Rabu, 4 April 2012

Islam Satu 'Jenama’ Besar

Oleh : Maulana Arrif

SEORANG teman telah menulis kepada Pengurus Klana Beach Resort, Port Dickson melalui e-mel untuk mengucapkan terima kasih. Begini kandungan suratnya yang dipanjangkan kepada penulis:

‘‘Pada 10 dan 12 Mac 2012, saya dan isteri menginap di Klana Beach Resort. Meninggalkan resort pada kira-kira jam 12 tengah hari 13 Mac 2012, tanpa disedari kami tercicir tiga helai pakaian di dalam almari bilik penginapan. 

Pada kira-kira 2.10 minit petang hari yang sama, kakitangan resort menelefon saya di rumah mengenai pakaian yang tercicir. Pada mulanya saya minta pakaian itu dihantar melalui kurier, tetapi kemudian datang sendiri mengambil di resort pada 17 Mac 2012 kerana kebetulan ke Seremban menghadiri majlis perkahwinan.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi terima kasih khususnya kepada kakitangan housekeeping yang menjumpai pakaian dan kakitangan bahagian akaun Puan Saliza kerana berusaha menguruskan pemulangan pakaian kami itu.

Sikap jujur dan sentiasa berusaha untuk menolong pelanggan dengan ikhlas amat kami hargai. Saya percaya, mempunyai kakitangan begini adalah aset penting bagi industri perhotelan dan pelancongan di negara kita.

Saya teringat ketika menginap di sebuah hotel di Bonn, Jerman suatu masa dulu. Saya tertinggal sebuah kamera dalam peti simpanan di bilik hotel. Perkara itu hanya saya sedari ketika berada di London pada keesokan harinya. Lalu saya menelefon hotel berkenaan dan kakitangannya meminta alamat rumah saya di Malaysia.

Selepas tiga hari di London, barulah saya pulang ke Malaysia. Terkejut saya kerana kamera saya sudah sampai ke rumah sehari lebih awal. Dan yang lebih saya kagumi, pihak hotel Jerman itu telah menanggung bayaran kurier.

Tentulah sikap seumpama ini akan menambah nilai perkhidmatan mana-mana hotel dan boleh merentetkan kesetiaan pelanggan. Apatah lagi jika amalan yang murni ini terdapat di sebuah ‘hotel Islam’ seperti Klana Beach Resort. Sesungguhnya ia memenuhi tuntutan amal soleh dan menjadi teladan yang baik.

Saya doakan semoga Klana Beach Resort akan bertambah maju dan sentiasa dikunjungi pelanggan. Terima kasih dan teruskan beramal soleh dalam perniagaan,’’.

Klana Beach Resort adalah hotel Islam. Maksudnya, khidmat dan infrastrukturnya memenuhi keperluan syariah (syariah compliance). Baru dibuka awal tahun ini, hotel yang terletak di pinggir laut Selat Melaka di Teluk Kemang itu dimiliki Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.

Keistimewaan

Walaupun perhotelan Islam adalah baru di Malaysia, sudah ada beberapa buah rumah penginapan yang dijenamakan sebagai hotel Islam. Hamba menjenguk ke laman web salah sebuah hotel Islam di Kuala Lumpur untuk melihat apakah keistimewaannya.

 Menurut laman web hotel itu, di dalam bilik turut disediakan sejadah, kitab Quran dan terjemahan dalam Bahasa Melayu, serta surah Yasin.

Di hotel itu juga terdapat sebuah surau, tetapi ini bukanlah ciri unik kerana hampir kesemua hotel di Malaysia mempunyai surau dan tanda arah kiblat dalam bilik walaupun tidak dipromosikan sebagai hotel Islam.

Adakah memadai sekadar menyediakan makanan yang halal; tiada arak dan kegiatan haram di kawasan hotel; serta ada sejadah, al-Quran dan surah Yasin dalam bilik? Adakah semestinya hotel Islam mengumandangkan bacaan al-Quran dan lagu-lagu nasyid sahaja? Pengusaha hotel Islam tentulah juga ingin menarik perhatian pelanggan bukan Islam.

Apa yang sebenarnya diharapkan daripada sebuah hotel Islam. Sebagai orang Islam, jika menginap di sesebuah hotel, paling utama hamba mengharapkan nilai perkhidmatannya adalah setimpal dengan bayaran sewaannya. Janganlah sewa RM150, tetapi nilai perkhidmatan yang diberikan hanyalah RM100. 

Ini tidak adil dan tidak mengundang kesetiaan pelanggan. Islam menganjurkan keadilan dan mengharamkan riba.

Nilai perkhidmatan boleh diukur dari segi jenis kemudahan yang disediakan. Misalnya, sama ada tempat tidur selesa, bilik air berfungsi elok, ada TV dan saluran ASTRO, ada peti sejuk, wifi dan sebagainya. Ada hotel yang mendakwa lima bintang, tetapi alat pendingin hawa tidak berfungsi dengan betul.

Kebersihan dan keindahan bilik dan persekitaran hotel juga penting. Alangkah aibnya imej Islam jika hotel yang berlabel ‘Islam’ itu kotor, persekitarannya tidak dijaga dengan baik dan kemudahan yang disediakan tidak berfungsi elok.

Ramah mesra, budi bahasa dan kejujuran kakitangan dalam memberikan khidmat kepada pelanggan juga penting diambil kira. Janganlah kakitangan memberikan salam kepada pelanggan beragama Islam sahaja, tetapi tidak menyapa bukan Islam dengan ‘‘good morning, hello, how are you’’ dan sebagainya.

Dan alangkah aibnya Islam jika barang-barang pelanggan didapati hilang di dalam bilik atau lesap dari atas meja jika tercicir di lobi atau restoran. Suatu masa dulu, ketika bersolat di Masjid Negara, Kuala Lumpur, hamba terserempak dengan pelancong kehilangan kasut yang ditinggalkan di pintu masuk. 

Dekat pintu masuk itu sentiasa ada pengawal keselamatan. Jangan salahkan pelancong itu jika dia mempunyai tanggapan buruk terhadap Islam dan orang Islam selepas berkunjung ke Masjid Negara.

Oleh kerana konsep hotel Islam ini dijangka akan berkembang di Malaysia, amat perlu adanya piawaian dan kawalan dalam penjenamaan. Jika kehalalan makanan di Malaysia dikawalselia oleh Jakim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, wajar konsep yang sama digunapakai bagi perhotelan Islam.

Perlu ada peruntukan undang-undang, kriteria mutu dan institusi untuk menguatkuasakan piawaian perhotelan Islam. Jika tidak, konsep ini akan terdedah kepada gejala dan penyalahgunaan yang akhirnya hanya akan memburukkan imej agama Islam dan umat Islam. Label hotel Islam tidak boleh disalahguna hanya sekadar untuk tujuan mencari keuntungan, sebagaimana sijil halal makanan.

Sebenarnya konsep perhotelan Islam dan persijilan makanan dan produk halal hanyalah salah satu cebisan daripada satu gagasan yang lebih besar yang perlu difikirkan oleh umat Islam. Kita di Malaysia boleh menjadi pengorak langkah kerana kita sudah memulakannya dalam beberapa bidang.

Apa yang perlu ialah memperluaskan konsep Islam itu sebagai satu jenama yang dipercayai dan bermutu tinggi dalam segenap bidang. Kita sudah ada ‘Halal Malaysia’ dari segi halal makanan dan produk. Kita juga menapak sebagai pemimpin dalam perbankan dan insurans Islam.

Semua ini adalah langkah-langkah yang kita tidak sedari telah menjenamakan ‘Islam’ dalam dunia perniagaan. Kita wajar memperluaskan lagi konsep penjenamaan ‘Islam’ itu ke lain-lain bidang perniagaan. Akhirnya penjenamaan ‘Islam’ boleh perluaskan skopnya kepada bidang-bidang bukan perniagaan.

Yang pentingnya, jenama ‘Islam’ bukan sahaja baik untuk orang Islam, tetapi juga untuk bukan Islam. Malaysia layak menjadi pengorak langkah. Sebagai khalifah, ini adalah tanggung jawab kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan