MUKADIMAH
Seruan kepada mereka yang memiliki kesedaran...
Manusia seolah-olah sudah lali dengan perkara-perkara yang sering
mereka temui setiap hari. Apabila manusia pertama kali mendengar
sesuatu berita tentang kekejaman yang berlaku, mereka menjadi begitu
prihatin. Namun demikian, keprihatinan mereka itu hanya menjadi suatu
perkara rutin tidak berapa lama kemudian.
Peperangan dan konflik yang berlaku di dalam dunia yang sedang kita
diami ini adalah kes yang paling jelas dan nyata. Apabila sesebuah
negara dijajah dan kemudian proses penyembelihan dan genocide (Pent:
Tiada terjemahan tepat untuk perkataan genocide, maka istilah ini
dikekalkan. Genocide bermaksud pembunuhan seluruh bangsa atau kaum
yang tertentu) bermula, kita akan dapat melihat banyak protes-protes
anti-kekejaman yang diadakan di seluruh pelusuk dunia. Sebagai contoh,
mari kita merenung semula detik-detik pertama tercetusnya konflik di
Bosnia, ataupun Chechnya, ataupun Palestin... Imej seorang kanak-kanak
Palestin yang berada di riba ayahnya yang tidak lama selepas itu
menjadi sasaran peluru askar-askar Israel, bayi-bayi Chechen yang
dibunuh ketika mereka sedang lena diulit mimpi, wanita, golongan tua
dan kanak-kanak yang menjadi mangsa genocide yang sangat mengerikan di
Bosnia...
Apabila manusia pertama kali melihat imej-imej kekejaman tersebut,
mereka sering meluahkan perasaan marah dan berkata mahu melakukan
sesuatu. Walau bagaimanapun, laporan-laporan kekejaman yang
bertali-arus, yang tidak pernah putus-putus itu, akhirnya tidak
berupaya untuk menarik perhatian mereka lagi. Semakin ramai manusia
yang mati setiap hari, wanita-wanita dicabul kehormatannya, kanak-kanak
sewenang-wenangnya ditembak atau kehilangan kaki setelah terpijak
periuk api... Walau bagaimanapun, reaksi masyarakat ketika awal-awal
konflik dan peperangan, akhirnya telah digantikan dengan sikap acuh tak
acuh dan tidak ambil kisah. Apabila mereka membeli suratkhabar, mereka
lebih suka membaca gosip-gosip artis berbanding berita-berita
peperangan. Oleh sebab itulah, kematian manusia yang berlaku di
Palestin, Chechnya, Kashmir ataupun Timur Turkistan hanya sekadar
menjadi suatu "berita rutin."
Tambahan pula, propaganda-propaganda yang dicipta telah menggambarkan
kebuasan-kebuasan manusia itu sebagai suatu perkembangan politik
sahaja. Akibatnya, pembunuhan berterusan di Chechnya hanya dianggap
sebagai urusan sulit pihak Rusia, apa yang berlaku di Palestin hanyalah
suatu perjuangan untuk mendapatkan tanah di antara orang-orang Israel
dan Palestin, dan penekanan puak Hindu ke atas penduduk Kashmir sebagai
masalah yang berpunca daripada posisi strategik wilayah itu. Memang
benar bahawa faktor sejarah dan ekonomi memainkan peranan penting yang
mencetuskan konflik-konflik tersebut. Chechnya mempunyai kepentingan
ekonomi dan strategi yang penting kepada Rusia. Orang-orang Yahudi yang
fanatik terus berniat untuk menawan Jerusalem dan kawasan-kawasan
pendudukan Palestin yang lain sejak berabad-abad lamanya. Namun
demikian, faktor-faktor dalaman dan ekonomi bukanlah satu-satunya
penyebab kepada tekanan yang dikenakan kepada orang-orang Chechen oleh
pihak komunis Rusia, ataupun kekejaman yang dilakukan kepada umat Islam
di Afrika, ataupun keganasan dan proses pembersihan etnik yang
dideritai oleh umat Islam di rantau Balkan yang dilakukan di hadapan
mata penduduk dunia. Di dalam bab-bab yang seterusnya, kita akan dapat
melihat bahawa konflik-konflik yang tercetus itu adalah disebabkan
identiti umat Islam itu sendiri.
Mereka dihimpit dengan berbagai-bagai bentuk penindasan kerana mereka
adalah golongan yang beriman kepada Allah dan mahu hidup dengan
berlandaskan Islam, dan mahu melihat anak-anak mereka menjadi
orang-orang yang beriman juga. Kewujudan negara-negara kuat yang
mementingkan nilai-nilai spirituil atau sebuah liga Islam yang kuat
yang akan melindungi hak-hak umat Islam seadil-adilnya, telah
menimbulkan ketakutan kepada golongan-golongan tertentu di Barat dan
juga telah menimbulkan ancaman terhadap kepentingan pihak-pihak
tertentu.
Aspek lain tentang hal ini ialah terdapat sesetengah manusia yang tidak
mengetahui apa-apa pun tentang masyarakat yang hidup di negara-negara
tersebut, dan malah tidak pernah mendengar sama sekali nama
negara-negara itu. Situasi bagi seseorang yang tidak memiliki sebarang
idea tentang kepayahan, penindasan, kekejaman, kebuluran, dan
kemiskinan yang dideritai oleh umat Islam Sudan, Algeria, Indonesia,
Myanmar, Djibouti dan Tunisia sebenarnya memerlukan suatu "makanan"
untuk mengisi minda mereka. Ada juga segelintir manusia yang menyedari
kekejaman dan ketidakadilan tersebut. Namun dia tidak mencuba untuk
menghulurkan sebarang bantuan ataupun berusaha untuk menghentikan
penindasan tersebut. Tambahan lagi, mereka sungguh yakin bahawa mereka
tidak dapat melakukan apa-apa, malah laporan-laporan yang dibaca dan
imej-imej kekejaman yang dilihat menerusi televisyen tidak dapat
menyedarkan mereka walaupun sedikit.
Seseorang yang benar-benar beriman, walau
bagaimanapun,bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang mereka
lihat dan dengar. Allah menyeru umat Islam di dalam Al-Quran:
Mengapa kamu enggan berperang di jalan Allah dan (membela)
orang-orang yang lemah baik lelaki, wanita, mahupun kanak-kanak yang
semuanya berdoa: "Ya Tuhan kami. Keluarkanlah kami dari negeri ini yang
mempunyai penduduk yang zalim, dan berilah kami pelindung dari sisi-Mu.
Dan berilah kami penolong dari sisi-Mu." (An-Nisaa', 75)
Sudah tiada sebab lagi bagi orang-orang yang memiliki kesedaran, yang
patuh kepada arahan yang terkandung di dalam ayat di atas untuk terus
menutup mata dan tidak mengendahkan apa yang sedang berlaku. Adalah
sesuatu yang mustahil untuk umat Islam tidur dengan nyenyak di atas
katil tanpa wujud sebarang perasaan tanggungjawab di hati mereka,
membazirkan masa mereka, dan hanya memikirkan tentang kepentingan dan
keseronokkan dirinya sahaja sewaktu kekejaman yang melampau-lampau
sedang berlaku di seluruh dunia. Ini kerana orang-orang yang beriman
mengetahui bahawa kunci asas untuk menyelesaikan masalah peperangan
yang berat sebelah, pembunuhan beramai-ramai, kekejaman, kebuluran, dan
kebejatan masalah sosial, atau dengan ringkas segala masalah yang ada
di dunia ini, adalah dengan menyebarkan ajaran moral yang terkandung di
dalam al-Quran. Pengetahuan tentang perkara tersebut telah meletakkan
suatu tanggungjawab besar di atas bahu mereka: iaitu menerangkan
tentang ajaran Islam dan keindahan-keindahan yang dibawa olehnya,
menyebarkan ajaran moral yang terkandung di dalam al-Quran, dan
melancarkan peperangan ideologi kepada golongan ateis... (Pent: iaitu
golongan yang tidak percaya kepada kewujudan Tuhan)
Sesiapa yang mengambil tugas mulia tersebut akan dapat membebaskan
semua insan yang hidup di bawah penindasan dengan bantuan petunjuk
al-Quran:
...Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan
sebuah kitab yang jelas. Dengan kitab itulah Allah menunjuki
orang-orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan yang selamat. Dan
Allah mengeluarkan orang-orang itu dari kegelapan kepada cahaya yang
terang-benderang dengan izin-Nya, dan menunjuk mereka ke jalan yang
lurus. (Al-Maaidah, 15-16)
Tujuan utama penulisan buku ini adalah untuk mendedahkan penderitaan
umat Islam yang tidak berdosa di serata dunia, dan juga untuk menyeru
mereka yang berkesedaran untuk memikirkan tentang situasi tersebut dan
seterusnya mencari jalan penyelesaiannya. Ini bukan masanya untuk kekal
membisu, bersifat tidak kisah, mengejar kesenangan kecil dunia ini, dan
membuang masa dengan perdebatan dan pertengkaran yang sia-sia. Ketika
berjuta-juta umat Islam menderita disebabkan oleh kekejaman dahsyat
tersebut, kita adalah manusia yang tersangat-sangat mementingkan diri
sendiri jika enggan memikul sebarang tanggungjawab untuk menegakkan
agama Islam. Tidak menjadi satu keraguan bahawa perbuatan tersebut
hanya menyebabkan kita menerima akibat yang pedih di akhirat nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan