Jumaat, 29 Januari 2010

Pengumuman siasatan Dr Hasan,Khalid Samad 29 Januari


Keputusan siasatan jawatankuasa disiplin PAS terhadap dua pemimpin popular PAS, Datuk Dr Hasan Ali dan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad, yang dijadualkan diumumkan hari ini, ditangguh kepada 29 Januari depan.
Keputusan siasatan tersebut dijadualkan diumumkan hari ini, selepas kedua-dua pemimpin PAS Selangor itu memaklumkan mengenainya.
Bagaimanapun, kedua-duanya tidak dapat dihubungi hari ini untuk diminta hadir ke ibupejabat PAS untuk tujuan tersebut.
Sehubungan itu, jawatankuasa disiplin yang bermesyuarat pagi tadi memutuskan untuk menangguhkan pengumuman tersebut.
“Pada hari ini (22 Januari 2010) Jawatankuasa telah menyambung persidangan untuk membuat penilaian dan rumusan berkait pendengaran tersebut.
“Pihak jawatankuasa telah sampai ke tahap keputusan tetapi memerlukan kehadiran kedua-dua ahli yang terlibat untuk jawatankuasa menyampaikan keputusan kepada mereka.
“Jawatankuasa merasakan adalah tidak wajar untuk mengumumkan keputusan sebelum ianya disampaikan kepada mereka terlebih dahulu,” kata pengerusinya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tuan Ibrahim memberitahu media bahawa notis akan dihantar kepada kedua-dua mereka untuk hadir di ibupejabat PAS pada 29 Januari jam 3 petang.
Naib presiden PAS itu juga berkata jawatankuasa tersebut telah mendengar tuduhan terhadap kedua-dua tokoh PAS Selangor itu setelah mereka memberi jawapan bertulis.
“Jawatankuasa displin telah menilai jawapan kedua-dua ahli tersebut dan mendapati ada kes dan memberi peluang kepada kedua-duanya untuk didengar,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, Khalid dipanggil pada Khalid pada 7 Januari lalu dengan membawa seorang saksi. Manakala Dr Hasan pula dibuat dua hari selepas itu dengan membawa dua saksi.
Kedua-duanya tidak ditemani peguam dan pendengaran dibuat secara tertutup atas permintaan mereka, tambah Tuan Ibrahim.
Sementara itu, seorang ahli jawatankuasa disiplin itu, Datuk Wan Mutalib Wan Embong berkata, Khalid menghadapi dua pertuduhan:
Pertama, membuat ucapan terbuka mengkiritik pesuruhjaya PAS Selangor yang mengkritik isu tatatertib oleh jawatankuasa pilihan khas mengenai keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan (Selcat).
Kedua, kerana Khalid telah menulis dalam blognya, mendedahkan minit mesyuarat badan perhubungan PAS selangor pada 27 September 2009.
Dr Hasan juga menghadapi dua tuduhan. Pertama, membuat kritikan terbuka berkaitan dengan prosedur tatacara pendengaran Selcat; dan keduanya membuat kritikan terbuka terhadap pelantikan pengurus besar PKNS, Liow Siew Moi.
Menurut Wan Mutalib, pihaknya telah membuat keputusan secara sebulat suara berdasarkan kepada perlembagaan parti.
Terdapat empat pilihan hukuman yang boleh dikenakan iaitu diberikan amaran, digantung keahlian, digantung jawatan dalam parti atau digugurkan dari parti.
Ditanya mengenai kemungkinan kedua-dua tokoh itu digugurkan, Wan Mutalib melarang pihak media membuat sebarang spekulasi.
Tuan Ibrahim pula berkata, Khalid dan Dr Hasan boleh membuat rayuan sekiranya didapati bersalah.
Mengikut pindaan perlembagaan parti 2009, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada jawatankuasa pusat PAS atau Majlis Syura Ulama.
Selain Tuan Ibrahim dan Wan Mutalib jawatankuasa Displin PAS yang bersidang selama lebih dua jam mula 9.30 pagi tadi, seorang lagi anggota jawatankuasa disiplin ialah Mohd Baqi Othman yang juga bekas pesuruhjaya PAS Pahang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan