Usaha stabilkan pasaran berikutan gempa bumi, tsunami, kebocoran nuklear
BANK of Japan (BoJ) menyuntik dana menyelamat tambahan berjumlah lapan trilion yen (RM296.4 bilion) ke dalam sistem kewangannya bagi melegakan pasarannya yang menerima kesan insiden gempa bumi, tsunami serta ancaman kebocoran loji nuklear.
BANK of Japan (BoJ) menyuntik dana menyelamat tambahan berjumlah lapan trilion yen (RM296.4 bilion) ke dalam sistem kewangannya bagi melegakan pasarannya yang menerima kesan insiden gempa bumi, tsunami serta ancaman kebocoran loji nuklear.
Ia diambil selepas bank pusat negara itu menyatakan ia akan menyuntik sejumlah rekod 15 trilion yen (RM558.6 bilion) untuk membantu menstabilkan pasaran kewangan jangka sederhananya, sekali gus menjadikan ia sebagai langkah permulaan kepada suntikan lebih banyak lagi dana berikutan bencana alam berkenaan.
Tanggungjawab utama bank pusat adalah memastikan institusi kewangan di wilayah yang dilanda bencana alam itu tidak kekurangan dana.
Pada hujung minggu lalu, bank itu menyediakan sejumlah 55 bilion yen dana kepada institusi kewangan berkenaan bagi mengurangkan tekanan sebelum mengumumkan lagi peruntukan baru pada Isnin lalu.
BoJ menambah tiga trilion yen lagi daripada sejumlah lima trilion yang diumumkan sehari sebelumnya.
Penganalisis berkata, susulan suntikan dana berkenaan, prestasi yen berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) merosot dalam sesi dagangan turun naik di Asia.
Dalam sesi dagangan petang semalam, dolar AS itu didagangkan pada 81.66 yen berbanding 81.65 yen pada lewat petang Isnin lalu di New York, sementara euro pada 113.79 yen berbanding 114.53 yen.
“Saya merasakan suntikan dana daripada BoJ adalah bersifat sementara, dan mereka akan keluar daripada pasaran secepat mungkin selepas semuanya kembali stabil,” jelas Pengarah Urusan Kajian Ekonomi dan Kewangan DBS Bank di Singapura, David Carbon.
“Kita harus memantaunya, dan saya berpendapat kelemahan yen adalah disebabkan oleh kerugian yang dialami pada ekonomi Jepun,” katanya.
Pasaran saham Jepun turut menjunam semalam berikutan kebimbangan kecemasan nuklear yang mungkin mencetuskan satu lagi malapetaka buruk, selepas paras radiasi berdekatan kawasan loji nuklear yang mengalami kebocoran itu semakin meningkat susulan letupan dan kebakaran.
Indeks Nikkei menjunam 14.17 peratus pada satu ketika sebelum mengakhiri dagangan pada 10.55 peratus lebih rendah atau 8,605.15 mata. Isnin lalu, pasaran saham itu jatuh 6.18 peratus. – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan