Terpana dan terpaku mata dan otak saya semasa menonton rancangan Final Gadis Melayu Musim-3 malam ini ( 29 Oktober 2010). Bukan disebabkan terpukau dengan wajah dan aksi para gadis yang asyik gila mengejar nama atas nama keayuan gadis Melayu, tetapi saya masih tidak mengerti minda apakah kaum Melayu ini fikir tentang Palestin.
Ya, salah seorang peserta cuba membawa mesej perjuangan di Gaza. Ingin tonjolkan kepada masyarakat betapa eratnya perjuangan Gaza dengan masyarakat Islam di Malaysia.
Bertambah bingungnya saya apabila beliau cuba bertanya dengan nada berpuisi kepada penonton, kenapa perlu banyak payung perjuangan Palestin seperti Aman Palestin, Viva Palestin, Aman Malaysia dan NGO-NGO lain.
Pada saya nyata beliau masih jauh daripada kefahaman sebenar isu Gaza Palestin. Malah semasa para ulama’ sedunia menyarankan kepentingan umat Islam menjunjung perjuangan Baitul Maqdis, saya merasakan betapa tidak fahamnya masyarakat Malaysia dengan perjuangan istiqlal (kemerdekaan) dan tahrir (pembebasan) di bumi Al Quds warisan Bani Kanna’n.
Dengan paparan tarian dan puisi oleh para gadis tanpa menutup aurat tetapi diselendangkan dengan selendang Palestin, cukup menampilkan betapa olok-oloknya mereka terhadap isu aqidah umat Islam. Isu membebaskan Al Quds dan bumi yang mewarisi warisan juangnya di Gaza adalah isu aqidah kerana ia janji dari Al Quran dan hadis Rasulullah SAW. Terpana juga saya dek fesyen tudung peserta yang nampak leher ala-ala mak dan nenek kita dahulu semasa turun sawah padi dengan tudung tergulung tertenggek di atas kepala. Adakah itu imej muslimah Gaza yang cuba diibaratkan?
Ingin menyatukan perjuangan di bawah satu payung? Jadi, payung yang mana layak untuk memayungi perjuangan aqidah memerdekakan umat Islam di Gaza? Adakah payung sekular, bersifat assobiyyah nasionalis dan hammasah kemerdekaan ala sekular mampu memayungi NGO dan pertubuhan Islam yag ikhlas memahami tuntutan syarak berjuang membantu Gaza? Adakah atas alasan ‘human right’ sahaja menjadi motivasi beberapa gerakan Islam sedunia untuk bersungguh melawan tirani Israel?
Jihad adalah istilah syarak yang diselubungi dengan intipati syarak juga. Jihad perlu ditunggang dengan menepati perjuangan atma dan nurani Islam yang asli bersumberkan Al Quran dan hadis bukannya bersumberkan simpati manusiawi, atas nama sekular atau keperluan sejagat semata-mata.
Ramai boleh membeli selendang Palestin, menyarung ke leher, tetapi bukan ramai yang faham dan ikhlas dengan isu Gaza-Al Quds.
Bumi Syam adalah bumi jihad yang berterusan sehingga ke hari Kiamat.
Dari Muaz r.a. Rasulullah (s) bersabda:
Wahai Muaz! Sesungguhnya Allah swt. akan membuka bumi Syam selepas ketiadaanku. dari Arish hingga ke Furat.. Lelaki ,perempuan, Hamba mereka akan berjihad hingga kehari kiamat.. sesiapa dikalangan kamu memilih salah satu tempat di bumi Syam atau baitul Maqdis, maka dia berada dalam jihad hingga ke hari Kiamat.
Allah s.w.t. telah memberitahu kepada junjungan kita Muhamad s.a.w. bahawa bumi al-Aqsa ini akan dirampas atau diugut oleh musuh, kerana inilah baginda menggalakkan umatnya agar berjihad mempertahankan bumi ini supaya tidak jatuh ke tangan musuh dan berjihad untuk mengembalikannya jika ditakdir jatuh ke tangan musuh.
Begitu juga abi Umaimah berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sentiasa ada sekumpulan dari umatku yang menegakan kebenaran, mengasari musuh, dan musuh mereka tidak akan dapat memudaratkan mereka kecuali apa yang dibuat dari belakang mereka, mereka sentiasa begitu sehingga datangnya pertolongan Allah swt. Sahabat bertanya: Di manakah mereka wahai rasulullah? Baginda menjawab: di Baitul maqdis, dan sekeliling baitul maqdis. (Riwayat Imam Ahmad)
Betapa sedihnya para syuhada’ di pusara bumi Palestin bila tahu terkinja-kinjanya rakyat Malaysia sambil membuka aurat melaungkan slogan bebaskan Palestin..bebaskan Gaza..satukan perjuangan atas satu payung perjuangan tanpa sedar apakah itu Gaza dan apakah itu Palestin.
Menggunakan idea sekular dan nasionalis manusiawi untuk menjuarai isu Gaza hanya menatijahkan sikap seumpama kaum Arab di sekeliling Gaza. Suatu ketika dahulu dalam era tahun 1960an mereka giat bersatu berperang dengan Isreal untuk membebaskan Palestin seluruhnya, akhirnya bertukar menjadi api dalam sekam, menyekat bantuan makanan dan perubatan, menanam tembok besi ke dalam terowong kecemasan Gaza, menutup sempadan negara dan membenarkan Israel menggunakan ruang udara dan air untuk menyekat Gaza. Inikah hasil yang rakyat Malaysia ingin rakul melalui sekular dan nasionalis?
Kepada rakyat Malaysia, hentikan sandiwara perjuangan membela Palestin jika ia hanya dilakukan atas alasan menunjuk-nunjuk, ingin menjuarai isu atau ingin menjadi tersohor kemanusiaan kerana bukan itu yang didamba oleh para balu dan yatim di Gaza.
Muhammad Nuruddin Bashah
AJK Teras Pengupayaan Melayu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan