Jumaat, 29 Januari 2010
Linda Onn Jumpa Fahrin Ahmad di Mahkamah
“Semua kenyataan yang keluar daripada mulut saya adalah untuk menjawab persoalan yang diajukan oleh pihak media. Bukan saya sengaja hendak bercerita. Saya bercakap perkara yang benar.
Itu reaksi Linda Onn berhubung notis tuntutan yang dibuat oleh Fahrin Ahmad berhubung penyiaran dua artikel dalam akhbar Sinar Harian (19 Jan 2010) dan The Star (20 Jan 2010). Notis tuntutan bertarikh 22 Januari itu dikeluarkan melalui peguamnya, Tengku Naufal Tengku Mansor yang menuntut Linda dan individu-individu serta pihak-pihak berkenaan yang bertanggungjawab atas penyiaran dua artikel itu membuat kenyataan maaf secara jelas dan membuat penarikan semula segala tohmahan yang telah dikeluarkan.
Linda yang ditemui selepas selesai bertugas di konti Suria FM bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut tentang perkara ini. Alasan yang diberikan oleh penyampai radio popular ini, dia tidak boleh sewenang-wenangnya memberi komen kerana sudah menyerahkan perkara ini untuk diselesaikan oleh peguam.
“Memandangkan perkara ini akan dibawa ke mahkamah, jadi saya tidak mahu mengulas lebih lanjut. Saya serahkan perkara ini kepada peguam saya. Saya sudah tahu perkara ini beberapa hari lalu dan bermula dari hari itu, saya telah lantik peguam untuk menguruskannya.”
Ditanya adakah tindakan Fahrin itu wajar atau pun tidak, Linda tidak mahu memberi sebarang komen. Malah, Linda juga enggan mengulas apabila ditanya tentang kemungkinan Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya akan diheret bersama bagi menyelesaikan kes ini.
Menyentuh dakwaan Linda yang mengatakan Fahrin panas baran sehingga bertindak kasar terhadap dirinya, Linda menjelaskan dia tidak boleh memberi sebarang kenyataan tentang perkara itu.
“Biarlah perkara ini dibincangkan di mahkamah. Itu sahaja yang boleh saya katakan buat masa ini,” ujar Linda yang turut menafikan situasi sekarang ini menjejaskan kerjayanya yang baru bermula di Suria FM.
“Rakan-rakan setugas dan pihak pengurusan sekarang ini banyak memberi sokongan kepada saya dan saya sangat berterima kasih kepada mereka kerana memahami situasi ini.”
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan