Jumaat, 9 Oktober 2009

Wasiat ke-5 al-Banna, kurangkanlah ketawa

oleh: Fahri Abdullah al-Masri

Jangan banyak ketawa sebab hati yang selalu berkomunikasi dengan Allah (zikir) sangat tenang dan tenteram. Hasan al-Banna.

Ada riwayat yang menunjukkan bahawa kebanyakan ketawanya ialah dengan tersenyum, dan apabila baginda ketawa, baginda ketawa seperti embun yang dingin. Sementara itu, ada juga riwayat yang menyebutkan bahawa ketawa Rasulullah tidak menunjukkan gigi.

Bagaimanapun, semua perlakuan itu cuma sekadar mengingatkan umat Islam
selaku umat pendakwah bahawa gurauan, ketawa itu cuma amalan untuk
mengurangi ketegangan jiwa.

Saidina Ali k.w juga menyebutkan bahawa sesekali kita perlu bergurau untuk menyebabkan jiwa rasa terhibur. Tetapi, ini tidak bererti kita perlu berhibur secara keterlaluan.

Maka, Hasan al-Banna telah menyusun dan merintis semula faham ini dengan meletakkan suatu pesanan yang sangat berguna kepada para dai'e dan Muslimin yang beriltizam dengan agama Islam ini. Al-Banna tidaklah sampai mengharamkan gurauan dan ketawa. Namun, beliau seperti baginda Rasulullah s.a..w dan Saidina Ali, telah menyeru dan memperbaharui seruan melalui wasiatnya supaya umat Islam ini kurangkan bergurau dan melebihkan amalan dan tindakan.

Ini kerana, gurauan dan gelak ketawa yang berlebihan boleh mamatikan hati dan fikiran daripada memikirkan nasib dan permasalahan umat Islam yang menderita akibat penjajahan yang berterusan.

Tetapi, jika kita berterusan hidup dalam ketegangan, hal ini akan menyebabkan kerungsingan, kerisauan yang akhirnya mengundang kesan kejiwaan yang parah pula.

Maka, sikap yang terbaik dalam hal ini ialah kita mewakafkan lebih banyak masa untuk memikirkan serta menyusun tindakan bagi menyelesaikan permasalahan umat Islam. Selebihnya, saki-baki waktu itu diluang untuk merehatkan jiwa, hati dan fikiran kita setelah penat bekerja dalam seharian.

Atau jika masa dan kehidupan ini boleh kita pecahkan dalam bentuk peratusan, maka bolehlah diandaikan seperti ini. Iaitu, masa dan kehidupan untuk berfikir dalam hal permasalahan umat Islam ini ialah 70 peratus, manakala baki masa 30 peratus lagi adalah untuk senda gurauan.

Bagaimanapun, peratusan ini hanyalah sebagai gambaran kepada betapa pentingnya seseorang Muslim itu hidup di atas muka bumi ini untuk memperuntukkan kebanyakan masanya ke arah hal yang lebih berfaedah.

Sementara, hal gurau senda dan bergelak ketawa itu hanyalah sekadar sedikit sahaja.

Muhasabah

Maka, marilah kita sebagai Muslim yang ingin mencapai kebaikan di dunia dan di akhirat bermuhasabah mengenai kehidupan seharian kita sendiri. Dalam tempoh 24 jam, berapa banyakkah masa yang kita wakafkan untuk Islam dan Muslimin? Berapa banyakkah masa yang kita gunakan untuk kepentingan masyarakat?

Beruntunglah bagi Muslimin yang banyak meluangkan masa untuk membaca,
menghadiri bengkel-bengkel ilmiah dan sebagainya lagi. Jika sebaliknya, maka tergolonglah mereka dalam kalangan mereka yang rugi.

Cabaran untuk membina sebuah masyarakat yang benar-benar memanfaatkan
waktunya ke arah kebaikan sangat hebat. Dengan hiburan yang melampau-lampau dalam masyarakat kita hari ini, ditambah pula dengan kurangnya agamawan yang mahir dalam selok-belok penyiaran televisyen, rasa-rasanya agak mustahil kita lakukan semua ini.

Sekiranya lebih ramai agamawan yang mahir dalam bidang pembikinan media
elektronik, maka kemungkinan besar masa-masa yang berkualiti dalam kalangan masyarakat kita akan dapat dipertingkatkan.

Sistem kehidupan bekerja yang dicipta oleh negara kita dan masyarakat antarabangsa pada hari ini ialah jumlah jam bekerja selama 8 jam (9 pagi sehingga 5 petang). Selepas tempoh bekerja, sekurang-kurangnya masyarakat kita akan berada di rumah dan meluangkan waktu bersama keluarga dengan mononton televisyen.

Namun, sayangnya acara-acara hiburan itu dikuasai oleh golongan pengkarya yang melebihkan unsur hiburan, lagho sahaja. Jika ada acara-acara tv yang bermotifkan keagamaan sekali pun, jumlahnya sangat sedikit dan terhad. Atau, dalam erti kata lain, barangkali kita boleh misalkan begini..

Iaitu program hiburan, filem, drama, nyanyian dan lain-lainnya adalah hampir 80 peratus, dan selebihnya yang berjumlah 20 peratus lagi diperuntukkan kepada program-program yang bersifat keagamaan.

Ditinjau dari sudut ini, akan tercapaikan hasrat, wasiat dan pesanan Rasulullah s.a.w, Saidina Ali k.w dan Hasan al-Banna? Maka, terletak kepada kitalah insan Muslim yang sedar untuk mengubah semua ini supaya masyarakat kita ini akan melebihkan banyak waktunya yang berkualiti. Iaitu, biarlah mereka lebih banyak didedahkan dengan program-program bermanfaat dan selebihnya adalah program-program yang bersifat santai sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan