Ahad, 25 Mac 2012

Suspek Bunuh Dan Bakar Dirang Didakwa Hari Ini

JOHOR BAHRU – Tiga suspek termasuk seorang wanita yang dipercayai terlibat dengan pembunuhan kejam Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau lebih dikenali sebagai Dirang akan didakwa di mahkamah di sini esok.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, bagaimanapun, hanya seorang suspek lelaki akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Manakala seorang lagi suspek lelaki katanya, akan didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dakwaan ke atas suspek perempuan pula hanya diketahui pada hari esok.
“Kita telah dimaklumkan oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bahawa suspek kes bunuh dan bakar Dirang akan didakwa esok.
Justeru, tahniah saya ucapkan kepada mereka yang terlibat dalam memastikan kes itu berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sambutan Majlis Peringatan Hari Polis Ke-205 Kontinjen Johor yang dihadiri lebih 2,000 pegawai dan anggota polis negeri ini di Setia Indah di sini hari ini.
Turut hadir, isterinya, Datin Bibi Zakiah Meraslam yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Johor.
Jumaat lalu, perintah tahanan reman terhadap tiga suspek berkenaan dilanjutkan seminggu lagi dan berkahir 30 Mac depan.
Ketiga-tiga suspek berusia 30-an serta 40-an itu juga didapati positif dadah selain dua daripada mereka turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah dan curi.
Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan siasatan penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan yang diterima ibu Dirang, Roselyn Alan, 25, sebelum ini, Mohd. Mokhtar berkata, kertas siasatan sudah dimajukan kepada DPP.
Namun, katanya, pihak DPP mengarahkan supaya kes tersebut ditutup kerana ia dihantar oleh kanak-kanak berusia 11 tahun.
“Bagi kes SMS ugutan itu, kita telah menahan dua orang dan hasil siasatan mendapati SMS tersebut dihantar oleh anak kepada salah seorang yang ditahan berusia 11 tahun dan rakan sebaya kanak-kanak tersebut.
“Jika mengikut Seksyen 83, perbuatan kanak-kanak yang berumur lebih daripada 10 tahun tetapi kurang daripada 12 tahun belum cukup untuk timbangkan keadaan dan akibat. Jadi, kes ditutup kerana tiada kesalahan,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan