Sabtu, 31 Oktober 2009

EMAIL BERANTAI YANG MENYESATKAN

Tentang email yang diterima yang isinya pada mulanya baik tetapi akhirnya, pengirim email tersebut mengarahkan supaya sipenerima membuat banyak salinan sekurang-kurangnya 20 salinan dan segera mengirimkannya kepada teman-teman lainnya, dengan peringatan jika arahan mereka ini dilaksanakan, maka sipengirim akan memperolehi banyak faedah, seperti keuntungan besar dalam perniagaan, kenaikan pangkat, mendapat hadiah pertama dari loteri kebajikan, mendapat seorang gadis cantik yang menjadi idamannya, dan sebagainya. Jika arahan si pengirim email ini tidak dilaksanakan, maka sipenerima akan ditimpa musibah ataupun bala yang mengerikan, seperti anaknya meninggal dunia, dipecat dari jabatan, mendapat penyakit yang mengerikan dan berbagai bala bencana lain-lainnya.

Untuk perhatian seluruh mereka yang beriman kepada Allah SWT dan Rasulnya Muhammad SAW yang menjadi panduan dan tempat rujukan kita seluruh ummat Islam adalah al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.

Allah SWT telah mengingatkan kita :

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepadamu seorang fasik membawa kepada kamu sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya), sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.”

(Qur’an: al-Hujurat, 6)

Meskipun isi email tersebut pada mulanya dimulai dengan hal-hal yang baik kononnya untuk peringatan kepada ummat Islam, akan tetapi perlaksanaannya dilakukan dengan cara-cara yang bertentangan dengan Islam. Kita sama-sama mengetahui al-Qur’an dan Sunnah Nabi SAW adalah panduan Ummat Islam. Qur’an dan Sunnah Nabi SAW hanya menyuruh kita melaksanakan perintah Allah dan RasulNya. Kita tidak pernah diminta menyalin sekian-sekian lembar ayat-ayat Quran atau Hadis Nabi SWA, setelah itu dengan peringatan jika kita buat seperti itu maka kita mendapat sesuasatu faedah dan jika tidak melaksanakannya kita diancam dengan kematian, kemalangan, dan berbagai kerugian lainnya. Jika kita percaya dengan kenyataan email berantai ini, kita seolah-olah percaya dan yakin bahawa email itu mempunyai kuasa menentukan nasib atau masa depan kita. Mempercayai adanya kuasa lain selain Allah SWT boleh menjuruskan kita kepada syirik kepada Allah SWT.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik (mempersekutukanNya dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang selain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya) dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar” (Qur’an: an-Nisa, 48)

Jadi jelaslah bagi kita email ini asalnya daripada musuh-musuh Islam yang ingin merosakkan aqidah umat Islam dan membawa mereka ke jalan yang dimurkai Allah SWT.

Kepada sesiapa yang sudah dengan tidak sengaja melaksanakan permintaan email tersebut hendaklah bertaubat dan mohon ampun kepada Allah SWT. Mereka juga mesti mengingatkan kawan-kawan yang telah mereka kirimkan email tersebut supaya menghapuskan email tersebut dan jangan menghantar kepada orang lain.

Semoga Allah SWT memberi hidayah dan taufikNya kepada kita semua dalam melaksanakan perintahNya.

Sumber: http://www.shiar-islam.com/doc82.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan