Khamis, 17 Mac 2011

AS kekal faedah paras sangat rendah

RIZAB Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengekalkan kadar faedah pada paras yang sangat rendah dan meneruskan pakej rangsangan perbelanjaannya di tengah-tengah krisis di Asia Barat dan tragedi gempa bumi di Jepun.

Bank pusat AS itu mengekalkan kadar faedah pada kadar paling rendah dalam sejarah dan akan terus melaksanakan pelan rangsangan berjumlah AS$600 bilion (RM1.84 bilion) dalam usahanya untuk memacu pertumbuhan ekonomi bagi menampan sebarang kesan daripada kenaikan harga minyak berikutan krisis yang melanda Asia Barat dan krisis nuklear di Jepun. 

Tindakan itu diambil walaupun pemulihan ekonomi semakin rancak di AS. 

“Pemulihan ekonomi berjalan dengan baik dan keadaan keseluruhan dalam pasaran buruh menampakkan peningkatan yang menggalakkan,” kata Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan dalam satu kenyataan.

Kadar pengangguran di AS berkurangan kepada 8.9 peratus berbanding 9.4 peratus sebelum ini.

“Perkembangan positif ini bagaimanapun ditenggelamkan oleh pelbagai isu global di seluruh dunia,” kata Ahli Ekonomi UniCredit Research, Harm Bandholz sambil merujuk kepada tragedi gempa bumi di Jepun, iaitu kuasa ekonomi ketiga terbesar dunia.

“Hakikatnya ialah pada waktu ini, kami tidak tahu apa yang bakal berlaku - kepada rakyat Jepun, ekonominya atau siapapun,” katanya.
Bank Pusat AS itu bagaimanapun menolak kebimbangan mengenai kenaikan harga yang disebabkan peningkatan harga minyak susulan krisis yang melanda Libya.

Ketika rakyat AS dibebani dengan kenaikan harga minyak sebanyak 43 sen segelen (3.8 liter) bulan lalu kepada AS$3.56 (RM10.52), bank pusat itu berkata kadar inflasi masih terkawal. – AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan