Isnin, 26 Mac 2012

Perez Mencuri Tumpuan Di Sepang





PEREZ mencipta kejutan apabila muncul naib juara pada GP Malaysia semalam. Perlumbaan tersebut dimenangi Fernando Alonso (kanan).


MESKIPUN berjaya mencuri tumpuan dengan menduduki tempat kedua pada perlumbaan kereta Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia semalam, Sergio Perez masih belum berpuas hati dengan pencapaiannya itu.
Pemandu pasukan Sauber itu yang mencipta sejarah menaiki podium buat kali pertama dalam kariernya menjelaskan bahawa dia mungkin mampu memenangi perlumbaan di Litar Sepang itu semalam sekiranya tidak melakukan kesilapan kecil pada penghujung saingan.
Ketika hujan lebat turun di Sepang yang memaksa perlumbaan ditangguhkan pada pusingan kesembilan, Perez berada di tempat ketiga.
Selepas perlumbaan diteruskan semula setengah jam kemudian, pemandu Mexico itu berjaya menduduki tempat kedua di mana dia mula mengasak hebat juara daripada pasukan Ferrari, Fernando Alonso.
Perez hampir terbabas ketika cuba mengasak Alonso, sekali gus dia dinasihatkan oleh pasukannya supaya berhati-hati dan mengekalkan kedudukannya ketika itu kerana Sauber amat memerlukan mata dalam perlumbaan ini.
Situasi itu menyaksikan Perez kehilangan lima saat di belakang Alonso dan terpaksa berpuas hati dengan menamatkan saingan sebagai naib juara.
"Saya rasa saya mampu memenangi perlumbaan ini. Saya cuba mengasak Fernando ketika perlumbaan memasuki pusingan terakhir," jelas pemandu berusia 22 tahun itu.
"Saya tahu kedudukan saya semakin hampir dengan Fernando kerana ketika berada di selekoh tajam, tayar depan saya hampir melanggarnya.
"Nasib baik saya sempat mengelak ke kiri dan mengawal jentera daripada terbabas ke kawasan berpasir. Litar ketika itu sangat licin dan saya akhirnya terpaksa mengalah kerana pasukan telah mengarahkan saya supaya mengekalkan kedudukan ini.
"Memang agak sukar untuk mengejar Fernando, tetapi tidak mustahil juga saya boleh memenanginya," ujarnya.
Perez juga amat berterima kasih kepada anggota pasukan Sauber yang berusaha keras memperbaiki keupayaan jenteranya, sekali gus menyaksikan dia menaiki podium buat kali pertama dalam karier F1.
"Saya sangat berterima kasih kepada semua anggota pasukan ini kerana di atas kerja keras mereka, saya akhirnya berjaya juga menaiki podium buat kali pertama.
"Jelas sekali mereka menjalankan tugas dengan hebat dan ia adalah kejayaan bermakna bagi saya," jelasnya lagi yang menduduki tempat kelima dalam kategori pemandu dunia dengan 22 mata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan