Selasa, 15 Mac 2011

Pelabur Jepun dijangka jual aset di luar negara

PETUGAS memindahkan pesakit di Hospital Futaba Kosei dipercayai terdedah kepada radiasi berikutan letupan loji nuklear    Fukushima Dai-ichi, kelmarin.
PETUGAS memindahkan pesakit di Hospital Futaba Kosei dipercayai terdedah kepada radiasi berikutan letupan loji nuklear Fukushima Dai-ichi, kelmarin.
 
Dana dibawa balik bantu pembangunan selepas bencana

PELABUR Jepun dijangka menjual aset masing-masing di luar negara dan membawa pulang dana bagi membantu membiayai proses pembinaan semula beberapa bandar di negara mereka yang musnah akibat bencana gempa bumi dan tsunami, beberapa hari lalu. 

Langkah itu dijangka akan mengheret turun nilai dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding yen dan akan menyebabkan kejatuhan ketara dalam perbendaharaan kerana bon kerajaan AS adalah aset pilihan di kalangan pelabur Jepun, kata penganalisis pasaran. Harga saham di pasaran New York juga dijangka berdepan tekanan. 

Syarikat insurans Jepun dijangka akan menjual beberapa aset masing-masing yang paling cair seperti Perbendaharaan AS bagi membolehkan mereka bertindak balas ke atas bencana terburuk negara itu sejak Perang Dunia Kedua.

Krisis itu boleh menyebabkan kerugian diinsuranskan bernilai hampir AS$35 bilion (RM106.1 bilion), kata syarikat pemodelan risiko, AIR Worldwide, sekali gus menjadikannya bencana paling mahal dalam sejarah iaitu hampir separuh daripada nilai kerugian keseluruhan bencana alam seluruh dunia bagi industri insurans.


Peniaga berdepan dengan kemungkinan itu pada Jumaat lalu, apabila nilai yen melonjak dan perbendaharaan menjunam.


Bank of Japan mungkin akan menyuntik wang ke dalam sistem bagi mengehadkan kecairan aset.

Bagaimanapun, persoalan besar adalah berapa banyak jualan susulan akan dilakukan.

Naib Pengerusi firma bernilai AS$150 bilion Loomis Sayles, Dan Fuss, memberitahu Reuters bahawa jangkaan terbaik adalah perbendaharaan akan terus menyaksikan kerugian.


Memandangkan Jepun adalah pemegang hutang kerajaan AS kedua terbesar dan mempunyai hampir AS$900 bilion dalam rizab dolar, Fuss berkata negara itu mungkin akan menggunakan rizab terbabit bagi tujuan pembinaan semula.


“Pembeli bon yang besar dibawa keluar dari pasaran,” kata Fuss sambil menambah bahawa Jepun ‘kurang mampu untuk menambah rizab mereka dan membeli Perbendaharaan’.


Krisis di Jepun itu juga akan memberikan alasan baru kepada tekanan ke atas penarikan saham yang ditunggu sekian lama.


Ramai pelabur bergantung kepada harga minyak yang susut pada Jumaat lalu berikutan kebimbangan gempa bumi di Jepun, akan menjejaskan sentimen ekonomi.


Ia muncul selepas mencecah paras tinggi berikutan rusuhan di Afrika Utara dan Asia Barat, tetapi ketegangan di rantau itu berterusan pada hujung minggu. – Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan