Isteri queen control?
Semalam, satu emel meminta saya membincangkan tentang isu isteri queen control. Teringat, saya pernah menjawab beberapa soalan berkaitan satu ketika dulu, ada disiarkan di Ruangan Wanita dan Keluarga, Berita Harian. Saya kongsikan dengan anda semua di sini:
1. Masih adakah zaman sekarang ini wanita yang bersikap queen control?
Jwpn: Ya. Masih ada. Terdapat dua jenis wanita queen control iaitu:
1. Queen control yang memberikan kebahagiaan kepada suami dan rumah tangga
2. Queen control yang membebankan suami dan menimbulkan kekecohan di dalam rumah tangga.
2. Adakah sikap lelaki membuatkan wanita bersikap queen control?
Jwpn: Boleh dikatakan ya. Wanita boleh bersikap queen control disebabkan beberapa sebab yang asasnya berpunca daripada lelaki:
1. Suami gagal berperanan sebagai ketua keluarga menyebabkan isteri perlu mengambil alih peranan suami sepenuhnya
2. Suami pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga menyebabkan isteri bertindak mengawal segala tindak tanduk suami dengan harapan pengabaian tanggungjawab suami tidak berulang lagi
3. Suami gagal mengawal isteri hingga membiarkan diri dikawal sepenuhnya oleh isterinya
3. Adakah lelaki akan jemu dengan wanita yang bersikap queen control?
Jwpn: Terpulang kepada bentuk control daripada wanita itu sendiri. Jika wanita bersikap queen control kerana kegagalan suami berperanan sebagai ketua keluarga, lelaki takkan rasa jemu malah tak mustahil lelaki akan rasa lega dan berlapang dada dengan pertolongan besar si isteri.
Namun, jika control si isteri dengan hasrat mengawal pergerakan suami supaya tidak mengulangi kesilapan lalu, memang lelaki akan rasa jemu dan bosan. Sebabnya, lelaki akan mula rasa segala pergerakannya tidak bebas dan terkawal.
Sama juga dengan sikap wanita yang memang sejak awal gemar mengawal dan bila bersama dengan teman lelaki atau suami, dia tidak dapat membuang sikap suka mengawal tersebut ditambah pula dengan kegagalan si lelaki mengawal wanita tadi, lelaki pasti rasa jemu dan bosan.
Kalau sebagai teman lelaki, tidak mustahil wanita tadi akan ditinggalkan dan jika sebagai suami, tidak mustahil juga si suami akan mula pasang mata mencari wanita lain yang boleh memberikan ketenangan kepadanya. Paling buruk, lelaki akan mengambil pendirian keluar daripada perkahwinan.
4. Apakah panduan lelaki untuk berdepan dengan queen control?
Jwpn: Mana-mana lelaki yang berdepan dengan queen control yang menyesakkan dada, perkara paling penting yang perlu anda lakukan ialah menjadi lelaki yang sebenarnya. Maksud saya, jadilah lelaki yang tegas dan menjalankan tanggungjawab.
Jika anda pernah tersilap, yakinkan isteri atau teman wanita anda bahawa anda telah berubah dan takkan ulangi kesilapan lalu. Pastikan juga anda betul-betul berubah. Ingatlah, teman wanita atau isteri anda mengawal anda kerana sayangkan anda dan ingin hidup bahagia dengan anda.
Jika teman wanita atau isteri anda memang bersikap queen control sejak awal dan bukan kerana kesilapan anda, anda perlu ubah sikap teman wanita atau isteri anda itu. Anda perlu sedarkan dirinya tentang kesilapan sikapnya. Sedarkan bahawa dia ialah wanita yang perlu taatkan suami dan tidak boleh sesenang hati mengarah suami itu ini.
Sebagai permulaan, tanamkan dalam diri teman wanita atau isteri anda untuk bersikap toleransi dan sering berbincang di dalam menetap sesuatu perkara atau keputusan. Ingatkan wanita anda, walau siapa pun dirinya di luar rumah hatta jika dia adalah boss anda sendiri, di rumah dia adalah wanita yang perlu menghormati dan mentaati perintah suami selagi perintah suami tidak menyalahi ketetapan syarak.
5. Mungkin puan ingin berkongsi perkara lain mengenai queen control.
Jwpn: Daripada pemerhatian saya terhadap kes-kes queen control, sikap queen control di dalam rumah tangga kebanyakannya bermula sejak pra perkahwinan lagi. Bakal suami dengan mudah mengikut segala kata dan kehendak bakal isterinya. Putih kata bakal isteri, putihlah juga katanya walau hakikatnya, si lelaki sukakan hitam atau selain putih.
Bila masuk ke dunia perkahwinan, sikap ini terbawa-bawa hingga kadang-kadang si isteri sendiri merasa rimas sebenarnya. Tidak semua wanita suka bersikap queen control tetapi terpaksa bersikap sedemikian demi menyelamatkan sebuah hubungan kasih sayang. Kes queen control juga sering berlaku di dalam perkahwinan yang melibatkan pasangan lelaki dengan wanita yang lebih berusia, lebih berharta atau lebih berpendidikan daripada si lelaki.
Dengen kelebihan yang ada pada diri wanita, ada kalanya mereka akan lupa diri maka tugas si lelaki adalah untuk mengingatkan peranan wanita tadi dan untuk melakukan tugas tersebut, lelaki perlu tegas dan bijak menangani si wanita.
Perkara paling penting, lelaki dan wanita, suami dan isteri perlu faham dengan peranan dan tanggungjawab masing-masing di dalam rumahtangga. Jika masing-masing memahami dan menjalankan tanggungjawab masing-masing, tak kisahlah king control atau queen control, rumah tangga akan aman dan bahagia, insyaAllah.
Wallahua’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan