Ahad, 1 Disember 2013

YB PKR Sumbang 20% Gaji Untuk Pendidikan

SHAH ALAM – Wakil rakyat PKR di Selangor bakal menyumbang 20 peratus (RM 1,000) daripada kenaikan gaji mereka untuk Tabung Pendidikan Keadilan Anak Selangor.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah menjelaskan mengenai rasional kenaikan gaji yang mengundang pelbagai reaksi daripada semua pihak.

“Saya telah menerima pandangan semua pihak mengenai kenaikan gaji yang melibatkan wakil rakyat Selangor. Saya juga telah mendapat penjelasan dari Tan Sri Khalid Ibrahim mengenai rasional kenaikan gaji tersebut.

“PKR sebagai parti yang membawa semangat reformasi perlu terus sensitif dengan kesempitan hidup yang dihadapi rakyat terbanyak.

“Oleh itu, setelah berbincang dengan Tan Sri Khalid Ibrahim, saya bersetuju bahawa satu Tabung Pendidikan Keadilan Anak Selangor akan ditubuhkan bertujuan mengagihkan biasiswa pendidikan kecil dan mengendalikan program pendidikan terutamanya di peringkat sekolah menengah dan pra-universiti,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Anwar berkata, jumlah sumbangan tersebut dijangka mencecah setengah juta setahun.

“Setiap wakil rakyat keadilan akan menyumbang RM1,000 sebulan atau 20% dari jumlah kenaikan gaji bulanan yang diumumkan untuk membiayai pemberian biasiswa kecil dan program pendidikan di bawah Tabung Pendidikan Keadilan Anak Selangor.

“Jumlah sumbangan wakil-wakil rakyat PKR dari Selangor kelak dijangka mencecah setengah juta setahun dari kenaikan gaji mereka yang dapat membantu keluarga berpendapatan rendah dalam bidang pendidikan,” katanya.

Rabu lalu, usul kenaikan gaji Adun, Exco, Speaker, Timbalan Speaker dan Menteri Besar diluluskan menerusi Rang Undan-Undang Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 1980 yang dibacakan Khalid Ibrahim pada sidang Dun.

Gaji dan elaun bulanan pimpinan Selangor itu dinaikkan antara 87 peratus hingga 373 peratus bermula Januari tahun depan.

Kali terakhir gaji dan elaun dipinda pada 2011, tetapi hanya membabitkan kenaikan Adun sebanyak 46 peratus, iaitu daripada RM4,112.79 kepada RM6,000.


KREDIT TO:http://www.sinarharian.com.my
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan