Bisnes Dunia: Indonesia nekad bina loji dekat gunung berapi
BENCANA di Fukushima membimbangkan sesetengah pakar terhadap loji nuklear yang berdekatan dengan zon seismos.
Rancangan diteruskan meskipun berlaku krisis nuklear di Jepun
KERAJAAN Indonesia berkata ia akan meneruskan rancangan membina loji nuklear berdekatan dengan garisan gunung berapi, meskipun berlakunya krisis nuklear di Jepun akibat gempa bumi dan tsunami.
“Jika kami memutuskan untuk membinanya (loji nuklear) di Pulau Bangka, sudah semestinya ia akan menepati pertimbangan yang mengikuti piawaian kriteria keselamatan antarabangsa,” kata Ketua Agensi Tenaga Atom Nasional (BATAN), Hudi Hastowo.
Pulau Bangka terletak di timur Kepulauan Sumatera di mana berlakunya gempa bumi bawah laut berukuran 9.1 magnitud yang turut mencetuskan tsunami pada 2004, dan mengorbankan 220,000 orang di beberapa negara yang terletak sekitar Laut India, termasuk 168,000 rakyat Indonesia.
“Kawasan itu secara relatifnya memiliki rekod aktiviti gunung berapi dan seismos atau sumber gempa yang stabil,” kata Hudi sambil menambah BATAN akan ‘pasti’ mengguna pakai teknologi yang lebih canggih daripada Jepun.
“Terlalu awal untuk membincangkan bagaimana krisis Jepun akan memberi kesan secara langsung terhadap projek kami.
“Namun, pastinya pada 2022 apabila kami membina loji nuklear itu, kami akan mengguna pakai sistem teknologi yang lebih baik,” katanya. Bencana yang menimpa loji nuklear Fukushima di Jepun mendorong sesetengah pakar membayangkan kebimbangan terhadap loji nuklear yang dibina berdekatan dengan zon seismos.
Sejumlah 20 peratus daripada 440 reaktor komersial yang beroperasi di seluruh dunia terletak berdekatan dengan kawasan ‘aktiviti seismos yang tinggi’, demikian menurut kumpulan industri Pertubuhan Nuklear Dunia (WNA). – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan