Isnin, 22 November 2010

Petua menggalakkan anak berdikari

Renungkan petua berikut bagi membentuk anak supaya bijak merancang, ringan tulang dan kuat jiwa:

Galakkan anak membantu

Anak sewajarnya digalak membantu ibu bapa dalam meringankan tugas di rumah. Apapun, menyuruh mereka bukanlah dengan nada memaksa sebaliknya dengan suara lembut dan meminta bantuan. Waktunya pula hendaklah bersesuaian.

Sekiranya anak sedang mengulangkaji pelajaran, tidak wajar menyuruh mereka menguruskan kerja rumah. Anak perempuan boleh diminta mengemas rumah, mencuci pinggan mangkuk atau menghidang makanan.


Anak lelaki pula boleh diminta membersihkan halaman ataupun membasuh kereta. Sebagai panduan, jangan membebankan anak dengan tugas berat yang tidak mampu dilakukan. Jangan lupa ucapkan terima kasih atas pertolongan mereka.


Biasakan anak urus diri sendiri

Anak yang mula memasuki alam persekolahan sewajarnya diajar cara terbaik untuk mengurus diri. Mereka wajar diasuh agar pandai mengemas bilik tidur, berpakaian kemas dan sentiasa kelihatan bersih. Jangan sesekali biarkan mereka comot, kotor dan selekeh semasa di rumah mahupun di sekolah.

Biasakan cara hidup sederhana

Biasakan anak dengan cara hidup sederhana walaupun kita mampu memberikan kemewahan. Kemewahan akan menyebabkan mereka sentiasa mengharap, malas berusaha dan lemah jiwa. Sebagai contoh, galakkan mereka agar sentiasa berjimat cermat dan menabung wang lebihan belanja harian.

Asuh anak suka membantu orang

Anak perlu diasuh menolong orang yang memerlukan. Secara tidak langsung, mereka dapat memahami sedikit sebanyak hakikat kehidupan yang tidak selamanya menjanjikan bahagia dan kesenangan. Dengan itu, anak sentiasa berwaspada dalam hidupnya serta matang menilai dan menyelesaikan masalah.

Ajar kemahiran hidup

Anak juga boleh diajar menjahit, berkebun atau memperbaiki sebarang kerosakan kecil. Sememangnya, pendidikan sebegini sudah diperkenalkan di semua sekolah. Namun, menjadi peranan ibu bapa untuk menggalakkan anak mengamalkan ilmu yang mereka miliki.

Setiap kerja itu pula, perlu diawasi untuk mengelakkan sebarang bahaya.


Kanak-kanak yang dilatih berdikari akan menjadi orang yang kuat jiwanya dan dapat menyesuaikan diri dengan sebarang keadaan suasana dan tempat. Dia juga yakin dengan kebolehannya. Inilah cara membantu anak berakhlak mulia.


Jika latihan itu disertai dengan nasihat secara hikmah, insya-Allah anak akan memiliki pekerti dan hati yang baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan