Selasa, 3 Disember 2013

Diam Bukan Pilihan Bagi Peguam Negara

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar) bertemu wartawan semalam untuk bercakap tentang dua isu – kes rogol membabitkan pasangan suami-isteri remaja dan keputusan Pejabat Peguam Negara untuk tidak membuat rayuan dalam kes penipuan Tun Dr Ling Liong Sik.
Tetapi Peguam Negara itu langsung tidak bercakap mengenai isu paling besar – dakwaan rasuah terbesar terhadapnya oleh bekas pegawai penyiasat polis, Datuk Mat Zain Ibrahim.
Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur itu sejak bertahun-tahun lalu membuat dakwaan terhadap Gani – menulis surat terbuka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan akhirnya membuat perakuan bersumpah (SD).
Beliau turut berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memberi taklimat kepada perdana menteri paling lama berkhidmat itu berhubung apa yang beliau katakan sebagai salah laku Peguam Negara.
Tiada apa-apa yang berlaku. Polis hanya meminta Mat Zain untuk membuat laporan polis. Tetapi Peguam Negara tetap berdiam diri.
Bagi sesiapa pun, daripada buruh kasar kepada perdana menteri paling berkuasa, nilai sebenar bagi mereka adalah reputasi.
Kebiasaannya, seseorang akan berjuang bermati-matian untuk menjaga reputasinya.
Dalam kes Abdul Gani, beliau boleh membuat laporan polis atau menyaman Mat Zain.
Atau sekurang-kurangnya menjawab pertuduhan serius Mat Zain seperti pengkhianatan kepada negara dan memusnahkan keadilan.
Sebaliknya, Abdul Gani bercakap kepada wartawan dan cuba memperlihatkan kepada umum Pejabat Peguam Negara berfungsi seperti biasa.
Tindakan senyap beliau dilihat sebagai petunjuk bukti kepada seluruh episod.
Kerajaan juga masih belum mempertahankan Abdul Gani kecuali mengatakan tiada apa yang perlu disiasat kerana Mat Zain hanya mengeluarkan SD dan bukannya membuat laporan polis.
Tetapi Mat Zain merupakan bekas pegawai tinggi polis dan tahu undang-undang.
SD beliau sekarang ini tersebar luas dan walaupun media tidak boleh menyiarkannya di atas sebab perundangan, seperti dikatakan seorang peguam, SD ini akan membongkar banyak perkara.
Paguam Negara tidak harus terus berdiam diri. Berdiam diri tidak akan membersihkan tanggapan umum terhadap dirinya.
Malaysia memerlukan Peguam Negara bertugas tanpa takut dan berat sebelah, bukan yang mempunyai imej tercemar dengan pelbagai dakwaan yang boleh mencalarkan imej keseluruhan kerajaan.

KREDIT TO:http://www.themalaysianinsider.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan