Sabtu, 18 September 2010

Pembunuhan Kejam Sosilawati: Operasi Cari Bahan Bukti Dihenti

 WARTAWAN dan jurugambar berkumpul di depan pintu utama lokasi pembunuhan  jutawan kosmetik dan tiga rakannya.
WARTAWAN dan jurugambar berkumpul di depan pintu utama lokasi pembunuhan jutawan kosmetik dan tiga rakannya.
 
Bukit Aman tumpu proses siasatan, tempat kejadian masih dikawal ketat

KUALA LUMPUR: Bukit Aman menghentikan operasi mencari bahan bukti yang boleh dikaitkan dengan kes bunuh dan bakar jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga rakannya di sekitar tempat kejadian di Morib, Banting, semalam bagi menumpukan perhatian kepada proses siasatan dan pendakwaan kes itu.
Operasi itu bagaimanapun boleh dilakukan semula pada bila-bila masa, termasuk menghantar pakar forensik memeriksa tempat kejadian iaitu sebuah ladang persendirian di Tanjung Sepat, selain beberapa lokasi lain termasuk Kampung Kanchong Laut, Sungai Panchau dan Sungai Gelanggang Buaya sekiranya ada maklumat baru yang memerlukan bukti tambahan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata semua tempat kejadian masih dikawal ketat kerana dipercayai masih terdapat bahan bukti dan spesimen tertentu di situ yang boleh membantu polis dalam merungkai misteri pembunuhan itu.

“Tempat itu masih ditutup kepada orang luar supaya tidak mengganggu proses siasatan. Ia akan ditutup sehingga siasatan selesai sepenuhnya minggu depan apabila kertas siasatan dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk diteliti bagi tujuan pendakwaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini semalam.

Sosilawati, 47, pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages; pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44; perunding kewangan CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dipercayai dibunuh dan dibakar di sebuah ladang di Morib sebelum abu mayat mereka dibuang ke Sungai Panchau, 30 Ogos lalu.

Semua mangsa dilaporkan hilang selepas bertemu suspek utama iaitu seorang peguam dan ahli perniagaan bergelar Datuk di Banting. Berikutan itu, suspek bersama adik lelakinya, juga peguam dan enam pekerja mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Bakri berkata, pihaknya akan menunggu laporan ujian DNA dari Jabatan Kimia dan Unit Patologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang mungkin diserahkan selewat-lewatnya dalam tempoh empat hari sebelum polis boleh mengemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara.

“Tulang-tulang berkenaan sudah dihantar ke Jabatan Kimia dan difahamkan, sekurang-kurangnya empat hari diperlukan untuk proses analisis bagi menentukan dan mengenal pasti profil DNA serpihan tulang terbabit sama ada ia milik Sosilawati dan tiga yang lain.

“Kita yakin dapat menyelesaikan kes ini dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara minggu depan untuk dinilai, seterusnya memulakan proses pendakwaan. Kita tidak boleh melakukan perkara ini terburu-buru, siasatan mesti rapi dan tertakluk kepada lunas undang-undang,” katanya.

Sementara menunggu siasatan selesai, beliau meminta orang ramai dan media tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu kerana polis perlu menjalankan siasatan sebaik mungkin untuk memberi keadilan kepada keluarga mangsa yang mungkin gusar dan takut berikutan laporan disiarkan di radio, TV dan akhbar.

Mengenai empat kes orang hilang dan bunuh di Selangor dan Kuala Lumpur, termasuk jutawan berasal dari Chennai, India, Allal Kanthan Muthuraja, 34, Bakri tidak menolak kemungkinan ia mempunyai kaitan berdasarkan modus operandi.

“Buat masa ini, kita tidak akan bekerjasama dengan Polis Antarabangsa kerana laporan polis dibuat isteri lelaki itu di sini (Kuala Lumpur), tetapi sekiranya perlu, kerjasama itu akan dibuat untuk melengkapkan siasatan,” katanya.

Katanya, tempoh reman terhadap lima suspek termasuk peguam yang menjadi suspek utama disambung sehingga 23 September ini, manakala tempoh reman tiga lagi suspek tamat hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan