Ahad, 29 April 2012

Babi di Zina di Riba


Masih ingat lagi ketika saya dalam darjah dua semasa bersekolah di Sibu, Sarawak. Setiap hari semasa rehat saya berserta rakan-rakan akan duduk bersama menikmati bekalan dari rumah. Terjadilah pada suatu hari seorang rakan bukan Islam membawa bekal nasi berserta lauk daging babi, maka mulalah riuh di kalangan kami yang si”polan” membawa daging babi. Akibatnya rakan itu tadi makan berseorangan sahaja kerana kami menjauhkan diri dari lauk daging babi yang dibawanya itu.
Semasa bekerja dengan unit penerbangan VIP di Malaysia dahulu, sebelum membawa pemerintah negara melawat ke luar negara, akan ada sekumpulan “pasukan peninjau” dari pelbagai jabatan melawat ke tempat yang akan dilawati itu untuk memastikan lawatan pemerintah akan berlangsung dengan lancar.
Selain dari jabatan kejuruteraan, jabatan operasi, jabatan keselamatan dan jabatan katering akan meninjau kemudahan-kemudahan yang terdapat di sesuatu tempat itu. Antara tugas jabatan katering adalah untuk memastikan makanan yang akan disiapkan untuk VIP adalah dari sumber yang halal, malah tempat penyediaan makanan juga haruslah juga mendapat pengesahan sijil halal.
Dari dulu hingga kini kita seringkali dikhabarkan dengan info bahawa banyak produk-produk harian yang kita guna mengandungi unsur babi. Begitu hebatnya kesedaran masyarakat melayu kita hinggakan semua aspek “kebabian” dijaga dan harus dielakkan dgn semutlak-mutlaknya.
Masyarakat melayu telah di”brainwash” dari kecil yang babi itu jijik jadi bila kita meningkat dewasa, data yg di “key in” ke dalam minda separuh sedar kita ini (melalui proses brainwash) menjadi pendinding kita dari mendekati babi baik secara langsung (daging) mahupun bahan2 sampingan seperti food additives/emusifier.
Amat hebat kesan kesedaran dari kecil ini hinggakan isu babi ini amat sensitif malah hingga menjadi isu negara. Ambil contoh apabila kita memandu kereta dan di depan kita ada lori babi, tanpa perlu berfikir dengan secepat yang mungkin kita mahu memotongnya malah memaki hamun pemandu lori tu “tak boleh ikut jalan lain ke dan mcm2 lagi…” satu tindakan automatik minda separuh sedar.
Tetapi, di dalam Islam saya belum berjumpa lagi ayat mengharamkan menghampiri/mendekati babi, tetapi disebabkan kita sudah di”brainwash”, ia sudah menjadi automatik buat kita untuk sedaya upaya menjauhinya.
Apa yang pasti Allah berfirman “Janganlah kamu menghampiri ZINA“, jadi amat berat lagi zina berbanding babi hinggakan menghampirinya pun tidak boleh, tetapi disebabkan kita tidak di”brainwash” dari kecil yg pergaulan bebas lelaki dan wanita itu sebaik2nya dielakkan, maka apabila dewasa untuk membataskan sempadan pergaulan lelaki dan wanita yang mana kebarangkalian untuk menjurus ke arah zina itu amat tinggi amat sukar untuk di wujudkan.
Ditambah pula dengan generasi pemimpin2 sekarang yang rata2nya mendapat pendidikan di barat, jadi untuk mengasingkan pekerja lelaki dan wanita di pejabat dianggap suatu yang jumud dan kuno, sedangkan itu juga menjurus ke arah zina, malah dari kecil lagi kita dicampurkan lelaki dan perempuan di sekolah2 sama dengan konsep barat.
Kita di”brainwash” dari kecil hinggalah dewasa menerusi TV dan filem2 yang lelaki dan wanita itu mesti dan wajib bercinta sebelum kahwin dan amatlah perlu kenal mengenali sebelum kahwin, nak tahu serasi ke tidak, nak mendalami perasaan dan sebagainya. Akan tetapi kita tidak mengikut landasan Islam untuk mengenali pasangan. Malah berdating berdua2an, ringan2 dan akhirnya terjebak dengan zina. Landasan berkasih sayang adalah menurut “kitab” ajaran Hollywood, Bollywood, Kollywood (Korea) dan Indowood (Indonesia).
Zaman materialistik membuatkan kedua2 ibu dan bapa keluar bekerja dan meninggalkan anak2 di rumah tanpa didikan, perhatian dan tunjuk ajar. Anak lebih di”anggap” seperti binatang ternakan yang hanya perlu diberi makan (oleh orang gaji) dan juga pendidikan (unsur2 luaran) tanpa perlu tunjuk ajar yang lebih sempurna dari ibu bapa.
Lebih mudah menjaga anak dengan menyuruh melihat TV, internet atau main video games, malah ketika menonton filem2 cinta terutamanya filem hindustan anak2 juga diajak menonton bersama. Apa yg dilihat di TV dirakam secara mutlaknya ke dalam minda separuh sedar tanpa kita sendiri menyedarinya. Jadi generasi yang kita lihat sekarang adalah generasi yang dididik dengan filem2 percintaan dari luar malah filem cinta melayu juga tak kurang hebatnya.
Jika dulu buang emak buang saudara kerana kasih saya turutkan, apa nak dihairan sekarang jika buang emak, buang saudara, buang agama kerana kasih saya turutkan.
————————————————————————————————–
Di dalam kehidupan masyarakat melayu kita, jika ada lelaki dan perempuan yang ditangkap kerana berzina atau berkhalwat maka mereka juga akan dicemuh. Ada kalanya pasangan tersebut terutamanya lelaki akan dibelasah oleh orang kampung. Masyarakat sekeliling akan sibuk mengata malah hingga ke tahap mengumpat tentang kejadian yang berlaku.
Walaupun masyarakat Islam kita tidak mengamalkan hudud, mahkamah syariah akan mengenakan denda ke atas pasangan tadi. Jika perkara yang sama berlaku kepada masyarakat agama lain, mereka juga akan dicemuh dan dihina oleh masyarakat setempat.
Saya sudah membangkitkan isu babi dan zina dalam artikel di atas, apa pula kaitannya kali ini dengan riba?
Dari kecil lagi pemikiran masyarakat kita sudah di”corak” atau di”acu” supayamenjauhi babi dan mencemuh mereka yang berkhalwat atau berzina. Begitu hebat bencikan babi ini hinggakan dari segala segi harus dijaga, dari menghampirinya, dagingnya, tempat masak hinggalah kepada bahan-bahan tambahan makanan (food additives) yang mesti juga tidak diperbuat dari unsur-unsur babi.
Namun, kini boleh dikatakan hanya bab babi sahaja yang masih kekal kuat, bab zina atau mencemuh zina itu sendiri sudah semakin terhakis kerana rata-rata masyarakat kita jika tidak melakukan zina sekalipun, sudah menuju ke arah zina itu sendiri dengan menghampirinya, berkat dari “kawalan minda” dari alat “hipnosis” atau pemukau terhebat iaitu TV, filem dan pelbagai lagi yang mem”fatwa”kan wajibnya bercinta sebelum kahwin, mesti ber”dating”, ber”couple” dan berkasih-kasihan.
Bagaimana hati seseorang manusia itu akan membenci zina jika dia sendiri melakukan atau hampir dengan zina itu sendiri?
Berbanding babi dan zina, riba’ pula suatu perkara biasa pada kebanyakan masyarakat kita. Baik beli kereta, rumah hinggalah kepada penggunaan kad kredit, isu riba’ ini tidak begitu dipandang hebat oleh masyarakat kita berbanding babi dan zina. Kerana apa?
Kerana dari kecil lagi kita sudah didedahkan dengan “kebaikan-kebaikan” riba’ itu sendiri. Contohnya semasa kecil disebabkan oleh sistem riba’lah mak ayah boleh membeli TV dengan ansuran (berserta kadar faedahnya), jadi dapatlah kita menonton Ultraman, Power Rangers, Oshin dan sebagainya. Dengan riba’ lah ayah membeli motor untuk ketempat kerja mencari rezeki. Itu dari perspektif keluarga, bagaimana dengan negara?
Dengan sistem riba’ jugalah negara punyai bangunan pencakar langit, lebuhraya besar, lapangan terbang canggih dan pelbagai prasarana hebat yang lain. Segala aspek kehidupan masyarakat Malaysia khususnya dan masyarakat dunia amnya sudah “imun” dengan riba’ itu sendiri, jadi bencikan riba’ itu amat jarang terdapat dalam kamus kehidupan masyarakat berbanding babi dan zina.
Mungkin juga perkataan riba’ ini suatu yang baru kerana riba’ sebelum ini berselindung di sebalik nama bunga ataupun kadar faedah. Apa kata selepas ini sebelum membuat pinjaman, tanyalah kepada pegawai pinjaman, “Berapa kadar riba’nya Encik…? Apakah perasaan kita ketika itu? Bagaimana pula reaksi pegawai yang diajukan soalan itu agaknya?
Selain dari sikap jijiknya terhadap riba’ itu tidak disemai dari kecil, riba’ itu sendiri suatu yang tidak begitu jelas kelihatan seperti babi dan zina. Daging babi suatu yang boleh dilihat dan hasil dari penyelidikan sains pula membuktikan daging babi itu mengandungi parasit atau cacing merbahaya. Zina pula akan menyebabkan perut si perempuan akan membuncit dan lelaki akan pening kepala jika mahu bertanggungjawab atau cara mudah lepas tangan.
Tidak seperti riba’, disebabkan kesannya agak halus dan tidak berapa terasa maka ia tidak dipandang serius. Contohnya membeli rumah 100 ribu selama 30 tahun, bayaran bulanan hanyalah dalam lingkungan 4-5 ratus sahaja sedangkan bayaran keseluruhan melebihi dua kali ganda harga asal rumah.
Kesan bayaran bulanan yang kecil itu tidak dirasai sangat maka disebabkan oleh itu riba’ diterima pakai oleh kebanyakan manusia.
Ada pula yang berkata, “Tak apalah aku bayar lebih kepada bank, mereka nak bayar kos mengendalikan bank itu sendiri”. Masalahnya bukan seorang dua sahaja yang mengambil pinjaman dan hidup di dalam riba’, malah boleh dikatakan hampir seluruh masyarakat dunia mengambil pinjaman maka wujudlah jenis perhambaan baru.
Cuma mereka yang patuh dan taat kepada perintah Allah sahaja yang akan menolak riba’ sepenuhnya walau apa pun harga yang terpaksa dibayar. Teringat akan saya cerita Sheikh Imran Hosein semasa beliau mula-mula belajar di Pakistan. Nasihat pertama yang di beri oleh guru beliau adalah, apa sahaja yang diperintahkan oleh Allah dan Nabi, ikut sahaja, pemahaman akan datang kemudian.
Akan tetapi disebabkan kita menolak perintah Allah dan Nabi dengan menerima riba’, maka manusia menjadi mati akal memikirkan masalah yang melanda kehidupan mereka dan mula menuding jari pada insan-insan lain. Contohnya masalah ekonomi dunia yang kucar-kacir itu sendiri adalah kerana ianya adalah satu penipuan, ekonomi berlandaskan riba’ itu sendiri yang menghancurkan umat manusia itu sendiri selari dengan firman Allah yang mana kerosakan di muka bumi itu adalah dari usaha manusia itu sendiri. (Al-Rum 30:41)
Dari sistem ekonomi riba’ inilah menyusulnya masalah sosial yang lain di dalam masyarakat baik rasuah, pelacuran, penyakit berkaitan stress hinggalah kepada sikap dan perangai generasi muda zaman ini yang semakin kurang ajar.
Bagaimana mereka boleh menjadi anak-anak yang baik jika panduan hidup mereka ketika membesar adalah dari orang gaji, dari TV, dari internet dan video games sedangkan ibubapa yang sepatutnya mencorakkan mereka.
Ibu dan bapa sibuk bekerja untuk membayar hutang kereta dan hutang rumah selama 20-30 tahun yang mereka sangkakan kepunyaan mereka sedangkan kereta yang dipandu dan rumah yang didiami itu sebenarnya kepunyaan bank sehinggalah bayaran akhir dijelaskan. Manusia sebenarnya bekerja untuk bank selama 20-30 tahun, membayar 2-3 kali ganda dari harga asal yang dibeli.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Riba itu terbahagi kepada 70 jenis dan yang paling kecil sekali dosanya adalah umpama melakukan zina dengan ibu sendiri
. (Ibn Majah, Baihaqi)

Abdullah Ibn Hanzala melapurkan bahawa Nabi SAW bersabda: Satu dirham hasil riba yang mana diterima oleh seseorang itu sedangkan dia mengetahuinya itu adalah riba’, lebih teruk dari melakukan zina selama 36 kali.
 (Ahmad, Baihaqi)
Saya tidak pasti jika hadis di atas ini cukup kuat untuk mengajak manusia menjauhi riba’. Kesedaran harus diwujudkan di kalangan masyarakat kita baik Islam dan bukan Islam akan bahayanya riba’ itu. Segala masalah ekonomi dan sosial yang melanda pada masa ini adalah daripada sikap kita yang lena melayan sistem riba’ itu sendiri.
Bagi yang kaya dari hasil riba itu iaitu dengan melabur tanpa risiko ataupun risikonya diminimumkan dan mendapat “pulangan hanya dengan masa”, mereka tentunya akan kekal lena kerana bagi mereka “syurga” itu sudah dikecapi di dunia lagi, akan tetapi di akhirat kelak perut mereka akan dipenuhi dengan ular-ular seperti yang diceritakan oleh Nabi semasa beliau diangkat ke langit (Israk Mikraj).
Moga hidayah dan “nur” dari Allah akan sampai ke hati mereka sebelum mereka di”sembahyang”kan agar berhenti berbuat demikian. Bagi yang menjadi semakin miskin dari hari ke hari, maka sudah tiba masanya untuk sedar dan bangun dari lena yang panjang ini, bersama berhenti menyokong sistem riba’ itu baik dari menjadi hamba kepada sistem riba’ itu sendiri dengan mengambil pinjaman ataupun menyokong pemimpin yang akur kepada sistem riba itu sendiri.
Saya mengajak rakan-rakan berusaha kearah menjauhi riba ini agar hidup kita didunia ini lebih diberkati, diredhai dan dipermudahkan oleh Allah dan bukan hidup dengan diperangi oleh Allah dan Nabi. Berusahalah lebih kepada menjadi “pemberi” kepada insan-insan lain kerana melalui riba’ itu kita hanya menjadi “pengambil”, mengambil hak orang lain secara tanpa disedari.
Memberi bukan sekadar dalam bentuk wang ringgit, malah memberi dan menyampaikan ilmu dan sikap ringan tulang membantu sesama manusia itu juga yang disukai Allah dan akan dipermudahkan kehidupan kita olehNya, (Surah Al Lail 92:5-7).
Moga kehidupan kita didunia ini menjadi aman, tenteram dan harmoni berkat dipermudahkan jalan oleh Allah untuk kita menjalani kehidupan, jadi siapa kata mencipta syurga di dunia itu suatu yang mustahil? Tidak bagi mereka yang hatinya dekat dan patuh kepada Allah.
artikel asal dari: Syurga Di Dunia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan