Sabtu, 18 September 2010

Jabatan Hutan Sarawak Persoal Tindakan Agensi Norway Tarik Balik Pelaburan

KUCHING: Kerajaan Sarawak, menerusi Jabatan Hutan, hari ini
mempertahankan Samling Global Ltd berikutan keputusan Dana Pesara Kerajaan Norway menarik balik pelaburan berjumlah AS$16 juta (kira-kira RM50 juta) daripada konglomerat balak itu atas alasan etika.

Pengarah Jabatan Hutan Negeri, Datuk Len Talif Salleh hari ini berkata pihak
berkuasa Norway sepatutnya berhubung dengan Kementerian Luar atau Kedutaan
Malaysia di Norway untuk mendapatkan maklumat mengenai penilaian objektif
berkaitan industri pembalakan Sarawak.

"Jumlah pelaburan itu tidak penting berbanding ekuiti keseluruhan Samling tetapi dakwaan bahawa syarikat itu terbabit dalam pembalakan haram dan
mengakibatkan kerosakan teruk kepada alam sekitar bagi mewajarkan tindakan
mereka menarik balik pelaburan adalah tidak beretika memandangkan kredibiliti
kami telah dipersoalkan," katanya.

Len, yang juga Timbalan Setiausaha Tetap Perancangan dan Pengurusan Sumber
Negeri, berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri
beliau di Demak Baru di sini.

Bulan lepas, Dana Pesara Kerajaan Norway, menggugurkan Samling, yang mempunyai
perolehan tahunan sebanyak US$480 juta (kira-kira RM1.48 bilion), daripada
portfolionya berdasarkan penilaian yang dijalankan oleh Majlis Etika, dengan
mendakwa syarikat itu terbabit dalam pembalakan haram dan mengakibatkan
kerosakan teruk kepada alam sekitar. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan