian teras reaktor itu. Kami perlu mengenal pasti keadaan teras itu sama ada ia tertutup, rosak atau bahan api kini sedang cair,” kata pakar nuklear, Mark Hibbs daripada Pembiayaan Keamanan Antarabangsa Carnegie.

Ancaman yang dihadapi Jepun itu dibimbangi boleh mengulangi bencana nuklear di loji nuklear Chernobyl, Ukraine pada 26 April 1986, selepas bahan radioaktifnya dilepaskan ke udara dalam satu letupan kuat.

Sekurang-kurangnya 32 maut akibat kesan secara langsung letupan dan 8,000 yang lain mengalami kesan pencemaran radioaktif.

Lebih 120,000 yang lain terpaksa dipindahkan, sementara tahap pencemaran radiasi turut diukur sejauh barat Eropah.

Semalam, beribu-ribu penduduk di bandar sama dipindahkan berikutan letupan dan kebocoran yang berlaku di pusat reaktor No.1 di Fukushima, kira-kira 240 kilometer di utara Tokyo.

………………………………………………………………………………..
Korban mungkin lebih 10,000

Polis di Miyagi menjangkakan angka kematian di wilayah itu sahaja mungkin melebihi 10,000 orang, apabila bandar di timur laut Jepun itu musnah teruk akibat gempa bumi dan tsunami yang melanda kelmarin.

Jangkaan itu juga dibuat berdasarkan penemuan lebih 600 mayat di sepanjang kawasan pantai Miyagi dan Iwate, lapor agensi berita Kyodo.

Jurucakap polis, Go Sugawara berkata, ketua polis wilayah itu memaklumkan pegawai bantuan kecemasan bahawa mangsa terbunuh dijangka melebihi 10,000 orang.

Ini berikutan kira-kira 10,000 penduduk di bandar Minamisanriku, Miyagi telah terputus hubungan.

Setakat ini, pihak berkuasa Jepun meletakkan angka kematian tsunami dan gempa bumi pada lebih 1,400 orang, tetapi jumlah itu dijangka meningkat.

Seorang pegawai perbandaran di bandar Futaba, wilayah Fukushima berkata, kira-kira 90 peratus rumah di tiga kawasan perumahan musnah selepas dilanda tsunami.

Agensi NHK melaporkan, kira-kira 390,000 penduduk telah meninggalkan rumah mereka dengan kebanyakannya mendapatkan perlindungan di lebih 1,400 tempat pemindahan sementara di sekolah-sekolah dan pusat komuniti.

Perdana Menteri, Naoto Kan hari ini menyatakan, Jepun sedang berhadapan krisis terburuk sejak Perang Dunia Kedua apabila bilangan korban akibat bencana tersebut terus meningkat.

Beliau hari ini turut menggandakan jumlah askar yang dihantar ke kawasan terbabit kepada 100,000 orang ketika pekerja penyelamat sukar tiba ke kawasan terjejas ekoran keadaan jalan yang terputus hubungan.

Jutaan menghadapi krisis yang semakin buruk selepas Tsunami..


Tiada ulasan:

Catat Ulasan