Jumaat, 1 Januari 2010

Pelantikan Pemegang Sarjana Pendidikan Sebagai Guru

PUTRAJAYA, 30 Dis (Bernama) -- Pelantikan lulusan Sarjana Muda Pendidikan daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sebagai guru bergantung kepada pengkhususan yang dipilih serta kekosongan jawatan, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata tidak semua graduan bidang itu dapat diterima kerana terdapat juga lepasan daripada institusi pendidikan guru yang telah diberikan latihan mengikut keperluan semasa.


"Masalah sekarang ialah graduan lepasan pendidikan IPTA melebihi penawaran. Kita kenalah tengok pengkhususan dan opsyen yang dipilih oleh graduan IPTA itu, mungkin bidang yang dipilih graduan itu sudah mencukupi buat masa ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika diminta mengulas mengenai rungutan lepasan IPTA dalam bidang pendidikan bahawa mereka sukar mendapat pekerjaan sebagai guru.

Mohd Puad berkata pengadu boleh mengemukakan aduan kepada kementerian yang akan membantu mencari jalan penyelesaian.

Terdahulu beliau merasmikan Hari Kualiti dan menyampaikan Anugerah Kualiti peringkat Kementerian Pelajaran. Pada majlis itu Bahagian Buku Teks Kementerian Pelajaran menerima Anugerah Kualiti Menteri Pelajaran, Kumpulan Meningkat Mutu Kerja Core Jabatan Pelajaran Perak memenangi Anugerah Kualiti Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran manakala Anugerah Kualiti Ketua Pengarah Pelajaran dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Alor Star, Kedah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan