Menyingkap sejarah dan tabir rahsia bagaimana agensi-agensi perisikan Rumah Putih beroperasi untuk menjadikan Amerika sebagai kuasa unipolar dunia.
Selepas Amerika Syarikat di gemparkan dengan peristiwa serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia di New York, Presiden Bush telah menyampaikan satu ucapan secara langsung kepada seluruh rakyat negara tersebut.
Dalam ucapannya ini, beliau telah menyatakan bahawa Amerika Syarikat akan melancarkan satu kempen tindak balas yang akan memusnahkan mereka yang didapati atau disyaki terlibat dalam komplot keganasan terhadap rakyat serta kepentingan negara tersebut, baik di dalam atau di luar Amerika Syarikat.
Dalam ucapan tersebut, beliau telah secara terang menjelaskan bahawa hanya terdapat dua pihak yang kini sedang bertelagah dan setiap negara di dunia harus membuat keputusan, iaitu sama ada untuk meyebelahi Amerika Syarikat atau jika tidak akan dilabelkan sebagai bersimpati dan mungkin juga bersekongkol dengan pihak pengganas.
Walaupun apa yang diperkatakan oleh Presiden George W. Bush ini kemudiannya menimbulkan sedikit kontroversi, dalam kemarahan beliau, presiden Amerika Syarikat ini, mengikut beberapa pemerhati sebenarnya telah meluahkan apa yang telah lama diidamkan oleh pihak Rumah Putih, iaitu menjadi satu-satunya kuasa dunia yang mampu secara langsung atau tidak langsung mempengaruhi bagaimana negara-negara lain bertindak dalam sesuatu isu yang berhubung kait dengan hubungan antarabangsa, baik dari segi ekonomi, politik, ketenteraan dan sebagainya.
Peranan CIA dan FBI era 1950-an hingga 1980-an.
Sebenarnya sebelum kejatuhan empayar Soviet Union lagi, Amerika Syarikat telah lama bergiat cergas dalam arena antarabangsa, sama ada dengan cara terang-terangan, sulit atau melalui negara-negara dan pertubuhan proksi. Ini dilakukan untuk menguasai corak pemikiran dan agenda politik dunia agar berpihak kepadanya. Tentunya hubungan diplomatik, bantuan kewangan serta ekonomi dan penjualan aset-aset ketenteraan tidak akan berjaya sepenuhnya untuk memastikan bahawa pemimpin atau setidaknya sebahagian besar dari rakyat sesebuah negara untuk menyokong tindak tanduk Amerika dalam menangani sesuatu isu, baik pada peringat serantau mahupun global.
Usaha-usaha ini telah mula dilakukan sejak dari bermulanya era Perang Dingin lagi. Presiden Eisenhower boleh dianggap sebagai pelopor dalam bidang mencampuri hal ehwal dalaman negara-negara berdaulat yang lain dalam sesuatu isu yang dianggap akan mendatangkan kesan terhadap kepentingan Amerika Syarikat. Walaupun demikian pada era 1950 dan 60an operasi-operasi atau program yang dilancarkan pihak berkuasa Amerika atau secara khususnya oleh agensi perisikan CIA untuk memastikan bahawa kepentingan Amerika sentiasa berada dalam keadaan baik, tidak langsung dihiraukan oleh masyarakat negara itu. Besar kemungkinan ini adalah akibat dari kebimbangan masyarakat sendiri terhadap ancaman fahaman Komunis yang kian menular. Ini termasuklah beberapa kempen yang secara terang-terangan membuktikan bahawa CIA terlibat secara langsung dengan aktiviti yang jelas bercanggahan dengan etika perhubungan antarabangsa.
Di rantau Asia Tenggara umpamanya, kebimbangan mengenai hubungan rapat antara Presiden Soekarno dan dua kuasa utama Komunis dunia telah memaksa pihak CIA untuk melancarkan operasi sulit bagi membantu beberapa siri pemberontakan di rangkaian kepulauan negara tersebut. Pada awal tahun 1958, penglibatan CIA semakin menonjol apabila dengan khidmat juruterbang upahan serta yang dimilikinya, 15 buah pesawat pengebom B-26 telah digunakan untuk mengebom kedudukan strategik, sama ada dari segi ketenteraan atau ekonomi di kepulauan-kepulauan tersebut. Antara yang paling dashyat adalah pengeboman terhadap pelabuhan Ambon yang memusnahkan sebuah kapal awam serta beberapa bangunan berdekatan pelabuhan itu. 700 orang awam diberitakan terbunuh dalam kejadian tersebut. Akhirnya tembelang CIA pecah apabila salah sebuah dari pesawat tersebut ditembak jatuh dan juruterbangnya, Allen Lawrence Pope telah ditawan. Beliau yang berasal dari Parrine, Florida telah ditemui membawa bersamanya dokumen-dokumen sulit yang mengaitkannya secara langsung dengan CIA. Kisah penglibatan CIA ini hampir tidak pernah dibangkitkan langsung atau menjadi satu isu dalam politik dalaman Amerika atau presiden yang memerintah ketika itu.
Selain CIA, sebuah agensi perisikan lain, yang dipertanggungjawabkan untuk mengawal keamanan Amerika Syarikat dari ancaman dalaman adalah pihak Biro Penyiasatan Persekutuan atau yang lebih dikenali sebagai FBI. Seperti juga CIA, FBI mempunyai program untuk membenteras individu atau kumpulan tempatan yang dianggap sebagai mengancam keselamatan negara. Program yang diberi nama COINTELPRO (Counter Intelligence Program) oleh pengarah FBI, J. Edgar Hoover pada 1964 membenarkan pihak FBI untuk menghantar anggota bagi menyusup masuk secara sulit ke dalam kumpulan, parti atau pertubuhan-pertubuhan yang disyaki mempunyai fahaman berhaluan kiri.
Tidak lama kemudian, bukan hanya kumpulan pro komunis atau sosialis sahaja menjadi mangsa, tetapi juga kumpulan atau pertubuhan anti perang (era Vietnam), hak asasi manusia serta pertubuhan buruh dan keagamaan. Tugas pegawai-pegawai Cointelpro adalah untuk mengumpulkan maklumat serta cuba melakukan provokasi agar ahli-ahli kumpulan tersebut akan bertindak ganas atau keterlaluan. Apabila ini berlaku dan bukti telah dikumpulkan, adalah mudah untuk FBI menyeret mereka yang sememangnya telah dijadikan sasaran ke muka pengadilan. Apa yang dashyat adalah bukti-bukti atau jenayah yang dikemuka atau dilakukan, kadang kala adalah sesuatu yang direka atau dilakukan sendiri oleh pihak yang berkuasa.
Walau bagaimanapun, segala-galanya berubah pada awal tahun 1970an. Dengan kesedaran yang lebih menonjol mengenai keadaan politik global, khususnya mengenai apa yang sedang berlaku di Vietnam, masyarakat mula mempersoalkan kegiatan-kegiatan agensi perisikan mereka dengan lebih teliti. Apa yang berlaku di Indochina, Chile, Angola dan skandal Watergate telah menjejaskan reputasi CIA dan masyarakat perisikan Amerika secara keseluruhannya. Keadaan ini berterusan sehinggalah kepada awal tahun 1980an dengan keadaan menjadi bertambah rumit terhadap agensi CIA. Pendedahan-pendedahan oleh bekas pegawai CIA, penyiasatan oleh Kongres serta badan-badan pemerhati CIA mengenai aktiviti-aktivit sulit CIA di luar negara mencemaskan serta memalukan pemimpin-pemimpin politik Washington.
Pihak FBI juga telah terpaksa membatalkan program Cointelpro pada tahun 1971 apabila mendapat tekanan akibat saman mahkamah serta penyiasatan yang dilakukan oleh ahli Senat, Senator Frank Solich terhadap kegiatan mereka yang dianggap berada di luar dari batas undang-undang.
Apabila Ronald Reagan dilantik menjadi persiden Amerika, beliau telah nekad untuk mengubah keadaan ini. Apa yang dilakukan adalah untuk menjalankan operasi-operasi ‘sulit’ ini secara terang-terangan, dengan itu syak wasangka dan persepsi masyarakat terhadap operasi ‘sulit’ yang sentiasa dikaitkan dengan sesuatu yang dibuat di luar dari batas undang-undang dapat diluputkan. Pada tahun 1983, sebagai sebahagian dari strategi bijak ini, kerajaan kepimpinan Reagan telah menubuhkan ‘National Endowment for Democracy’ atau NED di atas dasar “memperkukuhkan institusi demokratik di serata pelusuk dunia melalui usaha-usaha persendirian dan badan bukan kerajaan.” NED mendapatkan dananya untuk beroperasi dari Kongres dan menjalankan aktiviti-aktiviti yang selari dengan aktiviti CIA, iaitu mencampuri hal ehwal dalaman negara-negara berdaulat, di mana Amerika Syarikat dilihat mempunyai kepentingannya. Lazimnya NED akan membantu pertubuhan atau kumpulan-kumpulan anti pihak berkuasa di negara atau rantau yang dilihat mempunyai agenda politik yang bertentangan dengan kepentingan Amerika secara kewangan.
NED pada awal dan sepanjang tahun 1980an telah bergerak aktif dalam membantu apa yang diklasifikasikan sebagai kegiatan ‘mempromosikan atau menyokong kegiatan demokrasi’. Memandangkan ia adalah sebuah organisasi bebas, ia tidak terikat kepada mana-mana undang-undang dasar polisi luar Amerika Syarikat dan tidak dilihat sebagai melakukan penyelewengan terhadap dasar luar kerajaan Reagan yang menganjurkan dasar tidak campur tangan. Antara sasaran NED adalah Soviet Union (membantu pertubuhan Center for Democracy), Nicaragua (akhbar La Prensa), Poland (pertubuhan Solidarity), Perancis (Force Ouvriere – berfahaman anti-komunis dan National Inter University Union – berfahaman kanan) dan Filipina (pertubuhan National Citizens Movement for Free Elections).
Selain itu presiden Reagan telah mengembalikan keyakinan CIA yang tercalar akibat era 1970an untuk kembali aktif di pentas dunia. Sepanjang lapan tahun era pemerintahan Reagan menyaksikan CIA menggandakan pelbagai aktivitinya. Antara negara-negara atau kerajaan yang dikatakan ‘terjejas dan bergolak’ akibat jarum halus CIA sewaktu era presiden Reagan adalah Afrika Selatan, Fiji, Grenada, Libya, Surinam, Seychelles, El Salvador, Lubnan, Dominica, Mauritius, Chad, Afghanistan, Ethiopia, Angola, Nicaragua, Honduras dan Argentina. Operasi yang dijalankan adalah pelbagai, dari bantuan kewangan dan aset ketenteraan, menyekat pengaruh komunis kepada melatih pasukan militia sehinggalah membantu menggulingkan sebuah kerajaan yang anti Amerika.
Tidak seperti era 1970an, kerajaan Reagan telah berjaya menyemai semangat patriotisma yang tinggi di kalangan masyarakat Amerika dan mengembalikan kepercayaan mereka terhadap agensi-agensi perisikan negara serta kegiatan mereka melindungi kepentingan negara. Apabila skandal yang membabitkan penjualan senjata oleh Amerika kepada Iran dan pembebasan warga Amerika yang dicolek di Asia Barat sebagai pertukarannya terbongkar, kesan negatifnya tidak langsung menjejaskan presiden Reagan. Skandal yang dikenali sebagai ‘Iran-Contra Affair’ melibatkan penjualan senjata kepada kerajaan Iran, yang pada dasarnya adalah musuh nombor satu Amerika, dan hasil wang penjualan ini kemudiannya disalurkan untuk membeli peralatan ketrenteraan bagi menyokong gerila Kontra yang pada waktu itu melancarkan perang bagi menggulingkan kerajaan Nicaragua. Kes ini disiasat oleh pendakwaraya khas yang dilantik dan diketuai oleh bekas hakim persekutuan Amerika, Lawrence E. Walsh. Dalam penyiasatan tersebut, beberapa pemimpin terkemuka, termasuk William Casey (bekas direktor CIA), Robart McFarlane (penasihat keselamatan negara), John Pointdexter (bekas penasihat keselamatan negara), Caspar Weinberger (bekas setiausaha pertahanan) dan pegawai marin, Leftenen Kolonel Oliver North yang merupakah salah seorang anggota badan keselamatan negara atau NSC telah didapati bersalah memanipulasi, merahsia dan melakukan jenayah. Antara mereka ada yang dijatuhkan hukuman denda dan penjara sehinga enam bulan. Namun pada Disember 1992, presiden Bush telah mengampunkan kesemua mereka yang terlibat, walaupun laporan lengkap hasil penyiasatan hakim Walsh masih belum diketahui umum. Apabila laporan dikeluarkan pada 1994, Walsh telah mendapati bekas presiden Reagan dan Bush telah memainkan peranan masing-masing dalam skandal tersebut, tetapi laporan tersebut tidak mengaitkan sebarang pertuduhan jenayah terhadap kedua mereka.
NSA – Agensi sebenar yang memiliki taring?
Apabila memperkatakan tentang agensi-agensi perisikan Amerika Syarikat, tentunya CIA dan FBI adalah dua agensi yang dianggap paling utama. Walaupun demikian perkara ini sebenarnya tidak begitu tepat, dan ramai pemerhati berpendapat bahawa sebuah lagi pertubuhan yang dinamakan NSA adalah pemegang kuasa yang mutlak. Pertubuhan National Security Agency (Agensi Keselamatan Negara) atau NSA telah ditubuhkan atas perintah presiden Henry Truman. Pada asalnya ia adalah merupakan suatu organisasi yang dimiliki oleh Jabatan Pertahanan Amerika yang dikawal oleh Staf Perkhidmatan Bersama ketiga-tiga cabang agensi keselamatan tentera darat, laut dan udara yang diklasifikasikan sebagai AFSA (Armed Forces Security Agency). Dari segi teori, AFSA, yang ditubuhkan pada Mei 1949, mempunyai tanggungjawab untuk menyalurkan maklumat perisikan komunikasi dan elektronik kepada kesemua cabang angkatan tentera.
Pada Jun 1952, setelah melakukan kajian kepada aktiviti perisikan komunikasi secara menyeluruh, pengurusi kajian tersebut, Herbert Brownell telah mencadangkan bahawa terdapat keperluan bagi menyusun dan mengkoordinasikan aktiviti tersebut pada peringkat nasional.
Selain itu menurutnya lagi skop yang perlu dimainkan oleh AFSA juga mestilah merangkumi aktiviti perisikan yang tidak terhad kepada angkatan tentera sahaja. Setelah mengkaji laporan Brownell, Presiden Henry Truman pada Oktober 1952 telah bersetuju untuk menubuhkan NSA. Apa yang menjadikan NSA unik dan dianggap sebagai paling berkuasa adalah kerana ia ditubuhkan melalui perintah terus dari presiden dan ia juga memiliki kunci kepada perkara paling utama yang mesti dimiliki oleh mana-mana agensi perisikan sekiranya ia mahu bergerak sebagai sebuah agensi perisikan yang efektif.
Perkara tersebut adalah – maklumat atau informasi. Objektif utama NSA pula adalah bagi membekalkan maklumat perisikan ketenteraan, diplomatik dan ekonomi. Dengan pengumpulan maklumat secara intensif, Amerika mengharapkan bahawa peristiwa seperti serangan ke atas Pearl Harbour tidak akan berulang lagi. Selain itu ia juga bertanggungjawab terhadap keselamatan sistem komputer yang digunakan oleh pihak berkuasa Amerika.
Ibu pejabat NSA terletak hanya beberapa kilometer dari luar Bandar Washington DC, iaitu di dalam kem tentera yang diberi nama Fort Meade. Kewujudannya adalah suatu rahsia yang dijaga rapi dan apa yang menarik adalah Fort Meade tidak wujud pada kebanyakan peta pelancongan yang dijual pada um um. Dipercayai hampir 38,000 individu berkhidmat di ibu pejabat NSA ini setiap hari, jumlah yang lebih tinggi berbanding jumlah pekerja CIA dan FBI digabungkan sekali.
NSA dan Projek ECHELON.
Apabila Perang Dunia Kedua tamat, United Kingdom, Australia,Kanada dan New Zealand telah membentuk suatu pakatan perkongsian perisikan maklumat elektronik yang mempunyai asal usulnya sewaktu mereka menentang kuasa Paksi, iaitu Jerman dan Jepun. Setiap ahli mempunyai pertubuhan prisikan maklumat tersendiri dengan nama GCHQ (United Kingdom), DSD (Australia), GCSB (New Zealand) dan CSE (Kanada). Pertubuhan yang dikenali sebagai Commonwealth SIGNIT Organization ini adalah dibawah kelolaan GCHQ yang merupakan markas komunikasi kerajaan United Kingdom. Pada masa yang hampir sama iaitu antara tahun 1947 dan 1948, United Kingdom juga telah menandatangani perjanjian UKUSA yang merupakan beberapa siri perjanjian, tukar menukar maklumat serta memorandum persefahaman dengan Amerika Syarikat khususnya dengan NSA, mengenai pengumpulan data serta pelbagai maklumat yang dipancarkan melalui media elektronik dari seluruh dunia. Gabungan Commonwealth SIGNIT Organization dan UKUSA kemudiannya memulakan Projek Echelon yang merupakan sistem pengintipan komunikasi elektronik yang khusus ditujukan kepada Soviet Union dan sekutu mereka yang pada waktu itu, merupakan ancaman paling utama bagi pihak Barat.
Struktur projek pengintipan maklumat komunikasi dikenali sebagai ECHELON ini daripada segi prinsipnya adalah mudah. Struktur utama sistem ini adalah merupakan rangkaian stesen penerima disambungkan terus kepada lima satelit pengintip yang mengelilingi bumi. Ia mampu mengesan dan memantau pancaran komunikasi elektronik yang menggunakan jaringan sistem satelit Intelsat (dipercayai terdapat 120 satelit yang digunakan oleh NSA).
Dari segi cara beroperasi, ia boleh diibaratkan sebagai sebuah kapal penunda pukat jaring gergasi yang akan mengaut serta mengumpulkan sehingga 2 juta pesanan elektronik dalam masa satu jam! Ini termasuklah hubungan telefon, faks, telexs dan e-mel. Bagi memastikan bahawa pengumpulan maklumat dilakukan dengan sistematik, setiap ahli UKUSA diperuntukkan kawasan tersendiri. Bagi pengintipan di kawasan Timur Laut Hindi dan sebahagian Asia Tenggara serta tenggara Pasifik, ia diletakkan di bawah kelolaan DSD. Afrika dan sebahagian dari Soviet Union pada GCHQ, utara Russia dan sebahagian dari Eropah kepada CSE, manakala sebahagian kecil tenggara Pasifik diserahkan kepada GCSB.
Baki kawasan-kawasan lain keseluruhannya di pantau oleh NSA. Selain dari negara-negara yang disebutkan, Jerman, Jepun, Norway, Korea Utara dan Turki turut terlibat dalam komuniti UKUSA, walaupun demikian pada tahap yang agak terhad. Bagi memproses maklumat yang dipantau, stesen-stesen bumi di bina di beberapa lokasi strategik seperti di Yakima, Washington; Sugar Grove di West Virginia – keduanya di Amerika Syarikat, Morwenstow di Cornwall, England, Waihopai di New Zealand dan Geraldton, di Australia. Stesen penerima bumi di lokasi-lokasi ini akan ‘memintas atau menangkap’ kesemua perhubungan satelit Intelsat.
Bahagian kedua struktur Echelon pula adalah rangkaian sistem stesen penerima yang akan memintas perhubungan elektronik yang menggunakan sistem satelit selain dari Intelsat. Dipercayai terdapat lima stesen bumi yang dikhususkan untuk mengintip satelit-satelit Rusia dan satelit komunikasi serantau yang lain. Ianya adalah terletak di Menwith Hill di utara England,, Shoal Bay di luar bandar Darwin, Australia, Leitrim, di selatan Ottawa, Kanada, Bad Aibling di Jerman dan Misawa di utara Jepun. Stesen di Shoal Bay dikatakan mengintip satelit kepunyaan Indonesia manakala di Leitrim bagi memintas komunikasi satelit negara-negara Amerika Latin.
Struktur terakhir komponen Echelon adalah sekumpulan pusat pemintas maklumat telekomunikasi berasaskan jalan darat. Selain dari komunikasi menggunakan satelit dan radio, satu lagi cara yang paling utama digunakan untuk menghantar dan menerima maklumat serta berkomunikasi adalah dengan menggunakan kabel di bawah permukaan laut serta jaringan pemancar gelombang mikro di permukaan bumi.
Bagi sistem kabel di bawah laut, pintasan maklumat akan dilakukan apabila kabel-kabel tersebut keluar dari lautan dan disambungkan ke stesen pemancar gelombang mikro. Unit pemintas lazimnya akan dibina atau diletakkan di dalam struktur bangunan biasa yang terletak diantara dua pemancar gelombang mikro. Kadang kala pintasan dibuat secara langsung dari kabel utama.
Apa yang dilakukan adalah menyambungkan kabel utama dengan kabel ‘curi’ yang kemudiannya disalurkan ke bangunan yang mengandungi pelbagai peralatan elektronik canggih bagi memintas semua jenis komunikasi yang berlaku. Sistem Echelon adalah di bawah kawalan NSA dan GCHQ, dengan NSA dikatakan lebih berkuasa memandangkan mereka adalah pihak yang membiayai sebahagian besar dari perbelanjaan projek itu. Menurut sumber tertentu, dengan belanjawan berjumlah 3.6 billion Dollar Amerika, perkara ini bukanlah sesuatu yang harus dirisaukan! Perkara mengenai siapakah yang benar-benar berkuasa dan mengawal aliran maklumat sulit yang diperolehi jelas terbukti dalam satu insiden yang berlaku pada tahun 1995.
Pada tahun tersebut beberapa pegawai perisikan Australia telah mendedahkan kepada firma Australia Broadcasting Company bahawa ejen-ejen perisikan Australia telah memasang pepijat elektronik atau alat pengintip elektronik di dalam pejabat kedutaan China di Canberra. Walaupun demikian mereka tidak mempunyai akses kepada apa jua maklumat elektronik yang dihantar dari pepijat kepada stesen penerimanya. Ini adalah kerana pihak Australia hanya memasangnya atas permintaan NSA, yang mengumpul dan menganalisa kesemua data di kedutaan tersebut. Ramai percaya pendedahan ini dilakukan akibat segelintir dari kalangan agensi perisikan Australia tidak senang dengan tindak tanduk Amerika kerana pada waktu itu, kedua negara, Australia dan Amerika sedang bersaing untuk mendapatkan kontrak membekalkan gandum kepada China.
Ancaman Echelon terhadap kawan dan lawan?
Sejak pembubaran Soviet Union ancaman dari agensi pengintipan Rusia dan pakatan Warsaw bukan lagi dianggap sebagai ancaman utama. NSA bagaimanapun terus memainkan peranan, terutamanya dalam usaha mengesan ancaman yang mungkin datang dari pertubuhan-pertubuhan pengganas atau negara-negara yang dilabelkan sebagai menyokong aktiviti keganasan seperti Iran, Iraq, Libya, Korea Utara dan Afghanistan.
Kurangnya tumpuan terhadap aktiviti perisikan ketenteraan mungkin menyebabkan aktiviti terhadap perisikan lain seperti politik dan perdagangan meningkat. Aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan perisikan perdagangan kini menjadi satu isu yang tidak meyenangkan di antara ahli-ahli Kesatuan Eropah. Rakan-rakan Amerika kini berpendapat, NSA telah menyalah-gunakan kemudahan pengintipan maklumat ekonomi dan perdagangan dengan menyalurkan maklumat tersebut kepada firma-firma perdagangan dan korporat Amerika Syarikat. Pada 1994 umpamanya, NSA telah menyalurkan maklumat penting kepada firma-firma automobil Amerika Syarikat bagi memastikan bahawa mereka mampu bersaing dengan firma-firma Jepun dalam pasaran global.
Ini jelas bertentangan dengan undang-undang Amerika yang menetapkan bahawa NSA tidak dibenarkan menyalurkan maklumat kepada firma persendirian atau korporat. Kejadian ini dikatakan semakin menular pada akhir tahun 1990-an.
Dua contoh di mana NSA dikatakan terlibat secara langsung dengan memberikan maklumat kepada firma korporat adalah dalam kes kontrak penjualan pesawat dan sistem radar. Dengan maklumat dari NSA, firma Boeing dan McDonnell Douglas dikatakan telah mendapatkan kontrak bernilai 6 bilion Dollar Amerika, mengetepikan saingan dari European Airbus Industrie. Firma Raytheon pula dengan berbekalkan maklumat dari NSA telah berjaya merebut kontrak bernilai 1.3 bilion Dollar Amerika, mengalahkan tender dari firma Thomson-CSF untuk membekalkan sistem radar kepada Brazil. Keadaan ini menyebabkan seorang peguam Perancis menyaman kerajaan Amerika Syarikat dan United Kingdom atas alasan Echelon digunakan untuk mencuri maklumat rahsia perdagangan. Agensi-agensi perisikan Jerman, Perancis dan Itali pula mula menyatakan bantahan terhadap usaha-usaha untuk mempertingkatkan kemampuan stesen pengintip F83 di Menwith Hill, England, yang merupakan stesen pengintipan terbesar di dunia yang dioperasikan oleh NSA.
Selain dari membekalkan maklumat perdagangan, menurut beberapa sumber, NSA telah membantu pihak Rusia untuk menghapuskan pemimpin gerakan pemisah wilayah Chechnya, Dzokhar Dudayev. Dengan tamatnya era Perang Dingin, sistem perisikan pihak Rusia dikatakan berada dalam keadaan yang lemah dan tidak mampu beroperasi dengan baik, manakala pemberontak Chechnya mengancam akan membawa wilayah tersebut keluar sebagai sebuah negara merdeka. Apabila tentera Rusia gagal menghapuskan gerila Chechen dan pemimpin mereka, NSA dikatakan telah membantu pihak Rusia mengesan kedudukan Dudayev dengan menggunakan salah satu satelit pengintipnya.
Cara yang digunakan adalah dengan mengesan gelombang yang dipancarkan sewaktu Dudayev menggunakan telefon beliau. Frekuensi isyarat gelombang ini diberikan kepada pihak Rusia yang kemudiannya menghantar pesawat udaranya yang dilengkapi peluru berpandu bagi memintas isyarat gelombang tersebut dan mengekori tempat sumber isyarat bermula. Perkara ini telah dibuktikan oleh Wayne Madsen, salah seorang pakar dalam bidang SIGNIT (Perisikan Komunikasi) dan keselamatan komputer. Beliau bukan sahaja mendedahkan perkara tersebut, malahan menjelaskan satelit NSA manakah yang mampu melakukan tugas pemintasan isyarat dan menjejak arah dari mana gelombang tersebut dipancarkan. Penjelasan beliau begitu terperinci sehinggakan dalam salah satu seminar yang diberikan Madsen, seorang pegawai anggota tentera udara Amerika Syarikat yang juga anggota NSA bertikam lidah dengan beliau dan menuduh Madsen membahayakan ejen-ejen perisik NSA mengenai perkara tersebut.
Echelon dan Ousama
Apabila Ousama Ben Laden berpindah dari Sudan ke Afghanistan pada pertengahan tahun 1990-an, pihak NSA diberitakan telah memintas setiap panggilan telefon selular yang beliau lakukan. Sepanjang lebih dua tahun NSA dipercayai telah merakam lebih 2,000 minit percakapan antara Ousama dan anggota-anggota kumpulan Al-Qaeda. Kesemuanya ini berakhir apabila pada tahun 1998 Presiden Clinton mengarahkan kekuatan armada di Lautan Hindi untuk melancarkan berpuluh-puluh peluru berpandu kruis Tomahawk ke kem-kem latihan beliau di Afghanistan. Amerika yang telah melihat betapa efektifnya operasi ke atas Dzokhar Dudayev dipercayai cuba menggunakan taktik yang sama. Namun serangan ini gagal mencapai matlamatnya dan Ousama berjaya menyelamatkan diri. Sejak 1998, Ousama yang tahu setiap komunikasinya kini diintip oleh NSA tidak lagi menggunakan telefon selular untuk berbincang mengenai perihal operasi , begitu juga dengan anggota-anggota kanan Al-Qaeda yang lain.
Apakah yang dilakukan oleh NSA dan berapa banyak maklumatkah yang berjaya dikumpulkan sejak 1998 sehingga 2001 masih menjadi tanda tanya. Namun kegagalan menghapuskan Ousama telah memberikan beliau serta mereka yang bersimpati dengan perjuangannya, maklumat penting mengenai bagaimana NSA beroperasi dan betapa rapuhnya sistem keselamatan komunikasi elektronik. Menurut Mike Frost, bekas pegawai SIGNIT Kanada, jika NSA berjaya memintas pelbagai jenis komunikasi dalam jumlah yang berjuta, masalah besar yang akan mereka hadapi ialah mereka tidak mempunyai cukup kaki tangan untuk menganalisa setiap komunikasi tersebut, dan menurutnya lagi, sebahagian besar dari maklumat ini akan hanya disimpan di dalam arkib di Fort Meade. Pendapat ini disokong oleh James Bamford, seorang penulis yang telah mengkaji kegiatan NSA sejak dari awal tahun 1980-an. Katanya, setiap satu dari sedozen stesen pemintas Echelon mampu mengutip sehingga 2 juta komunikasi setiap jam dalam pelbagai bentuk – telefon selular, e-mel, faks dan sebagainya. Jika dijumlahkan, ini bermakna, dalam masa sehari 500 juta jam komunikasi perlu diteliti dalam pelbagai jenis bahasa dan tulisan!
Jumlah maklumat yang terlalu banyak dan cara Ousama menghadkan komunikasi elektroniknya menjadikan tugas mengesan dan membuat perkiraan mengenai apakah langkah Ousama seterusnya menghadapi jalan buntu.
Menurut sebuah akhbar terkemuka Jerman, Frankfurter Allgemeine Zeitung (FAZ), maklumat yang agak samar telah diperolehi oleh Echelon mengenai satu serangan yang akan dilancarkan ke atas kepentingan Amerika dan sekutunya. Agensi perisikan Israel dan Jerman turut meramalkan bahawa terdapat rancangan untuk merampas pesawat udara di Eropah dan Asia bagi tujuan yang sama. Maklumat ini juga dikongsi oleh NSA bersama dua badan perisikannya iaitu CIA dan FBI.
Namun memandangkan terdapat persaingan di antara dua agensi terbabit mengenai siapakah yang lebih efektif dan unggul dalam bidang perisikan Amerika Syarikat, tiada tindakan serius diambil untuk bertukar maklumat atau bekerjasama untuk menyelesaikan teka-teki operasi anti-Amerika yang berikutnya.
Selain itu Ousama dipercayai berjaya memperdayakan agensi perisikan Barat dengan mengarahkan satu operasi dilakukan pada Oktober 2000 yang akan mengalihkan tumpuan agensi-agensi perisikan Amerika dari dapat meneka langkah beliau yang berikutnya. Dalam serangan berani mati tersebut, sebuah bot kecil yang sarat dengan bahan letupan melanggar bahagian tengah kapal USS Cole yang sedang berlabuh di pelabuhan Aden, Yemen, mengakibatkan kematian sejumlah kelasi tentera laut Amerika dan merosakkan kapal tersebut dengan teruk.
Berkemungkinan besar taktik ini berjaya dan membuatkan CIA bergitu ghairah menumpukan perhatian mereka ke Asia Barat bagi melindungi kepentingan Amerika dan tidak menghiraukan atau begitu mempercayai maklumat mengenai satu serangan dahsyat yang akan berlaku di tanah air mereka sendiri.
Apabila serangan 11 September berlaku ianya adalah tamparan yang amat hebat ke atas NSA, CIA dan juga FBI. Kelengkapan elektronik, satelit dan komputer cerdik yang bernilai berbillion Dollar Amerika serta beribu-ribu kakitangan NSA gagal meramalkan serangan yang mirip kepada taktik serangan ke atas Pearl Habour. Apa yang unik dalam serangan 11 September ialah mereka yang melancarkan operasi tersebut melakukan segalanya secara terbuka, dan bukan secara sulit. Ini bermaksud, mereka tidak menggunakan atau meminta bantuan dari sumber-sumber yang terkenal dengan aktiviti bawah tanah atau jenayah. Contohnya mereka tidak menghubungi kumpulan-kumpulan penjenayah atau Mafia untuk membeli bahan letupan atau senjata api, ataupun belajar memandu pesawat udara secara sulit.
Segalanya dilakukan secara terbuka mengikut prosedur undang-undang, malahan lima dari mereka yang disyakki terlibat merampas pesawat yang merempuh Pentagon tinggal di sebuah motel yang terletak berhadapan dengan bangunan pejabat NSA! Sama ada perbuatan ini disengajakan atau tidak sukar dikenal pasti, namun perancang serangan ini mungkin arif dengan kemampuan Echelon dan tahu bahawa jika beliau meminta bantuan dari sumber-sumber yang diragukan, berkemungkinan besar setiap panggilan telefon, e-mel atau komunikasi elektroniknya akan dipintas dan direkodkan oleh NSA. Dengan tidak menimbulkan syak wasangka atau melakukan perhubungan elektronik secara terus dengan Ousama, pertubuhan Al-Qaeda atau kumpulan-kumpulan yang bersimpati dengan mereka, amat sukar bagi NSA menjumpai bukti yang konkrit atau hitam putih yang menjelaskan bahawa mereka bercadang untuk melakukan serangan tersebut.
OSI – Agensi propaganda dengan agenda sulit
‘Office of Strategic Influence’ atau OSI dicipta secara langsung akibat dari peristiwa September 11 dan peperangan Amerika ke atas rejim Taliban di Afghanistan. Tugas utama OSI adalah untuk membekalkan atau menjadi sumber berita, sahih dan di sebaliknya, kepada media asing atau antarabangsa sebagai salah satu dari usaha untuk mempengaruhi pendapat masyarakat dan penggubal undang-undang di negara lain, sama ada ianya negara sahabat atau seteru. Ini adalah kerana pihak Amerika bimbang mengenai kredibiliti kempen mereka untuk menentang keganasan yang semakin tidak popular di kalangan mesyarakat negara asing, khasnya di negara-negara Asia Barat dan yang ramai penduduk Islam.
Tidak banyak yang diketahui mengenai bagaimanakah OSI akan beroperasi, namun belanjawan bagi pejabat ini akan diambil dari belanjawan tambahan Pentagon bernilai 10 billion Dollar Amerika yang diluluskan oleh Kongres setelah peristiwa September 11. Perkhidmatan ini diketuai oleh Brigadier Jeneral Simon P. Worden dari tentera udara dan menurut Kolonel Thomas A. Timmes, bekas pegawai tentera darat yang dilantik sebagai penasihat operasi OSI, ia akan menggunakan kesemua instrumen yang terdapat pada Jabatan Pertahanan untuk mempengaruhi pendapat masyarakat dan media luar negara. Ini termasuklah menjalankan apa yang dipanggil propaganda hitam atau ‘black propoganda’ yang merupakan penyebaran berita palsu secara sengaja kepada media asing.
Bagi membantu membentuk imej OSI yang positif, pihak Pentagon telah mengupah firma penasihat antarabangsa yang dikenali sebagai Rendon Group, sebuah organisasi yang diketuai oleh John W. Rendon (bekas pembantu kempen pilihanraya Presiden Jimmy Carter). Firma yang dibayar perkhidmatannya sebanyak 100,000 Dollar Amerika sebulan ini sememangnya berpengalaman dalam operasi propaganda dan telah pernah berkerjasama dengan CIA, keluarga diraja Kuwait serta pertubuhan Iraqi National Congress, pihak pembangkang yang kini giat berusaha untuk menggulingkan Presiden Saddam Hussein.
Satu contoh terbaik bagaimana propaganda hitam digunakan ialah sewaktu pihak Amerika sedang bersiap sedia untuk melancarkan peperangan ke atas Iraq. Dalam suatu temu-bual dengan Jawatankuasa Kongres yang sedang mempertimbangkan apakah langkah mengisytihar perang sebagai langkah yang baik, seorang perempuan Kuwait memberikan keterangan mengenai kekejaman tentera Iraq yang memecah dan mencampakkan bayi keluar dari inkubator di hospital Kuwait setelah menawan bandar tersebut. Jawatankuasa Kongres terharu dan begitu juga dengan seluruh warga Amerika.
Apa yang mereka tidak tahu adalah wanita Kuwait tersebut adalah anak kepada duta besar negara tersebut dan tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa kata-kata beliau adalah benar. Ini jelas menunjukkan betapa propaganda hitam mempunyai nilainya tersendiri, untuk jangkamasa pendek. Apa yang penting adalah untuk mempengaruhi pemikiran rakyat Amerika agar menyokong tindakan untuk melancarkan perang ke atas Iraq bagi menghenti dan menghukum kekejaman tentera Iraq.
Selain menggunakan kemudahan jabatan pertahanan dan pihak awam, OSI turut mengko-ordinasikan tugas-tugas mereka bersama pejabat anti-pengganas Rumah Putih, terutamanya dengan Wayne A. Downing, seorang bekas jeneral yang mengepalai Pusat Operasi Khas yang dikhususkan bagi menjalankan operasi-operasi sulit berkaitan dengan penggunaan maklumat.
Walaupun pada mulanya mendapat sokongan yang kuat dari kalangan pelbagai pihak sebagai salah satu alat atau cara untuk memerangi keganasan, pembentukan OSI mula menimbulkan kontroversi sebaik sahaja cadangan bagaimana ia akan beroperasi dibincangkan secara meluas. Pada bulan Februari lalu, Setiausaha Pertahanan Amerika, Donald Rumsfeld, akibat tekanan yang hebat dari pihak media mengumumkan bahawa OSI akan dibubarkan.
Menurutnya komentar, berita dan pandangan yang telah dihebohkan oleh media telah memburuk serta menjejaskan imej OSI menjadikannya sukar untuk beroperasi. Selain pihak media, pembentukan OSI juga telah menyebabkan berlaku perdebatan di Pentagon apabila pegawai-pegawai kanan mempersoalkan skop kerja OSI yang dianggap terlalu luas serta apakah ianya tidak melanggar undang-undang. Ini adalah kerana pihak CIA dan Pentagon mengikut undang-undang sedia ada Amerika, tidak dibenarkan dari melakukan aktiviti propaganda di dalam negara. Pengkritik pula risau mengenai kredibiliti Pentagon di kalangan negara-negara sahabat sekiranya didapati mereka mengedarkan berita palsu. Begitu juga dengan media-media tempatan Amerika yang mungkin akan mengambil sumber berita mereka dari media luar seperti Reuters dan Agence France-Presse. OSI akhirnya berkubur setelah hanya beberapa minggu ditubuhkan.
Membina semula keyakinan dan menutup kelemahan
Peristiwa September 11 telah menggoncang keteguhan agensi-agensi perisikan Amerika dan mendedahkan kelemahan-kelemahan mereka. Kini pihak Rumah Putih sedang cuba untuk mengenal pasti dimanakah kesilapan dan apakah yang perlu dibuat bagi memperbetulkan keadaan. Proses ini bukanlah satu perkara yang mudah, terutamanya apabila agensi CIA dan FBI saling tuduh menuduh mengenai kelemahan masing-masing dalam kegagalan mereka untuk menghidu komplot pengeboman September 11. Pertelingkahan ini menurut beberapa pemerhati hanyalah satu sandiwara yang sengaja dilakonkan agar tumpuan masyarakat diberi terhadap kedua agensi tersebut. Langkah ini adalah bagi melindungi dan tidak mengetengahkan NSA serta projek Echelon. Lebih sedikit tumpuan yang diberi terhadap NSA, menurut pandangan kerajaan Amerika Syarikat, adalah lebih baik.
Selain itu sistem pengumpulan maklumat yang lebih sistematik dan pemprosesan data bersepadu yang dikongsi bersama oleh agensi-agensi perisikan Amerika dianggap perkara utama yang mesti dilakukan.
Peristiwa September 11 juga telah ‘mengukuhkan’ status kuasa agensi perisikan Amerika. Dengan lulusnya Akta USA PATRIOT di kongres, FBI dan CIA kini diberikan lampu hijau untuk melakukan aktiviti-aktiviti pengintipan yang selama ini dianggap salah dari sisi undang-undang sedia ada. Ramai di kalangan penganalisa polisi kerajaan berpendapat, operasi COINTELPRO yang merupakan tinggalan era 60-an sebenarnya tidak pernah dihapuskan sama sekali, ia hanya menukar kepada nama yang baru.
Selain dari memperkukuhkan struktur dalaman organisasi masing-masing serta merangka pelan tindakan yang lebih baik dalam perkongsian maklumat perisikan, ketiga cabang agensi ini turut mengambil langkah-langkah pro-aktif untuk memastikan bahawa maruah mereka yang tercalar akibat peristiwa 11 September mampu diperbaiki. Pihak NSA misalnya telah melancarkan kempen pengiklanan dalaman yang khas ditujukan kepada anggota-anggota organisasi tersebut serta mereka-mereka yang bertugas dalam ketiga cabang angkatan tentera Amerika.
Firma pengiklanan Trahan, Burden & Charles dari Baltimore (firma ini adalah agensi pengiklanan milik NSA bagi tujuan propaganda) telah diberi tugas untuk mereka poster patriotik dengan kata-kata amaran dan bersemangat ala era Perang Dunia Kedua yang kerap memberikan amaran mengenai kebocoran rahsia secara lisan oleh anggota pasukan keselamatan. Poster yang dicetak akan mempunyai gambar anggota-anggota pasukan keselamatan Amerika sedang menjalankan tugas dengan beberapa slogan yang menarik perhatian terpampang jelas dengan kata-kata seperti “Keselamatan Maklumat bermula dari Anda.”
Pihak CIA pula telah menubuhkan satu cawangan khas dari kalangan anggota-anggota separa tentera atau ‘paramilitary’ sedia ada dalam pertubuhan tersebut untuk menjalankan operasi-operasi sulit bagi menangani aktiviti pengganas, atau terhadap kumpulan, individu dan pihak berkuasa yang dianggap menjalankan aktiviti yang bertentangan dengan polisi dan kepentingan kerajaan Amerika. Apa yang unik adalah berbeza dengan pasukan khas tentera Amerika, pasukan ini melakukan aktivitinya tanpa memakai uniform tentera atau membawa sebarang pengenalan yang akan mengaitkannya dengan mana-mana organisasi keselamatan Amerika.
Tugas mereka merangkumi skop yang luas, dari hanya melatih dan membantu anggota kumpulan pemberontak atau pasukan sahabat, membekalkan laluan serta bekalan logistik sehinggalah melancarkan operasi ketenteraan atau memecah masuk ke lokasi rahsia musuh bagi mencuri maklumat. Cawangan khas ini juga tidak mempunyai pakaian seragam dan ia turut mempunyai wanita sebagai ahlinya. Menurut sumber Washington, unit yang dibentuk ini akan berada di bawah perintah operasi secara langsung dari presiden Amerika.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan