Isnin, 2 April 2012

Kalau Berjanji Kena Ikut Kemampuan

Oleh ROHAMI SHAFIE
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan dan Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia
SUHU politik negara semakin panas. Meskipun Parlimen belum dibubarkan secara rasmi, namun semua maklum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kemungkinan besar akan diadakan pada tahun ini. Rata-rata majoriti rakyat bercakap mengenai politik. Tidak kira yang berpangkat besar sehinggalah rakyat marhaen.
Sudah tentu yang paling sibuk ahli-ahli politik. Perang saraf di mana-mana. Bermula di pentas ceramah sampailah ke alam maya. Siapa yang dapat meyakinkan rakyat, merekalah yang akan terpilih.
Apakah yang rakyat mahukan sebenarnya? Sebagai rakyat marhaen, mereka mahukan suasana aman damai, makmur dan sejahtera. Itu secara amnya. Ahli-ahli politik mengetahui perkara ini. Namun, bukan semudah untuk mencapai suasana aman damai, makmur dan sejahtera. Memang mudah untuk bercakap di pentas ceramah atau di alam maya. Pelbagai gaya digunakan untuk meraih undi. Gaya sahaja tidak cukup tanpa adanya janji.
Ditaburnya pelbagai janji kepada rakyat demi untuk mendapat sokongan. Bagi rakyat, mereka akan menyukai janji-janji yang luar biasa. Janji biasa sahaja tidak mampu menarik perhatian mereka. Maka, lahirlah pelbagai janji yang luar biasa dan kadang-kala tidak masuk akal. Apabila bercakap mengenai janji, sesiapa sahaja boleh berjanji. Namun, persoalannya mampukah ditunaikan?
Antara janji yang dilontarkan berkaitan dengan subsidi minyak, pinjaman pelajaran dan juga pembayaran tol. Rakyat amat teruja dengan semua perkara di atas. Bayangkan, berapa banyak wang saku rakyat dapat "diselamatkan" jika sekiranya kesemua di atas benar-benar dilaksanakan.
Rakyat tidak perlu membayar harga minyak yang tinggi setiap hari, hutang pelajaran melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak perlu dibayar, manakala tol pula dihapuskan. Amat menarik! Apa lagi yang akan ditaburkan oleh ahli-ahli politik bagi menarik perhatian rakyat? Berjanji biarlah realistik.
Adakah selepas ini, segala-galanya percuma?
Kalau begitu, penulis pun amat teruja. Tidaklah perlu memikirkan masalah kewangan setiap hari. Segala-galanya ditanggung oleh kerajaan yang akan memenangi PRU-13. Kemenangan dicipta melalui janji-janji yang amat menarik perhatian rakyat.
Maka, lahirlah budaya subsidi yang tinggi dalam kalangan rakyat. Budaya subsidi inilah yang menghancurkan negara-negara Eropah seperti Greece, Itali, Sepanyol, Portugal dan United Kingdom. Sampaikan yang tidak bekerja dan tidak mahu bekerja pun dibayar elaun.
Apabila kerajaan mereka menarik semula keistimewaan, rakyat mula memberontak. Kacau bilau dibuatnya di negara-negara tersebut. Di Greece sahaja sudah seringkali rakyat memberontak di jalanan, angkara kesilapan besar kerajaan mereka yang terlalu memanjakan rakyat.
Dasar dan polisi kerajaan membutakan rakyatnya betapa negaranya suatu hari nanti berada di ambang kemuflisan. Greece secara teknikalnya telah muflis. Negara ini terpaksa membuat pinjaman luar semata-mata ingin menyeronokkan rakyatnya bagi meraih populariti ahli-ahli politik.
Di Malaysia juga ahli-ahli politik berjanji di sana-sini. Tetapi sejauh manakah mereka mampu tunaikan?
Perlu diingat, tiada satu pun negara di dunia yang mana sumber kewangan mereka tidak terhad. Berjanji dengan pelbagai perkara tanpa berlandaskan sumber kewangan negara yang sebenar memberi risiko besar kepada rakyat dan negara. Siapa yang akan bertanggungjawab jika sekiranya wang tidak mencukupi, tetapi terpaksa juga melaksanakan janji-janji luar biasa yang telah ditaburkan sepanjang kempen pilihan raya melalui manifesto masing-masing.
Memang benar, pungutan cukai negara semakin tinggi. Tahun lalu sahaja, cukai yang dipungut oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) adalah berjumlah RM109.7 bilion iaitu peningkatan sebanyak 27 peratus berbanding tahun sebelumnya. Jumlah tersebut belum termasuk jumlah cukai yang dikutip oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Tetapi sekali lagi sejauh manakah sumber kewangan ini disalurkan untuk rakyat.
Penyaluran wang kepada rakyat perlulah dilakukan dengan tanggungjawab berpaksikan untuk membantu golongan yang memerlukan dan pada masa yang sama untuk memacu ekonomi negara melalui peningkatan produktiviti para pekerja. Yang amat dikhuatiri, sumber kewangan yang terhad ini disalurkan untuk meraih populariti yang akhirnya memudaratkan negara. Ambil iktibar sebagaimana kes Greece.
Rakyat mengetahui janji-janji mana yang tidak mampu ditunaikan. Kecualilah dinyatakan dengan jelas bagaimana untuk melunaskan janji-janji tersebut tanpa memudaratkan negara. Dengan kata mudah, sumber kewangan mana yang akan menampung segala janji-janji tersebut? Sekadar berjanji tanpa menyatakan sumber kewangan tersebut umpama janji-janji kosong yang tidak mungkin dapat ditunaikan.
Lebih baik tunaikan janji-janji PRU-12 yang lepas yang mana banyak lagi yang tidak ditunaikan berbanding menambah jumlah janji-janji terbaru. Rakyat tidak mudah lupa dengan janji-janji tersebut. Janji-janji tersebut wajib ditunaikan oleh ahli-ahli politik. Kalau masih tidak tunaikan, kepercayaan rakyat pastinya semakin terhakis.
Sedangkan kepercayaan rakyatlah yang meyakinkan mereka untuk memilih siapakah ahli-ahli politik terbaik yang amanah, bercakap benar dan menunaikan janji-janji terdahulu pada PRU-13 nanti. Jika masih tidak tunaikan janji-janji terdahulu, usah bercakap tentang janji-janji pada masa akan datang.
Apa-apa pun, segala janji perlu berpaksikan sumber kewangan negara. Barulah ekonomi Malaysia sentiasa mapan tanpa dimanipulasi oleh ahli-ahli politik yang sentiasa cuba mengabui mata rakyat dengan pelbagai janji kosong lagi palsu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan