Ahad, 18 Mac 2012

Mencium Jenazah Dan Persoalan Mengenainya

Menziarahi orang meninggal merupakan satu amalan yang sangat baik kerana terdapat banyak faedahnya; antaranya mengucapkan takziah kepada keluarga si mati, menunjukkan rasa simpati terhadap keluarganya dan menggalakkan amalan tolong-menolong ketika dalam suasana sedih dan musibah. 
Di samping itu, ianya juga boleh mengingatkan kita kepada kematian. 
Dalam suasana sibuk menguruskan pengendalian jenazah, seringkali juga terdengar para ahli keluarga, samada yang tua atau yang muda, dipanggil untuk mencium jenazah buat kali terakhir. 
Maka sebilangan mereka pernah bertanya apakah hukum perbuatan ini?
Mencium jenazah boleh dirujuk kepada perbuatan Rasulullah s.a.w sendiri dan juga perbuatan seorang sahabat dan khalifah, iaitu Sayyidina Abu Bakar r.a. Ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a bahawa baginda s.a.w mencium jenazah Utsman bin Mazh‘un, iaitu saudara sesusuan baginda.
“Bahawa Rasulullah s.a.w mencium Utsman bin Mazh‘un dan dia (ketika) itu sudah meninggal dunia dan baginda menangis, atau katanya (Abdur Rahman): Bahawa kedua-dua mata baginda menitiskan air mata.” (Hadith riwayat Tirmidzi)
Sementara perbuatan Sayyidina Abu Bakar r.a pula, sepertimana riwayat dari Aisyah r.a, beliau mencium wajah Nabi s.a.w setelah Baginda wafat.
“Bahawa Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu telah mencium (kawasan) antara kedua-dua mata Nabi s.a.w, dan baginda (ketika itu) telah wafat.” (Hadith riwayat al-Baihaqi dan an-Nasa’ie)
Adapun perbuatan Abu Bakar r.a tersebut tidak diingkari oleh sahabat yang lain pada ketika itu.
Hukum Mencium Jenazah
Hukum asal mencium jenazah adalah harus. Perkara ini sabit sepertimana dalam dua riwayat yang telah dibawakan di atas. Oleh itu adalah harus hukumnya bagi ahli keluarga si mati dan selain mereka, umpamanya sahabat-sahabat, termasuklah juga suami atau isteri dan mahram kepada si mati, mencium wajah jenazah tersebut.
Walau bagaimanapun ulama’ berbeza pendapat mengenai hukum mencium jenazah seperti mana berikut:
  • Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah berpendapat hukumnya adalah harus, sejajar dengan apa yang disebutkan dalam nash kitab fiqh. Manakala hukum sunat itu hanyalah untuk jenazah orang yang soleh. Maka adalah sunat, sama ada bagi ahli keluarga, sahabat dan yang lainnya, untuk mencium jenazah orang soleh itu kerana untuk mendapatkan keberkatan daripadanya. Berbeza pula hukumnya apabila jenazah tersebut bukan terdiri daripada ahli keluarga dan bukan sahabat ataupun bukan orang soleh, maka hukumnya adalah menyalahi yang utama (khilaf al-awla).
  • Menurut Imam ar-Ramli, Khatib asy-Syarbini dan juga merupakan pendapat as-Subki Rahimahumullah, berdasarkan kepada dua hadith di atas, iaitu Rasulullah s.a.w mencium wajah saudara sesusuan baginda dan Sayyidina Abu Bakar r.a mencium wajah sahabat yang juga bapa mertua beliau, iaitu Rasulullah s.a.w, mereka berpendapat hukumnya adalah sunat bagi ahli keluarga si mati dan sahabat-sahabatnya mencium jenazah (walaupun si mati bukan orang soleh), manakala hukum harus itu adalah untuk selain daripada mereka ini.
  • Telah disebutkan pendapat dalam Zawa’id ar-Raudhah bahawa tidak mengapa mencium wajah jenazah jika dia
    adalah orang soleh. Jika dia bukan orang soleh, maka seperti hukum asalnya, adalah harus. Adapun jika dia bukan orang soleh dan diketahui bahawa si mati itu orang yang melakukan maksiat, maka hukumnya adalah makruh.
Selain itu antara perkara yang perlu diambil perhatian oleh orang yang bercadang atau disuruh untuk mencium jenazah ialah:
  • Jika sekiranya dia bukan terdiri daripada ahli keluarga si mati atau mahramnya, maka hendaklah antara orang yang hidup dengan si mati tersebut dari jantina yang sama. Maka tidak boleh perbuatan ini dilakukan antara perempuan dengan lelaki ajnabi dan sebaliknya.
  • Janganlah perbuatannya (orang yang hidup) mencium jenazah itu akan mengakibatkan hilang maruah ataupun merendahkannya.
Di samping itu perlu juga diketahui bahawa kesemua hukum mencium jenazah yang telah disebutkan di atas adalah bagi mereka yang tidak mudah tersentuh perasaan dan boleh mengawalnya. 
Adapun jika sebaliknya, iaitu jika perbuatan mencium jenazah itu boleh menyebabkan timbulnya perasaan dukacita dan kesedihan yang keterlaluan dan seterusnya tidak dapat mengawalnya, sepertimana kebiasaan halnya bagi kaum perempuan, maka pada ketika itu adalah haram hukumnya mencium jenazah tersebut.
Ini kerana, perbuatan menangis dengan suara yang kuat atau meratap walaupun tanpa air mata adalah haram dan jelas dilarang dalam Islam sepertimana yang diriwayatkan oleh Ummu ‘Athiyyah r.a:
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w melarang kami daripada perbuatan meratap.” (Hadith riwayat Abu Daud)
Manakala dalam sebuah hadith daripada Buraidah r.a Rasulullah s.a.w bersabda:
“Tidak termasuk di dalam golongan kami orang yang memukul-mukul pipinya, mengoyak-ngoyak koceknya, berteriak-teriak seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
Adapun sedih atau mengalirkan airmata secara tabi’e kerana kesedihan, tersentuh hati dan keinsafan tanpa diiringi ratapan adalah harus dan tidaklah dilarang. 
Kerana kesemua itu boleh menyedarkan kita akan hakikat kematian yang boleh membawa kepada keinsafan. Buktinya Nabi s.a.w juga mempamerkan kesedihan baginda serta mengalirkan air mata ketika anaknya Ibrahim meninggal dunia. 
Menurut riwayat Anas bin Malik r.a bahawa sebelum Ibrahim menghembuskan nafasnya (yang terakhir) dengan tenang, sambil menitiskan air mata baginda bersabda:
“Sesungguhnya mata ini menitiskan air mata dan hati ini bersedih, (namun) kami tidak akan mengatakan kecuali apa yang diredhai oleh Tuhan kami. Dan sesungguhnya kami merasa sedih kerana berpisah denganmu wahai Ibrahim.” (Hadith riwayat Bukhari)
Bahagian Anggota Jenazah Yang Dicium
Jika dilihat pada nas yang dibawakan dalam kitab fiqh, secara umumnya mengatakan bahawa harus hukumnya mencium wajah jenazah. Demikianlah juga yang diriwayatkan dalam hadith bahawa Rasulullah s.a.w mencium wajah jenazah saudara susuan baginda. Di samping itu, ada beberapa pendapat yang lain, antaranya:
  • Telah disebutkan dalam riwayat Aisyah r.a di atas bahawa kawasan atau tempat yang dicium oleh Sayyidina Abu Bakar r.a ialah pada kawasan antara kedua-dua mata baginda s.a.w.
  • Pendapat yang mengatakan bahawa mencium kawasan tempat sujud (dahi) adalah awla (lebih utama) dan sebaiknya dilakukan tanpa ada lapik.
  • Pendapat yang mengatakan bahawa harus mencium anggota badan jenazah seperti tangan dan selainnya selama mana tidak menimbulkan syahwat.
Namun dalam hal ini adalah dibataskan kepada bahagian wajah sahaja kerana itulah yang warid. Ini memandangkan antara sebab untuk mencium jenazah adalah kerana untuk mendapat keberkatan, atau kerana rasa kasih atau kerana kasihan ke atasnya.
Di samping itu disunatkan menutup wajah jenazah dan tidak membiarkannya terdedah. Daripada Abu Salmah bahawa Aisyah r.a berkata kepadanya:
“(Ketika mendengar berita kewafatan Nabi s.a.w), maka Abu Bakar r.a datang dari rumahnya di Sunh dengan berkenderaan kuda. Sesampainya di pintu masjid, dia pun turun dan segera masuk ke rumah Aisyah tanpa bercakap-cakap dengan seorang pun yang ada dalam masjid sehinggalah dia menemui Aisyah. (Kemudian) dia menuju kepada (jenazah) Rasulullah s.a.w yang telah diselimuti dengan sehelai jubah hibarah (iaitu sejenis jubah atau pakaian Yaman bercorak jalur yang diperbuat daripada ‘cotton’ atau ‘linen’). Setelah itu dia membuka (kain) di bahagian wajah baginda, lalu Abu Bakar r.a pun menurunkan kepalanya dan mencium (kening) Rasulullah s.a.w seraya menangis.” (Hadith riwayat an-Nasa’ie)
Batalkah Wudhu’ Apabila Mencium Jenazah?
Jika kita memperkatakan tentang hukum wudhu’ bagi jenazah tersebut, maka perbuatan ini tidak membatalkan wudhu’nya. Adapun hukum wudhu’ bagi orang yang hidup (yang menyentuh jenazah tersebut), maka perlu diperhatikan apakah dia mahram kepada jenazah tersebut ataupun tidak. Kerana antara perkara yang membatalkan wudhu’ itu ialah bersentuhan kulit seorang lelaki dengan perempuan ajnabiyah (bukan mahram) tanpa berlapik (antara keduanya).
Menurut jumhur (majoriti) ulama’, hukum memegang atau menyentuh mayat perempuan atau lelaki yang ajnabi (bukan mahram) adalah membatalkan wudhu’. Ini berdasarkan kepada hukum sentuhan antara kedua mereka (perempuan dan lelaki yang ajnabi) pada ketika hidup adalah membatalkan wudhu’. Berbeza dengan mahram, iaitu perempuan yang haram dinikahi samada mahram secara nasab keturunan atau sesusuan atau perkahwinan, maka persentuhan kulit antara lelaki dengan perempuan yang merupakan mahramnya tidak membatalkan wudhu’. Maka begitulah juga hukum bagi mereka yang sama jantina.
Sebagai kesimpulan, hukum mencium jenazah itu asalnya adalah harus, bahkan sunat jika si mati adalah terdiri daripada golongan orang soleh. Namun perlu diingat bahawa keharusan itu boleh berubah kepada haram, iaitu jika perbuatan mencium jenazah itu boleh membuat seseorang itu hilang kesabaran dan kawalan kerana terlalu sedih atau dukacita dan sehingga membawa kepada ratapan atau tangisan yang kuat.
Di samping itu, perlu juga diambil kira bahawa hukum harus atau sunat tadi adalah bagi ahli keluarga, mahram dan mereka yang sama jantina dengan si mati. Maka tidak boleh perbuatan ini dilakukan oleh lelaki dan perempuan yang ajnabi. Adapun sebagai pilihan lain, maka bolehlah mengucapkan takziah kepada ahli keluarga si mati dan mendoakannya.


KREDIT TO: syahirul.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan