Isnin, 4 Oktober 2010

Menara Jam Tertinggi di Mekah

Setelah beberapa entry sebelum ini agak serius, kali ini saya ingin berkongsi kisah yang saya kira ramai yang sudah tahu iaitu mengenai sebuah menara jam tertinggi di dunia yang baru sahaja siap dibina di Mekah. Nama lengkap bagi menara jam ini adalah Menara Jam Diraja Mekah atau nama popularnya Menara Abraj Al-Bait. Menara jam ini dibina oleh syarikat pembinaan tersohor Arab Saudi iaitu, Saudi Binladin Group membabitkan 250 tenaga kerja mahir umat Islam. Ianya terletak bertentangan dengan Masjidil al Haram di atas tapak Kubu Pertahanan Ajyad di zaman Khalifah Uthmaniyah yang telah diruntuhkan.
Menara jam berketinggian 601 m

Antara yang menarik mengenai kompleks yang menempatkan menara jam ini adalah ruang legarnya adalah sangat besar, berukuran 1,500,000 m2 (16,150,000 kaki persegi). Ketinggiannya akan melebihi Emirates Park Towers di Dubai yang kini merupakan sebuah hotel tertinggi di dunia dan ianya bakal menempatkan hotel bertaraf 7 bintang. Ini menjadikan menara jam ini sebagai bangunan kedua tertinggi di dunia dengan ketinggian keseluruhan adalah 601 m, mengatasi menara Taipei 101 (509 meter) dan berada di belakang Burj Khalifa (828 meter). 

Jam yang berada pada setiap sudut menara adalah berukuran 43 × 43 m menjadikannya sebagai sebuah jam yang paling besar di dunia. Muka jam yang berdiameter enam kali lebih besar daripada Big Ben di London itu ditulis dengan nama Allah di atasnya dan akan diterangi dua juta cahaya LED. Menara itu turut dilengkapi 21,000 cahaya putih dan hijau yang akan berkilauan sejauh 30 kilometer sebagai pemberitahuan bagi lima waktu solat fardu.  

Jam ini menggunapakai waktu standad Arab Saudi, tiga jam ke hadapan daripada Waktu Rasmi Dunia (Universal Time Standard). Terdapat ura-ura mengatakan menara jam tersebut bakal menggantikan Universal Time Standard yang sudah berusia melebihi 126 tahun yang lebih dikenali sebagai Greenwich Mean Time (GMT). Dalam persidangan di Doha pada 2008, ulama dan cendekiawan Islam berpendapat waktu di Makkah adalah waktu sebenar meridian dunia kerana kedudukan Mekah di tengah-tengah dunia.

Terletak bertentangan dengan Masjidil al Haram

Diterangi dua juta cahaya LED pada waktu malam
Spesifikasi bangunan menara jam
 
Sebelum mengakhiri entry ini, marilah kita menghayati sabda Rasulullah SAW berikut. Walaupon hidup lebih 1431 tahun dahulu, baginda telah mengetahui apa yang bakal berlaku hari ini, membuktikan kebenaran Rasul sebagai utusan Allah. Subhanallah...
Daripada Abu Hurairah r.a. ia berkata; suatu ketika Rasulullah s.a.w. nampak di tengah-tengah orang ramai. Lalu baginda didatangi oleh seseorang yang menanyakan kepadanya: “Wahai Rasulullah s.a.w. bilakah terjadinya kiamat?” Nabi s.a.w. menjawab dengan bersabda: “Tidaklah orang yang ditanya mengenai masalah itu lebih mengetahui daripada yang bertanya. Akan tetapi aku akan memberitahukan kepadamu tentang tanda-tandanya. Iaitu, jika seorang ammah (hamba perempuan) melahirkan majikannya, itulah yang termasuk di antara tanda-tandanya. Juga apabila orang-orang yang tidak beralas kaki dan tidak berpakaian menjadi pemimpin masyarakat, maka itu juga di antara tanda-tandanya. Demikian pula apabila para pengembala domba berlumba-lumba meninggikan bangunan, maka itulah salah satu tandanya di antara tanda-tanda yang lima, yang mana tidak mengetahui yang sesungguhnya selain Allah SWT.” Kemudian baginda membacakan ayat berikut ini: “Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sahajalah pengetahuan tentang hari kiamat, dan Dia-lah yang menurunkan hujan, serta mengetahui apa yang ada di dalam rahim" (Hadis Riwayat Ibn Majah)
credit to : http://salafus-sholih.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan