Selasa, 13 Mac 2012

Wartawan Arab Saudi Yang Hina Nabi Bertaubat


http://cerciterpanas.blogspot.com


RIYADH – Penulis dan wartawan Arab Saudi, Hamza Kashgari, yang ditahan di penjara Al-Hair di Riyadh selepas didakwa menyiarkan kenyataan menghina Islam dan Nabi Muhammad saw di laman Twitternya, telah bertaubat secara rasmi di hadapan mahkamah di sini, Selasa lalu.

Menurut laporan akhbar tempatan, Al-Madinah, kelmarin, apa, ibu, adik-beradik dan peguamnya hadir pada sesi mahkamah itu.

Sumber yang rapat kepada kes tersebut percaya catatan dokumen mengenai pernyataan taubat Kashgari di hadapan hakim mahkamah adalah satu perkembangan yang penting dalam kes itu.

Bagaimanapun, seorang penasihat undang-undang, berkata taubat Kashgari tidak akan membebaskannya daripada tanggungjawab undang-undang berhubung kenyataan yang didakwa dibuat olehnya.

Kashgari, 23 tahun, melarikan diri dari Arab Saudi selepas kenyataannya yang disiarkan dalam Twitter dibongkar oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

Dia, bagaimanapun, ditangkap di Malaysia dan dihantar pulang ke Arab Saudi menaiki pesawat khas. Sejak itu, Kashgari telah ditahan dalam penjara di Riyadh.

Dalam satu kenyataan rasminya, Kashgari telah mengumumkan bahawa dia telah bertaubat dan meminta ampun.

Kashgari berkata dia telah meninggalkan keseluruhan idea-ideanya yang salah dan kenyataan yang dibuatnya dalam Twitternya, sambil menambah bahawa dia sedang murung ketika itu.

Dia mengucapkan terima kasih kepada keluarga, saudara-mara dan rakannya, serta para ulama yang memberikannya sokongan dan cuba membimbingnya kembali ke jalan yang benar di sisi agama. — Agensi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan