Khamis, 17 Mac 2011

Bekalan industri terjejas

Syarikat digesa cari sumber alternatif akibat gempa di Jepun

BEBERAPA sektor industri di Malaysia berpotensi berdepan gangguan rantaian bekalan dalam jangka pendek, khususnya bagi barangan pengantara seperti enjin kenderaan dan komponen elektrikal, susulan gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun Jumaat lalu. 

Ketua Ahli Ekonomi Rating Agency Malaysia (RAM), Dr Yeah Kim Leng, berkata gangguan rantaian bekalan itu juga berkemungkinan menolak naik harga bahan berkenaan. 

Katanya, syarikat perlu mencari sumber bekalan alternatif secepat mungkin bagi menangani perkara itu.

“Bagaimanapun, gangguan ke atas rantaian bekalan ini hanyalah untuk jangka pendek,” katanya pada taklimat meja bulat 2011 di Kuala Lumpur, semalam.

Kim Leng berkata, berdasarkan keupayaan Jepun menguruskan bencana gempa bumi di Kobe dengan cekap sebelum ini, pihaknya yakin rantaian bekalan akan kembali pulih lebih cepat daripada jangkaan.

Jepun mewakili 10 peratus daripada destinasi eksport Malaysia, manakala 12 peratus import negara didatangkan dari Jepun.

Beberapa kilang automotif di Wilayah Miyagi ditutup, antaranya Toyota, Honda dan Nissan disebabkan terputus elektrik dan gangguan berkaitan akibat kerosakan infrastruktur yang memberi kesan kepada penghantaran peralatan hingga ke aktiviti perkapalan.

Gangguan ke atas bekalan enjin dan komponen automotif dijangka memberikan kesan kepada pengeluaran kenderaan global tahun ini, kata JD Power and Associates.

Kesan gangguan bekalan bagi syarikat automotif dan pembekalnya akan mengurangkan jumlah kenderaan dan trak di pasaran AS menjelang hujung bulan ini atau seawal April, kata firma penyelidikan itu.

Sementara itu, firma penyelidik teknologi IHS iSuppli berpendapat gempa bumi di Jepun akan menyebabkan kekurangan ketara bekalan beberapa komponen utama teknologi yang menjurus kepada kenaikan harga.

Harga spot bagi cip NAND melonjak 20 peratus Isnin, manakala harga memori DRAM naik tujuh peratus, kata iSuppli.

Jepun menguasai 20 peratus pengeluaran semikonduktor dunia, termasuk 40 peratus cip memori yang digunakan dalam pelbagai aplikasi seperti telefon pintar, tablet dan komputer.

Malaysia antara pengeluar barangan elektrik dan elektronik utama di rantau ini.

Kim Leng berkata, nilai yen juga dijangka mengukuh berbanding mata wang utama dunia susulan keperluan untuk membawa masuk lebih banyak yen ke negara itu, dan ini akan meningkatkan kos pengeluaran kerana barangan dan komponen yang diimport dari Jepun menjadi semakin mahal.

“Bagaimanapun, kenaikan kos ini dapat diimbangi sekiranya ringgit turut mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan