Kita selalu mendengar dan kadang-kadang kita bincang dan kita muzakarah tentang khusyuk. Umumnya orang kan mengaitkan khusyuk itu dengan sembahyang. Bila sahaja disebut khusyuk, terlintaslah di fikiran kita tentang penumpuan dan kehadiran hati dalam sembahyang.
Justeru itu, ramai orang hanya mengusahakan khusyuk ketika hendak memulakan sembahyang khususnya semasa takbiratul ihram. Ketika itulah kita cuba dan beusaha untuk menumpukan perhatian dan menghadirkan diri dalam sembahyang dengan mengikuti dan memahami apa yang kita baca dan mengelak dari memikirkan perkara-perkara lain yang tidak bersangkut paut dengan sembahyang itu.
Kefahaman khusyuk seperti ini telah tersimpang dari erti dan maksud khusyuk yang sebenarnya. Kerana salah faham inilah maka ramai orang tidak berjaya untuk mencapai khusyuk yang sebenarnya di dalam sembahyang walaupun telah bersembahyang selama berpuluh-puluh tahun.
Mereka sangka telah khusyuk dalam sembahyang, tetapi kesan sembahyang terhadap diri, akhlak dan peribadi sangat kurang atau minimum. Tidak nampak banyak perubahan pada diri dan peribadi walaupun sudah berpuluh-puluh tahun bersembahyang.
Walhal sepatutnya orang yang benar-benar khusyuk dalam sembahyang itu ada kesan pada dirinya. Teguh dan iman kuat dan keyakinannya. Murni dan luhur akhlaknya. Berdisiplin hidupnya. Bersih dirinya daripada berbuat maksiat dan kemungkaran kecuali terlalu sedikit. Kuat berpegang dan mengamalkan syariat Islam dan bersih hati dan jiwanya daripada sifat-sifat mazmumah dan sifat-sifat keji.
Namun begitu, jika seseorang itu sudah boleh menumpukan fikirannya di dalam sembahyang, sudah boleh mengikuti dan faham apa yang dibaca dan dilafazkannya di dalam sembahyangnya dan tidak pula teringat apa-apa perkara di luar sembahyang yang tidak ada sangkut paut dengan sembahyangnya dari mula takbir hinga dia memberi salam, ini sudah dianggap baik. Ini pun bukan mudah untuk dicapai. Tetapi ini belum lagi dianggap khusyuk. Kesan sembahyang seperti ini terhadap diri dan peribadi kita walaupun ada, terlalu sedikit dan tidak begitu ketara.
Tuntutan supaya umat Islam itu khusyuk buka terhad ketika di dalam sembahyang sahaja. Umat Islam dituntut supaya berada di dalam keadaan khusyuk setiap masa walaupun di luar, lebih-lebih lagilah di dalam sembahyang. Kalau kita tidak khusyuk di luar sembahyang, agak mustahil kita untuk khusyuk di dalam sembahyang. Kerana khusyuk itu bukan perkara akal atau fikiran atau meditasi. Khusyuk itu adalah perkara hati, jiwa dan roh. Ini melibatkan rasa-rasa terhadap Tuhan, terhadap ciptaan-ciptaan Tuhan, terhadap diri kita sebagai hamba, terhadap dosa dan pahala, Syurga dan Neraka dan sebagainya.
Perkara akal atau fikiran mungkin mudah memulakan dan menamatkan seperti kita membuka dan menutup suis lampu atau seperti kita menukar channel televisyen. Setakat membawa fikiran dan kesedaran akal kita ke dalam sembahyang mungkin lebih mudah dan boleh dibuat ketika bertakbiratul ihram. Tetapi untuk membawa `rasa' ini mustahil. Kalau rasa khusyuk tidak wujud di luar atau sebelum sembahyang, maka ia terus tidak akan wujud di dalam atau sepanjang masa kita sembahyang. Sebab perkara roh, hati dan jiwa yang membawa kepada rasa-rasa ini ialah hasil dari penghayatan dan penjiwaan. Ia tidak boleh dibuka atau di "on"kan ikut sesuka hati kita. Ia adalah keadaan dan sifat hati itu sendiri. Kalau ada rasa khusyuk maka khusyuklah dia. Kalau tidak ada maka dia tidak akan dapat khusyuk.
Allah ada berfirman:
" Di mana sahaja kamu berada, di sana ada Tuhan."
Ini membawa maksud bahawa di mana sahaja kita berada dan pada setiap masa dan ketika, kita perlu rasa bertuhan. Iaitu merasa Tuhan sentiasa melihat, mendengar, mengetahui tentang hal lahir dan batin dan sebagainya. Dalam erti kata yang lain, kita sentiasa disuruh rasa bertuhan., lebih-lebih lagilah di dalam sembahyang. Malahan di dalam sembahyang, rasa bertuhan ini sepatutnya lebih subuir, lebih hidup, lebih tajam kerana di dalam sembahyang itu ada disiplin, rukun-rukun dan syarat-syarat sah batalnya.
Kalau kita belum khusyuk di luar atau sebelum sembahyang, dan hanya mampu membawa akal dan fikiran kita sahaja ke dalam sembahyang, paling tinggi kita hanya akan dapat menumpukan perhatian dalam sembahyang dan tidak lebih dari itu. Kita tidak akan rasa hebat dengan Tuhan, rasa Allah itu maha Agung, maha Perkasa, Maha Berkuasa, Maha Pengampun, Maha Penyayang dan sebagainya. Jauh sekalilah dapat kita rasa berkasih sayang, bermanja-manja, meminta-minta, mengadu-ngadu, berbual-bual, berdialog atau mencurahkan segala rasa dan isi hati kita kepada Tuhan.
Sebenarnya perkara yang kita khusyukkan ialah apa sahaja yang mengisi dan memenuhi hati dan jiwa kita. Ertinya apa sahaja yang kita besar-besarkan, yang kita penting-pentingkan, yang kita utamakan, yang kita cemas-cemaskan, yang kita bimbang-bimbangkan, yang kita takut-takutkan dan sebagainya, itulah yang kita khusyukkan. Kalau rumah, kereta atau perniagaanlah yang mengisi hati atau jiwa kita hingga itulah yang diambil berat lebih dari segala-galanya, maka itulah dia perkara yang kita khusyukkan. Sudah barang tentu rumah, kereta atau perniagaan itulah yang akan kita bawa ke dalam sembahyang.
Khusysuk bagi orang mukmin ialah jiwa tauhidnya yang sangat mendalam dan rasa bertuhan serta rasa kehambaan dalam jiwanya begitu kuat hingga ia memenuhi seluruh pelosok hati dan perasaannya. Rasa ini tidak lekang dan dibawanya ke mana-mana. Rasa cinta dan takutnya kepada Tuhan menguasai fikiran dan jiwanya. Dia khusyuk di luar sembahyang dan dia lebih-lebih lagi khusyuk di dalam sembahyang.
Bagi orang yang belum mukmin dan ringan ketauhidannya atau bagi orang yang hanya berfikiran tauhid dan belum berjiwa tauhid atau bagi oaring yang `alimbillah (tahu Tuhan) yang belum `arifbillah (betul-betul kenal Tuhan), ibadah mereka selalunya tidak ada kualiti dan tidak sampai ke tahap khusyuk. Ibadah mereka belum ada kemanisan dan mereka merasa berat untuk beribadah. Mereka beribadah dalam terpaksa. Ini sungguh perit dan menyeksakan.
Sembahyang yang benar-benar khusyuk itu ilah sembahyang yang sentiasa mempunyai rasa-rasa yang berubah dari satu rasa ke satu rasa yang lain sesuai dengan rukun dan bacaan dalam sembahyang dari mula takbiratul ihram hingga kepada salam. Untuk mencapai rasa-rasa ini, ia mesti terlebih dahulu diusahakan dalam keadaan biasa di luar sembahyang. Hanya di dalam sembahyang ia disubur, dihidup dan ditajamkan lagi supaya kita dapat lebih berinteraksi, berhubung hati dan berhubung rasa dengan Tuhan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan