1. Shahrul Quran Pada bulan Ramadhan diturunkan Al-Quran. Apa jua amalan akan digandakan pada bulan tersebut. Rakyat Mesir tak kira tua muda, apa jua pangkat dan pekerjaan, tak kira di mana jua, akan kelihatan membaca Al-Quran sepanjang bulan Ramadhan. Pemandangan seorang pemuda berseluar jean dan berkemeja 't' yang tertulis pelbagai tulisan barat, membaca Al-Quran di dalam bas dan pengangkutan awam lain, bukanlah satu keadaan yang pelik.
Di Malaysia, kadang kala ada pertandingan Tilawah Al-Quran pada bulan Ramadhan. Ada disiarkan secara langsung di TV. Tadarrus juga diadakan di kebanyakan masjid dan surau. Ada juga disiarkan di TV di akhir malam, ketika kebanyakan kita telah masuk tidur. Siaran tertunda dari Masjidil Haram juga disiarkan, walaupun tertunda diadakan pada pukul 2 pagi. Kalau kita membaca Al-Quran di dalam bas atau di tempat-tempat awam, pasti timbul persoalan di benak pemikiran masyarakat, kalau pun tidak bersangka buruk.
2. Ihya' Layalir Ramadhan
Masyarakat Mesir akan berpusu-pusu ke Masjid "sepanjang" bulan Ramadhan untuk mengerjakan tarawih. Biasanya jemaah yang bersolat akan melimpah ke tepi jalan luar masjid. Keadaan kesesakan lalu lintas ketika hampir dengan Masjid setiap malam Ramadhan adalah pandangan biasa. Tazkirah antara tarawih oleh mereka yang ahli, diberikan begitu bersemangat dan ilmiah, menerangkan kelebihan dan kemuliaan Ramadhan. Kebanyakan masjid juga akan menkhatamkan Al-Quran dalam Tarawih. Tahajjud dan Iktikaf amat subur sepanjang Ramadhan di masjid-masjid, terutamanya di malam-malam akhirnya.
Muslimin di Malaysia memenuhi masjid untuk bersolat Tarawih. Kebanyakan masjid juga penuh. tapi sayangnya hanya di hari-hari awal Ramadhan. Bertambahnya hari puasa, makin berkuranglah bilangan saf di masjid. Ada juga masjid-masjid yang mengkhatamkan Al-Quran. Ada juga yang cuba membuat tazkirah, namun kebanyakannya terhalang oleh pihak tertentu. Tahajjud dan Iktikaf hanya dilakukan oleh beberapa masjid sahaja. Maklumlah akhir Ramadhan tentu sibuk dengan pesiapan hari raya bukan?
3. Sumbangan dan Infaq
Masyarakat Mesir cukup terkenal dengan sifat pemurahnya di bulan Ramadhan. Majlis berbuka puasa untuk umum diadakan di mana-mana, hatta di taman bunga. Pendek kata, sepanjang bulan Ramadhan jika anda tidak mahu memasak untuk berbuka puasa tiada masalahnya. Selain itu, jika anda di dalam perjalanan ketika azan maghrib berkumandang, usah risau. Pastinya di tepi-tepi jalan kelihatan mereka yang akan membahagi-bahagikan kurma dan minuman untuk berbuka. Sumbangan untuk para penuntut ilmu juga bertambah-tambah di bulan Ramadhan. Biasanya dalam bentuk barangan dapur, seperti minyak masak, gula, beras dan lain-lain. Para fakir dan miskin juga akan menerima habuan masing-masing di bulan Ramadhan. Pendek kata, Ramadhan dipenuhi disambut dengan begitu meriah bagi mereka.
Di Malaysia, kadang-kala ada juga diadakan majlis berbuka puasa untuk mereka yang tertentu. Tetapi kebanyakan fakir miskin masih terpinggir. Sesetengah masjid ada juga mengadakan majlis berbuka puasa untuk umum. Namun begitu bilangannya masih sedikit. Jika anda ingin membahagi-bahagikan kurma dan minuman di tepi-tepi jalan ketika waktu berbuka, anda mungkin dianggap tidak siuman, atau paling tidakpun, tiada yang sudi menerimanya. Bawalah bekalan sendiri jika merasa perlu berbuka dalam perjalanan. Masing-masing fikirkan diri sendiri.
4. Suasana
Sejak zaman berzaman, menjelang Ramadhan, rumah-rumah dan jalan-jalan akan diterangi oleh sejenis lampu yang dipanggil Fannusah. Ia merupakan sebuah kotak plastik berwarna-warni dan diletakkan lampu di dalamnya. Banyak rumah dan kedai meletakkannya. Selain itu, rakyat Mesir yang gemar bertengkar dan bergaduh juga akan reda amarahnya dalam bulan Ramadhan. Ketika baru ingin memulakan pertengkaran, jika diingatkan akan Ramadhan, maka berdamailah mereka. Kita juga akan saling mengucapkan tahniah dan doa sesama kita setiap kali bertemu.
Masyarakat Malaysia juga akan menerangkan rumah mereka dengan lampu kelip atau pelita, bukan untuk Ramadhan, tetapi kerana tidak sabar untuk berhari raya. Dari sebelum Ramadhan, jualan-jualan murah untuk hari raya kelihatan di sini sana. Iklan-iklan dan lagu-lagu di TV serta radio semuanya bertemakan hari raya. Seolah-olah terlupa "Puasa dulu, baru raya!"
5. Hari raya
Hari raya disambut sederhana di Mesir. Ada juga pakaian baru, hadiah raya (tak semestinya berbentuk duit) untuk kanak-kanak (dan dewasa juga dalam sesetengah keadaan), dan siaran khas di TV. Mereka akan mengucapkan tahniah kepada sesama mereka dengan datangnya hari raya. Solat sunnah Hari Raya biasanya diadakan di tempat-tempat lapang seperti di stadium dan dataran. Begitu ramai sekali jemaah yang hadir. Sebelum solat disunnatkan bersarapan dahulu (untuk aidil fitri), maka ada yang membahagi-bahagikan kurma sambil kita bertakbir. Takbir dibacakan dengan semangat dan beramai-ramai.
Hari raya disambut dengan begitu meriah di Malaysia. Tua, muda, miskin dan kaya semuanya menyambutnya dengan gembira, walau Ramadhan belum tentu terisi dengan baik. Kanak-kanak paling gembira kerana tidak dianggap peminta sedekah jika datang dari rumah ke rumah walau jauh dan tak dikenali untuk mengutip duit raya. Tak cukup rasanya ruang untuk menceritakan sambutan hari raya di Malaysia. Masing-masing dari kita memahaminya.
Persamaan: Persamaan yang ketara adalah apabila habisnya Ramadhan di Mesir dan Malaysia maka semuanya berjalan kembali seperti biasa. Amalan akan berkurangan secara drastik sekali.
Secara keseluruhannya masih banyak lagi ruang yang boleh diperbaiki di tempat kita. Bersama-samalah kita mencantikkan lagi suasana Ramadhan dan Eidul Fitri masyarakat kita. Dari kita bercakaran bilangan rakaat Tarawih, selawat antara solat, dan pelbagai perkara kecil dan khilafiah lain, lebih utama kita menyebarluaskan kefahaman yang betul dalam menghadapi Ramadhan dan hari raya. Mulakanlah dari sekarang bagi Ramadhan yang akan datang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan