Ahad, 10 Oktober 2010

PENAMPILAN KULIT CANTIK, ISI MENARIK

Manusia cenderung menilai kewibawaan dan kehebatan seseorang berdasarkan penampilan lahiriah. Si’ A’ dianggap berpersonaliti menarik kerana dia bijak bergaya dan berdandan serta pandai menyesuaikan diri dengan keadaan. Ia sesuai fitrah semula jadi manusia yang menggemari sesuatu yang cantik, indah dan menarik. Kecenderungan ini mendorong manusia berlumba-lumba meningkatkan kehebatan penampilan mereka dengan pelbagai cara. Mereka tidak lokek membeli pakaian, kasut atau perhiasan baru serta mengubah gaya rambut dan solekan agar tampak lebih menarik. Selain itu, kursus dan kelas bimbingan gaya diri juga mendapat sambutan hebat.

Tidak dinafikan kecantikan fizikal penting kerana ia mampu meninggalkan kesan mendalam pada orang yang melihat. Tetapi, dalam keghairahan manusia memburu kecantikan fizikal, mereka seolah-olah terlupa tuntutan rohani. Ia juga perlu diisi, dibentuk dan dihias indah agar penampilan menarik tampak lebih mantap, bukan kosong dan lompong. Bimbingan rohani juga penting kerana ia mempengaruhi pemikiran dan digambarkan melalui tindakan.

Misalnya, jika kita berduka, kedukaan dan kesengsaraan dalarn jiwa terpancar melalui raut wajah muram dan kusam. Ia tidak boleh dilindungi melalui senyuman atau solekan. Apa saja dilakukan serba tak kena. Tindakan kita lebih banyak dikuasai perasaan, bukan pemikiran dan bahangnya dapat dirasai di selurah dunia.

Empat sifat pembentuk jiwa

Menurut Imam Ghazali dalam buku ‘Taubat dan Liku-Likunya’ yang diterjemah dan dikupas oleh Syed Ahmad Semait, setiap manusia mempunyai pelbagai sifat dan empat daripadanya menjadi induk kepada segala dosa: Sifat Rububiyah (sifat ketuhanan), sifat Syaithaniyah (sifat kesyaitanan), sifat Bahimiyah (sifat kebinatangan) dan sifat Subu’iyah (sifat kebuasan).

Sifat ketuhanan dapat dilihat melalui sikap sesetengah orang gemar membangga diri, sombong, bongkak, suka dipuji, gemar memburu kekayaan, kuasa dan kemuliaan serta ingin hidup menongkat langit. Sifat kesyaitanan pula terpancar daripada tindakan seseorang yang gemar menipu, menganiaya, sering dengki-mendengki, pandai rnemutar-belit kenyataan dan kebenaran dan suka mempengaruhi orang lain berbuat jahat.

Sifat kebinatangan dikaitkan dengan kegelojohan manusia, sentiasa tamak haloba, dan berusaha mengaut keuntungan walaupun terpaksa melakukan perkara kotor dan keji serta merampas hak orang lain. Manusia yang sukar mengawal nafsu syahwat dan sering melakukan zina juga dipengaruhi sifat kebinatangan ini.

Sifat kebuasan pula punca manusia jadi pemarah, panas baran, gemar serang-menyerang, busuk hati dan memusnahkan hak atau harta benda orang lain.

Menurut Imam Ghazali keempat-empat sifat ini bertapak dalam diri setiap manusia secara bertahap-tahap. Biasanya, ia bermula dengan sifat kebuasan kemudian kebinatangan. Gabungan kedua-dua sifat keji ini menerbitkan sifat kesyaitanan; mendorong manusia menipu dan mencari helah untuk mengumpul harta kekayaan. Apabila terlaksana, sifat ketuhanan mula menguasai penampilan keseluruhan.

Bersihkan hati dan jiwa

Kita perlu belajar membersihkan hati daripada keempat-empat sifat ini untuk memperolehi jiwa yang lapang. Kesannya, kita tampak lebih tenang. Ia terpancar melalui sinaran mata dan air muka.

Bagaimanapun, jiwa yang sudah sebati dengan segala kemungkaran tidak mudah tenang. Ia sentiasa resah dan gelisah. Kita perlu banyak beristighfar dan melatih diri mengawal minda untuk memperolehi ketenangan abadi.

Cara terbaik ialah melalui istirahat - mental dan fizikal. Pilih hari dan masa sesuai. Kendurkan segala urat dan otot. Jangan diundang segala resah dan gundah. Biarkan fikiran anda kosong. Kemudian lakukan ‘muasabah’ diri; proses penilaian semula sifat dan kelakuan kita selama ini.

Anda perlu jujur. Tanya pada diri sendiri andakah selama ini anda mempunyai ‘penyakit hati’ - tidak suka melihat orang lain senang, bahagia, gembira atau berjaya. Jika jawapannya ‘ya’, anda perlu bertindak, memulih atau mengubah hati agar lebih positif. Pujuk hati agar tidak cenderung menguasai fikiran dan tindakan dengan perkara tidak baik.

Misalnya, jika hari ini anda pernah mencemburui kejayaan ‘A’, minta maaf daripadanya dan usah ulangi lagi. Anggaplah ia rezeki yang sudah ditetapkan untuk ‘A’. Anda akan memperolehi bahagian anda, mungkin dalam bentuk atau keadaan berbeza.

Selain itu, sering pujuk hati (saranan kendiri) dengan perkataan yang baik, jelas dan tepat. Misalnya, saya boleh terus bekerja dengan baik dan mesti berusaha menjadi lebih baik daripada hari ini. Ia ibarat akur janji pada diri sendiri yang perlu ditunaikan.

Pemilihan perkataan juga penting. Misalnya, saya tidak akan bersikap ‘malas’. Malas mengandungi unsur negatif dan perlu ditukar kepada perkataan lebih baik. Misalnya, saya mesti rajin.

Satu lagi cara membentuk hati agar bersikap adil pada diri kita ialah memujuknya dengan gambaran emosi yang boleh meruntun perasaan. Misalnya, anda memang pekerja rajin dan hebat tetapi majikan seolah-olah tidak nampak kehebatan anda, sebaliknya menganugerahkan kenaikan pangkat kepada orang lain yang gemar curi tulang.

Hati memang sakit, tetapi jika dilayan, ia mendorong anda melakukan perkara tidak baik semata-mata untuk menyalurkan rasa tidak puas hati. Bagi menenteramkan keresahan jiwa, cuba bayangkan wajah anak-anak anda. Mereka membesar dengan wang hasil titik peluh anda. Justeru, walaupun anda tidak mendapat pujian atau pengiktirafan daripada majikan, rezeki yang dibawa pulang halal.

Selain itu, cuba cari mekanisme helah diri (defence mekanisme) lain untuk memujuk hati. Misalnya, walaupun kebaikan dan kegigihan anda tidak diiktiraf ketua, sifat rajin dan baik hati disenangi teman-teman. Anggap ia juga satu anugerah.

Ingatlah, cabaran adalah dugaan kepada kesabaran. Ia hadir dalam kehidupan setiap manusia, hanya orang alpa dan tidak teguh hati saja sering ‘melatah’ dan memberontak kerana tidak tahan ujian berlebihan.

Cuba bayangkan betapa buruk imej anda jika rasa tidak puas hati disuarakan dengan cara tidak tepat. Misalnya, menarik muka masam, mengherdik orang, menghempas barang atau menarik diri daripada masyarakat. Kerutan wajah anda menakutkan rakan-rakan. Pastinya, tiada sesiapa pun berani mendekati anda. Akhirnya, anda keseorangan. Sia-sia sahaja anda bergaya hebat dengan solekan serta dandanan gaya terkini, tetapi ia hanya ‘topeng’. Hati dan jiwa anda tidak tenteram dan dipenuhi dendam.

Rasulullah pernah bersabda, jika kita ingin berjaya, jangan buat perbandingan dengan perasaan cemburu. Sebaik-baiknya bandingkan diri dengan orang yang tidak bernasib baik, pasti kita lebih bersyukur. Kita tidak boleh lari daripada masalah, tetapi belajar mengatasinya atau ‘hidup’ dengannya.

Satu lagi cara terbaik mengendali hati ialah jangan bertindak ketika sedang marah. Misalnya, sewaktu sedih; marah atau kecewa kerana ia mungkin mendorong anda melakukan perkara atau mengucapkan kata-kata tidak baik. Ia hanya menyebabkan anda lebih kecewa dan kesal. Sebaik-baiknya asingkan diri dan lepaskan tekanan perasaan dengan cara lain. Misalnya, menulis, mengurung diri, meditasi (bagi penganut Hindu atau Buddha) dan berzikir (bagi orang Islam).

Justeru, seandainya berhajat mengubah penampilan agar menjadi lebih hebat dan memikat, takrif dan konsepnya perlu diubah sedikit. Ia bukan sekadar fizikal tetapi merangkumi jiwa dan minda. Mulakan dengan hati. Wajah dan penampilan fizikal mudah diubah tetapi kecacatan rohani tidak mudah dibaiki. Hanya masa dan keadaan sahaja yang boleh mematangkannya. Kita bukan mahu menjadi yang terbaik, cuma ingin mengimbangi faktor luaran dan dalaman agar penampilan keseluruhan lebih indah, mengagumkan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan