Sabtu, 18 September 2010

Pembunuhan Kejam Sosilawati: Ladang seperti resort, terjaga rapi

KEBUN sirih, chalet, kandang haiwan eksotik dan beberapa bangunan setingkat terdapat di ladang milik suspek utama kes pembunuhan Sosilawati.
KEBUN sirih, chalet, kandang haiwan eksotik dan beberapa bangunan setingkat terdapat di ladang milik suspek utama kes pembunuhan Sosilawati.
 
BANTING: Kebun sirih, chalet, kandang haiwan eksotik dan beberapa bangunan setingkat selain premis untuk berhibur seperti karaoke, bar dan spa adalah antara komponen memenuhi ladang milik suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Tinjauan Berita Harian di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, dekat sini semalam, mendapati ladang yang dikatakan lokasi kejadian bunuh dan bakar empat mangsa itu dikelilingi tembok konkrit setinggi kira-kira 1.5 meter dan pada pintu kayunya pula tertera pelekat ‘Dilarang Masuk’ dan ‘Awas anjing ganas.’ 

 
 
Difahamkan, ladang yang masih dikawal anggota polis itu, belum diserahkan kepada keluarga suspek.
Berbanding dengan ladang sawit di kiri dan kanannya, ladang yang dianggarkan berkeluasan kira-kira 0.8 hektar itu kelihatan seperti sebuah resort dan keadaannya bersih serta terjaga rapi.

Beberapa ekor lembu kelihatan dibiarkan merayau dalam kawasan ladang, manakala bunyi salakan anjing kedengaran apabila petugas media berkumpul di pintu masuk ke ladang itu. Kebun sirih juga kelihatan seperti baru ditanam, berdasarkan keadaan anak pokok yang baru memanjat batang pancang yang didirikan.

Selain pintu masuk tempat petugas media berkumpul, ada satu lagi pintu pagar kayu kelihatan di hujung ladang berkenaan. Kedudukan ladang yang terletak kira-kira 500 meter dari pintu masuk utama di jalan besar itu agak tersorok berikutan jauh daripada penempatan penduduk dan dihubungi dengan jalan batu kerikil.

Sementara itu, sepasukan anggota forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat mengambil sampel tanah di tebing Sungai Arak, berhampiran Sungai Gelanggang Buaya, Kelanang, di sini pagi semalam, tetapi tidak diketahui tujuan sampel itu diambil.
Beberapa jam kemudian, dua kereta peronda polis jenis Mitsubishi Lancer Evo 10 dilihat memecut meninggalkan kawasan ladang persendirian milik suspek utama menghala ke arah Tanjung Sepat yang dipercayai membawa bahan bukti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan