Khamis, 17 Mac 2011

Malaysia berpotensi lokasi firma Jepun pindah operasi

pix_gal0
Bencana tsunami beri kesan negatif jangka pendek negara

BENCANA gempa bumi dan tsunami, disusuli pula ancaman kebocoran radiasi dari loji nuklear Fukushima Daiici di Jepun bakal memberi kesan positif dan negatif kepada ekonomi Malaysia. 

Antara kesan positifnya, Malaysia berpotensi menjadi lokasi pilihan bagi firma Jepun memindahkan operasi pengeluarannya sebagai sebahagian proses pengurusan risiko masing-masing.

Selain itu, Malaysia yang mengeksport bahan api mineral boleh meraih manfaat daripada keperluan Jepun untuk menggantikan loji jana elektrik nuklearnya yang musnah.

Syarikat tempatan juga berpeluang terbabit dalam usaha pembangunan semula beberapa infrastruktur negara itu.

Bagaimanapun bencana di Jepun itu juga bakal memberi kesan negatif jangka pendek kepada negara ini dari segi perdagangan, pelaburan dan perbelanjaan pengguna.

CIMB Research, dalam nota penyelidikannya berkata, penurunan satu peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun bakal mengurangkan pertumbuhan KDNK negara ini sebanyak 0.2 peratus, yang bagaimanapun dapat diimbangi oleh rakan dagang lain serta pertumbuhan dalaman.
Ketua Penyelidiknya, Terence Wong bagaimanapun berkata, dalam jangka panjang, beberapa firma Jepun mungkin menimbangkan memindahkan operasi pengeluaran masing-masing ke kawasan lain yang lebih selamat.

“Negara Asia termasuk Malaysia akan meraih manfaat menerusi pemindahan kemudahan pengeluaran dari Jepun sebagai sebahagian pengurusan risiko rantaian bekalan global,” katanya.

Malah, melihat perkembangan semasa beliau berkata, pasaran saham tempatan dilihat dapat menyerap tekanan dicetuskan bencana itu dengan agak baik.

“Sebagai sebuah pasaran dengan pegangan asing yang rendah, Bursa Malaysia dilihat sebagai pasaran selamat untuk pelabur asing dalam masa seperti ini,” katanya.

ECM Libra dalam nota penyelidikannya pula berkata dengan andaian jepun menggantikan sepenuhnya semua 14 reaktor yang musnah yang sebelum ini menghasilkan 11,964 megawatt elektrik dengan loji termal gas asli cecair (LNG), permintaan import LNG dan petroleum Jepun tahun ini masing-masing mungkin meningkat antara 4.3 peratus dan 5.2 peratus berbanding 2010.

Berikutan itu, katanya bahan api mineral iaitu eksport utama Malaysia, boleh meraih manfaat daripada keperluan Jepun itu.

Mengikut ECM Libra, Malaysia juga berada pada kedudukan baik untuk meraih manfaat daripada permintaan untuk bahan binaan seperti kayu dan keluli susulan projek pembangunan semula di negara itu.

Sementara itu, Wong berkata, kebocoran penuh loji nuklear di Jepun akan memberi kesan besar terhadap eksport serta pengeluaran produk berasaskan elektronik dan komoditi yang berpunca daripada gangguan berpanjangan rantaian bekalan serta penangguhan proses penghantaran disebabkan masalah logistik.

“Ini bakal diburukkan lagi dengan gangguan atau kekurangan bekalan, termasuk barangan pengantara dari Jepun kerana jentera dan peralatan pengangkutan merangkumi 57.5 peratus daripada import keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata, kebimbangan terbesar adalah potensi tersebarnya radiasi nuklear itu ke rakan dagang utama negara, iaitu China dan Korea serta melemahkan perbelanjaan pengguna, sekali gus mengurangkan permintaan terhadap barangan serta perkhidmatan tempatan.

Dari segi pelaburan, beliau berkata ia mungkin terjejas dalam jangka terdekat disebabkan sentimen pelabur yang lemah.

Dalam senario terburuk, Wong berkata kebocoran penuh loji nuklear di Jepun itu akan mengurangkan anggaran pertumbuhan KDNK asas Malaysia sebanyak 0.5 hingga satu peratus menerusi kesan pendapatan dan dagangan langsung atau tidak langsung.

“Kesannya akan lebih dirasai dalam suku kedua dan ketiga, tetapi kami menjangkakan pertumbuhan penuh tahunan masih positif,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan