Jumaat, 5 Februari 2010

Hakim kes liwat lawat kondominium


MOHD Saiful (kanan) menerangkan kepada pihak mahkamah cara menggunakan 'intercom' untuk memasuki Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, semalam.


Anwar sertai rombongan ke lokasi selepas Saiful beri keterangan tertutup semalam

KUALA LUMPUR: Hakim perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, melawat ke unit Kondominium Desa Damansara di sini, tempat Mohd Saiful Bukhari Azlan mendakwa beliau diliwat oleh tertuduh pada Jun 2008.

Selain Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, turut serta dalam lawatan itu adalah barisan peguam bela Anwar, tertuduh, barisan pendakwaan, Mohd Saiful bersama peguamnya, Zamri Idrus dan pegawai penyiasat kes, Jude Pereira.

Semua bertolak dari Mahkamah Tinggi di sini, pada jam 11.43 pagi menggunakan 15 kereta dan tiba di lokasi berkenaan kira-kira 15 minit kemudian.

Lawatan itu dibuat selepas Mohd Saiful selesai memberikan keterangannya selama 30 minit secara tertutup pada sebelah pagi di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Sebaik tiba di hadapan pondok keselamatan kondominium itu, Mohd Saiful yang keluar dari kereta Proton Waja bersama Zamri, dicerca oleh penyokong Anwar.
Mereka menjerit pelbagai perkataan kesat kepada Mohd Saiful ketika beliau mengikuti Mohamad Zabidin, barisan pendakwaan dan peguam Anwar menuju ke kondominium itu.

Sepanjang lebih kurang sejam di lokasi itu, Mohamad Zabidin diberi penerangan oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

Bernama pula melaporkan Mohd Saiful menunjukkan kepada hakim tempat Anwar duduk di ruang tamu ketika beliau datang untuk menghantar dokumen dan bilik tidur utama tempat kejadian liwat berlaku selepas itu.

Ketika pemeriksaan di kondominium dua bilik tidur itu di tingkat lima, Mohamad Zabidin dilihat bertanya beberapa soalan kepada Mohd Saiful.
Ada sebuah katil kelamin di bilik tidur utama dengan tingkapnya ditutupi langsir kelabu gelap. Langsir berwarna serupa juga di ruang tamu yang juga ada sofa kulit berwarna pudar. Di ruang makan, terdapat sebuah meja makan untuk enam orang.

Anwar meninggalkan tempat itu selepas pemeriksaan di bilik tidur utama.

Dari unit berkenaan, Mohamad Zabidin dan Mohd Saiful pergi ke pejabat pengurusan kondominium itu untuk memeriksa kemudahan kamera litar tertutup (CCTV).

Dalam prosiding semalam, Karpal memohon mahkamah mengenakan perintah menghina mahkamah terhadap akhbar Utusan Malaysia kerana mendakwa laporan itu dibuat dengan niat jahat kerana apa yang tiada dalam prosiding dilaporkan dalam artikel berkenaan.

Bagaimanapun, Mohamad Zabidin menolak permohonan itu dengan alasan ia bukan dilakukan di dalam mahkamah yang membolehkan mahkamah untuk menjatuhkan hukuman

Di PUTRAJAYA, peguam Anwar mengadakan pertemuan dengan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff untuk memohon tarikh awal perbicaraan bagi mendengar rayuan Anwar supaya perbicaraan kesnya yang sedang berlangsung ditangguhkan dan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya membatalkan pertuduhan liwat terhadapnya.

Alauddin memaklumkan secara lisan bahawa rayuan Anwar terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan liwat akan didengar pada 12 Februari ini.

Usul Anwar untuk mendapatkan perintah penangguhan bagi perbicaraan kes liwatnya akan turut didengar pada hari yang sama.

Ketika ditemui, peguam Anwar, Datuk Param Cumaraswamy berkata Alauddin memaklumkan tarikh perbicaraan permohonan Anwar untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengetepikan permohonannya mendapatkan dokumen penting berkaitan kes liwatnya, akan ditetapkan paling awal menjelang minggu depan.

Katanya, Alauddin turut memaklumkan pihaknya sedang mencari seorang lagi hakim untuk menganggotai panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan bagi mendengar permohonan semakan semula itu.

Bagaimanapun, tarikh itu bukanlah rasmi memandangkan notis rasmi bagi perbicaraan pada 12 Februari itu masih belum dikeluarkan, manakala tarikh bagi permohonan semakan semula kehakiman akan hanya dimaklumkan hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan