Oleh YULPISMAN ASLI
KOTA BHARU 16 Mac - Perbuatan mana-mana pihak termasuk parti politik dalam negara yang menjalinkan kerjasama atau meminta campur tangan kumpulan pro-Yahudi untuk menjatuhkan kerajaan disifatkan sebagai pengkhianatan kepada agama dan bangsa.
Tokoh agama yang juga Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah berpendapat, perbuatan pihak tersebut juga adalah cubaan untuk merampas hak dan merosakkan akidah umat Islam di negara ini.
Justeru, kata beliau, rakyat wajib bangkit menentang cubaan pihak terbabit dengan sentiasa memberikan sokongan padu kepada kerajaan sedia ada termasuk dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.
"Perbuatan mereka itu boleh merosakkan agama dan tindakan tersebut bercanggah dengan Islam, ia merupakan pengkhianat bangsa, agama serta kerajaan Islam.
"Adalah wajib ke atas rakyat untuk menolak tindak-tanduk mereka. Haram menyokong perbuatan mereka yang bertujuan hendak menjatuhkan kerajaan Islam.
"Umat Islam jangan alpa dengan perbuatan dan tindak-tanduk puak berkenaan, kena berhati-hati dan bekerjasama menolak pengkhianat agama, negara dan umat Islam itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan mengenai perbuatan pihak tertentu dalam negara ini yang didakwa menjalinkan kerjasama atau meminta campur tangan kumpulan pro-Yahudi dengan matlamat untuk menjatuhkan kerajaan yang diterajui pemimpin Islam.
Sebelum ini, Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zain Mohamed dilaporkan berkata, beliau mempunyai bukti yang menunjukkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjalinkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asing pro-Yahudi, Konrad Adeneur Foundation (KAF).
Sebelum itu, bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rahimi Osman mendakwa, kemenangan besar pembangkang pada 2008 adalah disebabkan rancangan besar agensi perisikan antarabangsa selepas Anwar sendiri memohon campur tangan mereka.
Mengulas lanjut perkara tersebut, Abdullah berkata, umat Islam di negara ini perlu sedar sekiranya cubaan dan usaha pihak berkenaan meminta campur tangan asing berjaya, maka ia akan membawa kehancuran kepada orang Melayu serta umat Islam.
"Kemungkinan akidah umat Islam juga akan tergugat. Maka umat Islam kena berganding bahu menolak dan menentang usaha sedemikian," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan