Ahad, 19 September 2010

Pembunuhan Kejam Sosilawati: Anggota Polis Masih Berkawal Di Lokasi Kejadian

ANGGOTA polis mengarahkan sebuah kereta keluar ketika cuba melepasi laluan utama di mana kejadian berlaku.
ANGGOTA polis mengarahkan sebuah kereta keluar ketika cuba melepasi laluan utama di mana kejadian berlaku.
 
BANTING: Anggota dan pegawai Unit Forensik Polis masih dilihat keluar masuk di lokasi kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu yang lain di sekitar Ladang Gadong, Tanjung Sepat, dekat sini bagi mencari dan mengumpul lebih banyak bukti kes terbabit.

Tinjauan Berita Minggu mendapati tidak banyak perubahan dari segi kawalan ke atas lokasi kejadian walaupun polis sebelum ini sudah mengklasifikasikan kes terbabit selesai berikutan penangkapan beberapa suspek dan kelmarin mengumum menamatkan operasi mencari bahan bukti.

 
 
Tiada wartawan mahupun jurugambar dibenarkan menghampiri kawasan terbabit seperti kelmarin di mana petugas media dapat menyaksi dan merakamkan suasana dalam ladang itu.
Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat, Datuk Dr Karim Mansor bersama Pengerusi MIC Ladang Gadong, M Mohan, meninjau lokasi kejadian bagi mengetahui perkembangan terbaru, namun hanya dibenarkan setakat di luar kawasan kejadian sebelum diminta beredar.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Sosilawati. Secara peribadi saya agak rapat dengan beliau kerana selain sebagai ADUN Tanjung Sepat, saya juga Pengerusi Usahawan Kawasan Sepang dan beliau sering memberikan pandangan serta bantuan kepada usahawan di kawasan ini.

“Tahun lalu juga, saya turut menjemput beliau ke sini untuk memberikan ceramah pada satu majlis di bawah program keusahawanan,” kata Karim sambil menambah kematian Sosilawati pasti dirasai terutama oleh usahawan di sini kerana beliau juga menjadi inspirasi dan idola mereka.

Sementara itu, seorang pengusaha kantin sebuah sekolah berdekatan yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Uncle’ berkata, beliau mengenali tiga suspek yang ditahan polis kerana sering menghulurkan bantuan kepada kuil dan beberapa badan kebajikan di sekitar kawasan itu.
“Walaupun tidak begitu rapat, saya kenal ketiga-tiga mereka. Seorang daripada mereka bekerja sebagai doktor di Subang Jaya, tetapi suspek utama agak kurang mesra dengan penduduk tempatan berbanding adiknya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan