Khamis, 17 Mac 2011

Ranhill tangguh projek rumah RM3.6b di Libya

RANHILL Bhd menangguhkan pelaksanaan projek perumahan bernilai AS$1.2 bilion (RM3.6 bilion) di Libya berikutan keadaan yang tidak menentu di negara Afrika Utara itu.

Ranhill dijadualkan untuk menyiapkan fasa pertama projek perumahan Tajura, yang terletak di pinggir bandar ibu negara Libya pada pertengahan tahun ini. 

Keseluruhan projek di Tripoli itu dijangka siap pada 2013.
“Memandangkan rusuhan yang sedang berlangsung di Libya, perkara ini masih belum dapat ditentukan dan Kumpulan belum dapat memastikan kesannya kepada kewangan," kata Ranhill dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Ranhill melalui anak syarikatnya, Amona Ranhill Consortium Sdn Bhd memperoleh kontrak pembinaan pangsapuri di Tajura, Libya dari Lembaga Perumahan dan Utiliti Libya (HUB).

Melalui kontrak berkenaan, Ranhill diberikan tempoh 48 bulan untuk kontrak membina 10,000 unit pangsapuri yang diberikan HUB.

Selain projek pembinaan di Tajura, Ranhill turut diberikan kontrak membina 20,000 unit pangsapuri dua hingga lapan tingkat di Benghazi dengan kedua-dua bandar berkenaan terletak menghadap laut Mediterranean.

Libya menawarkan peluang pembangunan projek yang besar selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menarik balik sekatan perdagangan terhadap negara itu pada 2004.

Projek pembinaan perumahan oleh Ranhill disifatkan sebagai projek pembinaan swasta terbesar pernah diluluskan kerajaan Libya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan