GABUNGAN Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) mengecam tindakan zalim yang dikenakan kepada 6 orang pelajar Malaysia di Mesir.
Tindakan tidak profesional Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang membatalkan serta-merta penajaan pendidikan di bawah Yayasan Terengganu (YT) ke atas pelajar-pelajar tersebut setelah mereka didapati terlibat dalam himpunan Bersih 2.0 di Mesir.
Atas tuduhan memakai pakaian kuning dan memegang bendera Terengganu semasa himpunan Bersih di Mesir sudah cukup menggambarkan tindakan dangkal yang diambil oleh Datuk Seri Ahmad Said.
Ini jelas menggambarkan kerajaan Terengganu kurang bijak dalam menangani isu-isu mahasiswa. Dengan tindakan ini, telah terserlah sandiwara kerajaan barisan nasional tentang semangat pindaan Auku.
Pada 29 Julai 2011 yang lalu, Gamis mendesak kerajaan Malaysia meneliti kes pembuangan pelajar Malaysia di Mesir kerana terlibat dengan perhimpunan Bersih 2.0 di sana.
Seorang pelajar Darul Ifta', Firdaus Mazlan dibuang universiti kerana disyaki menjadi penggerak kepada perhimpunan Bersih 2.0 di Mesir sedangkan ketika itu beliau berada di semester akhir.
Desakan tersebut dibuat dalam satu memorandum yang diserahkan kepada Wisma Putra Kementerian Luar Negeri. Memorandum tersebut turut membantah tindakan Jabatan Penuntut Mahasiswa Kaherah (JPMK) yang mengambil tindakan menarik balik biasiswa terhadap mahasiswa yang terlibat dengan perhimpunan tersebut.
Ketakutan yang melampau dan tindakan dangkal yang diambil dalam menangani isu mahasiswa dan politik telah menarik kerajaan ke dalam ruang politik despotik.
Ironinya, ketika mahasiswa Malaysia sama ada dalam atau luarnegara diharamkan terlibat dengan politik khususnya tidak sehaluan dengan kerajaan, sehingga hari ini Kelab UMNO Luar Negara yang disertai oleh mahasiswa Malaysia masih gah. Malah tidak pernah kedengaran mereka dikenakan tindakakn undang atas tuduhan terlibat dengan politik.
Gamis mendesak kerajaan Terengganu menarik balik pembatalan penajaan pendidikan di bawah Yayasan Terengganu (YT) ke atas pelajar-pelajar tersebut. Gamis juga akan berurusan dengan wakil mahasiswa Malaysia di Mesir bagi mendapatkan perkembangan semasa.
Akram Ikrami Taib Azamudden
Presiden Gamis
Tiada ulasan:
Catat Ulasan