Khamis, 10 Februari 2011

MPSP Menganas lagi di Pulau Pinang

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
muin.sapidin@utusan.com.my

BUKIT MERTAJAM 7 Feb. - Lagi tindakan merobohkan gerai peniaga di Pulau Pinang oleh pihak penguat kuasa kerajaan negeri.

Kali ini ia melibatkan penjaja sekitar Taman Pelangi apabila Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) memulakan operasi besar-besaran selama seminggu untuk merobohkan kira-kira 1,000 gerai di situ yang didakwa beroperasi secara haram.

Operasi yang bermula kira-kira 9 pagi ini disertai 180 anggota penguat kuasa MPSP, Perbadanan Bekalan Air (PBA), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan beberapa anggota polis.

Keadaan yang pada mulanya tenang bertukar kecoh apabila rata-rata peniaga yang terlibat berang dan tidak puas hati terhadap tindakan MPSP yang didakwa tidak adil serta menjejaskan periuk nasi mereka.

Seorang peniaga mi, Abdul Kadir Mohamad, 54, memberitahu, selama tiga hari berturut-turut dia turun naik ke pejabat MPSP di Bandar Perda, dekat sini, untuk berbincang dengan ahli majlis supaya peniaga di situ diberi peluang meneruskan perniagaan.

"Semalam, kami jumpa, merayu kepada mereka lagi dan diminta jangan bimbang, selagi pakatan pembangkang memerintah, gerai saya dan yang lain akan selamat. Tetapi, mereka tipu saya, hari ini mereka datang dan roboh juga.

"Kami kini tidak tahu lagi kepada siapa harus mengadu masalah, cakap mahu bantu rakyat, tapi hari ini bila gerai kami diroboh, seorang pun tak datang," katanya yang sudah lebih 10 tahun berniaga di kawasan tersebut ketika ditemui.

Abdul Kadir turut mencabar MPSP supaya merobohkan semua gerai haram di negeri itu jika benar mereka adil kepada semua pihak.

Seorang lagi peniaga, Rozali Ismail, 40, yang kecewa dengan tindakan MPSP itu memberitahu, dia menempuh pelbagai dugaan ketika hendak memulakan perniagaan di situ kira-kira 18 tahun lalu apabila terpaksa berhutang.

"Kini, apabila perniagaan sudah agak maju, orang buat begini pula kepada kami. Kalau beginilah cara mereka layan peniaga kecil, macam mana orang Melayu hendak maju?.

"Saya betul-betul buntu sekarang kerana punca pendapatan hilang begitu saja, tidak tahu apa yang harus dilakukan. Bukan mudah nak cari kerja pada masa ini," katanya.

Dia yang mengalami kerugian kira-kira RM50,000 selepas gerainya diroboh berkata, notis hanya diberikan kepadanya semalam dan tanpa sempat berbincang.

Sementara itu, Ahli Majlis MPSP, M. Ramachandran yang ditemui berkata, operasi dibuat bertujuan 'membersihkan' kawasan tersebut yang dibanjiri gerai yang membuat penyambungan haram, selain ada disewakan kepada pekerja asing.

"Operasi ini membabitkan empat fasa dan pada hari ini merupakan fasa pertama. Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, sebaliknya akan merobohkan semua gerai yang melakukan penyambungan haram," katanya.

Ramachandran berkata, pihaknya sudah mengeluarkan notis sebanyak empat kali dalam tempoh tiga bulan dan terakhir semalam bagi memberi peluang kepada peniaga mengosongkan premis masing-masing tetapi tidak diendahkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan