Isnin, 26 Mac 2012

Woods Bakal Akhiri Kemarau 30 Bulan


WOODS mengeluarkan bola daripada bunker ketika menuju lubang ke-15 untuk mencatat bogey pada hari ketiga saingan kelmarin.


ORLANDO, Florida - Bekas pemain No. 1 dunia, Tiger Woods yang sedang mengejar kejuaraan pertama dalam Jelajah USPGA sejak 30 bulan lalu, berjaya memimpin saingan pada Kejohanan Jemputan Arnold Palmer selepas berakhir hari ketiga.
Dengan melakukan satu bawah par 71 kelmarin, Woods kini berada di landasan terbaik untuk mengakhiri kemarau dan menamatkan badi kekalahan jika berjaya mengekalkan kedudukan itu pada saingan hari keempat dan terakhir nanti.
Juara 14 kali Grand Slam itu sebelum ini memegang rekod enam kali gelaran juara di lapangan golf Bay Hills dan kini mengintai kemenangan pertama sejak Kejuaraan BMW 2009.
"Saya suka situasi ini. Sekiranya anda mendahului, itu tandanya anda telah melakukan sesuatu yang bagus. Itu yang sering saya alami apabila kita berada di posisi terbaik," katanya yang mengumpul jumlah pukulan 11 bawah par 205 selepas berakhir hari ketiga.
Dalam aksi kelmarin, Wood sepatutnya mencatat keputusan lebih baik namun terpaksa akur apabila melakukan bogey di lubang ke 15.
Tumpuan Woods yang sedang melakukan tee di lubang tersebut diganggu oleh jeritan seorang wanita di galeri sehingga membuatkan pukulannya tersasar.
Insiden itu membuka laluan kepada juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Graeme McDowell untuk mengejar namun birdie yang dilakukan Woods pada lubang ke 16 berjaya memisahkan kembali jurang antara kedua mereka.
Dia kemudiannya mendahului dengan empat pukulan di sembilan lubang terakhir pada pusingan ketiga itu.
Untuk aksi hari ini, Woods sekali lagi berpasangan dengan McDowell yang melakukan pukulan satu di bawah par 71 untuk mencatat 10 bawah par 206 keseluruhan. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan