Khamis, 19 Disember 2013

Rompakan Di Marang

Lelaki bertopeng tunai janji



MARANG – Tiga lelaki bertopeng melarikan selaras senapang patah jenis Steven, peluru hidup, wang tunai serta peralatan elektronik milik seorang guru besar di sebuah rumah di Kampung Rambai Jantan, dekat sini, semalam.

Bagaimanapun, mangsa, Radzali Abdullah, 55, lega apabila kumpulan penjenayah terbabit meninggalkan semula senapang patah dan peluru hidup berdekatan rumahnya sebelum ditemui sekumpulan anggota dan pegawai forensik serta Cawangan K9.

“Saya tiada di rumah dalam kejadian berlaku kira-kira 3.30 pagi itu dan hanya mengetahui ia menimpa isteri, Rabiah Abdul Rahman (51) dan anak, Fatin Nazariah (24) serta tunang anak perempuan saya kira-kira jam 5.30 pagi,” katanya.

Radzali yang merupakan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Marang berkata, dia yang menginap di Hotel Seri Malaysia Kuala Terengganu kerana menghadiri kursus kemudiannya bergegas pulang ke rumah setelah dihubungi anaknya.

Menurutnya, tiga lelaki bertopeng itu memasuki rumahnya setelah merosakkan gerigi dan mengumpil pintu hadapan rumah sebelum mengikat tangan dan kaki isteri, anak serta tunang anak perempuannya.

Akibat kejadian itu, katanya, keluarganya mengalami kerugian wang tunai kira-kira RM2,500, kehilangan tujuh telefon bimbit, dua lap top dan dua ‘tablet’ dan barangan lain.

“Penjenayah itu turut melarikan selaras senapang patah dan lebih 30 biji peluru yang disimpan di tempat berkunci, namun mereka sempat berpesan kepada isteri saya agar jangan bimbang kerana akan memulangkan semula senapang dan peluru itu.

“Ternyata tiga lelaki bertopeng yang lengkap bersarung tangan itu tunaikan janji mereka apabila senapang patah dan peluru hidup itu ditinggalkan di kawasan semak berdekatan rumah dan ditemui semula sepasukan anggota polis,” katanya.

Radzali berkata, dia bersyukur kerana ahli keluarganya selamat malah, tidak menyangka tiga lelaki bertopeng terbabit berpegang pada janji mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.


KREDIT TO: Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan