LOS ANGELES - Seorang jurutera Amerika Syarikat (AS) yang membantu mencipta Arpanet, Paul Baran meninggal dunia pada usia 84 tahun di California pada Sabtu lalu, lapor akhbar The New York Times semalam.
Arpanet adalah merupakan sistem Internet pertama di dunia yang digunakan oleh tentera AS.
Memetik kenyataan anak lelaki saintis berkenaan, akhbar The New York Times menyatakan bahawa Baran meninggal dunia di rumahnya di Palo Alto, negeri California akibat barah paru-paru.
Dalam beberapa kertas kajian teknikal yang disiarkan dalam tahun 1960-an, Baran mencadangkan untuk membina satu rangkaian komunikasi yang lebih kebal terhadap serangan atau gangguan siber berbanding rangkaian komunikasi sedia ada, kata laporan tersebut.
Menurut The New York Times, ciptaan Baran yang dihasilkan pada pertengahan tahun 1960-an adalah jauh ke hadapan daripada zamannya, sehinggakan sebuah syarikat komputer utama AS, AT&T menolak untuk bekerjasama membina rangkaian komunikasi itu.
"Baran tidak takut memilih jalan bertentangan dengan pendapat dan idea semasa," seorang timbalan presiden syarikat Google, Vinton Cerf dipetik sebagai berkata oleh akhbar berkenaan.
"AT&T berulang kali menyatakan bahawa idea rangkaian Internet itu tidak akan berjaya dan enggan terlibat dalam projek Arpanet," tambahnya.
Arpanet kemudian dibina oleh Jabatan Pertahanan AS dalam tahun 1969, lapor akhbar The New York Times. Ia akhirnya digantikan dengan Internet yang kita kenali sekarang. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan