Isnin, 26 Mac 2012

Kebangkitan Ferrari


FERRARI mempamer kebangkitan pada perlumbaan kereta Formula Satu (F1) musim 2012 ini apabila pemandunya, Fernando Alonso (gambar) menghadiahkan kemenangan pada Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Sepang, petang semalam.
Selepas tenggelam di GP Australia minggu lepas dan bergelut pada sesi kelayakan masa di Sepang kelmarin, kejayaan ini pastinya sesuatu yang cukup istimewa buat pasukan dari Itali itu selepas Alonso hanya bermula di petak kelapan dalam perlumbaan yang terpaksa ditangguhkan selama lebih setengah jam itu ekoran hujan lebat.
Pemandu dari Sepanyol itu mencatat masa 2 jam 44:51.812 saat untuk mengatasi asakan daripada pemandu Sauber, Sergio Perez yang membuat kejutan dengan menduduki tempat kedua sekali gus menaiki podium buat kali pertama dalam kariernya.
Lewis Hamilton pula gagal menggunakan kelebihannya bermula di petak hadapan apabila menamatkan perlumbaan 56 pusingan itu di tempat ketiga buat McLaren diikuti pemandu Red Bull, Mark Webber dan Kimi Raikkonen dari Lotus.
"Sudah tentu kemenangan ini amat mengejutkan saya kerana kami tidak menjangkakannya selepas jentera dilihat kurang kompetitif di GP Australia dan dalam kelayakan masa di sini (Sepang)," jelas Alonso pada sidang media semalam.
"Kejayaan ini sangat bermakna bagi pasukan kami. Dengan keadaan cuaca yang berubah (hujan) dan perlumbaan terpaksa dihentikan seketika, saya rasa ia kejayaan paling manis buat kami.
"Syabas kepada jurutera pasukan kami yang berjaya membantu saya menggunakan tahap keupayaan jentera kami semaksimum yang mungkin.
"Walaupun kemenangan ini tidak banyak mengubah keadaan, namun setidak-tidaknya kami membuktikan bahawa kami mampu bangkit untuk memberi saingan,” ujar Alonso.
Hasil daripada kemenangannya ini, Alonso selaku juara dunia dua kali, kini mendahului kedudukan dalam kategori pemandu dengan 35 mata, diikuti Hamilton (30), Jenson Button (25) dan Mark Webber (24).
Dalam kategori pengeluar jentera pula, McLaren masih mengekalkan penguasaan mereka dengan 55 mata mengatasi Red Bull (42), Ferrari (35) dan Sauber (30).
Sementara itu, juara dunia 2010 dan 2011, Sebastian Vettel gagal menyumbang sebarang mata buat Red Bull selepas hanya mampu menduduki tempat ke-11 kerana terlibat dalam kemalangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan